Kami merasakan bagi anda yang meminati siri permainan Pokémon, permainan terbaru untuknya iaitu Pokémon Sword & Shield sudah semestinya di dalam senarai hajat anda.

Jika anda masih tidak pasti mengenainya, ataupun masih tidak mengetahui dengan jelas mengenai apa pembaharuan yang dibawa melalui permainan ini, Nintendo minggu ini berkongsi satu video yang memperlihatkan gambaran keseluruhan untuknya.

Di dalam video tersebut, Nintendo berkongsi balik mengenai kandungan yang akan disertakan di dalam permainan ini, sepertimana yang diumumkan sebelum ini.

Antaranya adalah bagaimana benua Galar akan mempunyai pelbagai kawasan yang berlainan seperti di desa, bandar, kawasan rumputan dan juga gunung bersalji. Bergantung kepada kawasan, dan juga cuaca pemain juga akan berjumpa jenis pokémon yang berbeza.

Pokémon-pokémon baharu yang hadir di dalam permainan ini juga diperlihatkan tetapi ia adalah pokémon yang sudah diumumkan sebelum ini seperti Yamper, Cramorant, Duraludon, Alcremie, dan Sirfetch’d. Ia juga akan menyertakan pokémon-pokémon yang telah hadir sebelum ini, dan sesetengahnya juga mempunyai rekaan berlainan.

Sepertimana permainan pokémon yang lain, pertempuran merupakan fokus utama permainan ini. Pemain boleh menguji kehebatan dengan bertempur melawan Pelatih lain sekitar Galar, melawan ketua gim, dan juga melawan pokémon-pokémon liar.

Video tersebut juga memperlihatkan Dynamax, iaitu fenomena baharu di dalam permainan ini, melaluinya, pokémon akan bersaiz besar dan lebih berkuasa. Ia akan berlaku di tempat-tempat tertentu sahaja. Pemain boleh bertempur dalam bentuk tersebut bersama dengan 2 pemain lain, bahkan dapat menangkapnya menggunakan Pokéball yang juga bersaiz besar.

Selain menjadi pelatih pokémon, pemain juga boleh ‘berehat’ dengan membeli serta memakai pelbagai pakaian dan hiasan untuk menjadikan watak di dalam permainan, benar-benar watak anda sendiri. Pemain juga boleh membantu pelbagai organisasi dengan menyelesaikan misi-misi sampingan yang diberikan.

Anda juga boleh berkhemah untuk berehat serta berinteraksi bersama dengan pokémon-pokémon anda, dan juga memasak untuk mereka yang akan memberi pelbagai kelebihan.

Pokémon Sword & Shield bakal dilancarkan pada 15 November 2019 ini khas di konsol Switch.

Sohor Kini