Ketika acara G-Star 2019 yang berlangsung di Korea hari ini, Pearl Abyss iaitu pembangun untuk permainan Black Desert Online mengumumkan yang mana mereka akan membawa satu lagi permainan MMO baharu iaitu DokeV.
Menurut mereka, permainan tersebut akan dilancarkan di konsol dan juga PC dan akan memfokuskan bentuk permainan koleksi mengumpul makhluk secara dunia terbuka, seakan bentuk permainan Pokemon.
Menariknya, berdasarkan video acah yang dipertontonkan, ianya juga kelihatan akan mempunyai visual yang sangat menarik dicampur dengan elemen bandaraya dan pelbagai rekaan makhluk raksasa yang sangat comel.
Sang Young Kim iaitu penerbit utama permainan tersebut juga menyatakan bahawa permainan tersebut akan memfokuskan makhluk comel yang bernama Dokebi di mana pemain berupaya untuk mengembara di ruangan bandaraya terbuka di mana asalnya ianya dibangunkan sebagai permua, namun mereka mengambil keputusan untuk membawanya ke konsol dan PC.
Semestinya permainan tersebut kelihatan sangat menarik sekali dan kami pasti akan berkongsi sebarang informasi lanjut setelah ianya diumumkan secara rasmi kelak.