Seperti yang dijanjikan oleh Arc System Works sebelum ini, dengan acara kejohanan ArcRevo World yang bakal berlangsung tidak lama lagi, mereka akan berkongsi informasi lanjut berkenaan permainan perlawanan baharu Guilty Gear.
Terkini, bersempena dengannya, Arc System Works akhirnya berkongsi video acah baharu buat permainan tersebut yang mana mereka memperlihatkan watak Chipp Zanuff dan Potemkin.
Chipp Zanuff merupakan salah satu watak yang diperkenalkan sejak permainan pertama Guilty Gear yang mana beliau merupakan seorang ninja dengan pelbagai kemahiran ninjutsu dengan senjata shuriken dan kunai. Manakala, Potemkin juga adalah watak dari permainan pertama Guilty Gear pertama dan kali ini beliau kembali dengan beberapa rekaan baharu namun masih lagi mengekalkan senjata Heat Gauntlet.
Selain itu, menurut laporan Gematsu, Arc System Works juga mengesahkan bahawa permainan ini akan menerima sesi beta terbuka secara atas-talian sekitar suku kedua tahun hadapan.
Seperti yang dilaporkan oleh kami, permainan ini juga boleh dicuba dan dimainakn ketika ArcRevo World Tour Final 2019 yang bakal berlangsung pada 16 dan 17 November ini di Amerika Syarikat.
Permainan perlawanan baharu Guilty Gear dijadualkan untuk dilancarkan tahun hadapan. Buat masa ini, ia disahkan bakal tiba di PlayStation 4, namun tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan.