Dragon Quest Builders 2 merupakan permainan seterusnya buat siri ini di mana ia adalah permainan yang menggabungkan simulasi membina dengan permainan RPG. Ia dibangunkan serta diterbitkan oleh Square Enix pada 12 Julai 2019 untuk PlayStation 4 dan Switch. Ia juga baru sahaja dikeluarkan untuk PC pada 12 Disember lepas.

Saya bermain permainan ini di Switch dan merupakan kali pertama saya mencuba permainan siri ini kerana tidak pernah mencuba Dragon Quest Builder yang pertama. Ia adalah kerana Saya tidak menggemari permainan simulasi membina seperti Minecraft, akan tetapi melalui Dragon Quest Builders 2, dengan hibrid antara permainan simulasi membina dan JRPG ia mempunyai keunikan tersendiri dan saya sangat menyukainya.

Cerita

Perkara utama yang membezakan antara permainan seperti Minecraft yang bukanlah permainan kegemaran saya dengan permainan Dragon Quest Builders 2 adalah ia menyertakan penceritaan tersendiri yang memberi saya motivasi untuk terus bermain.

Penceritaan permainan ini berlaku selepas kejadian di dalam permainan pertama, namun jika anda seperti saya tidak pernah mencubanya, ia bukanlah satu masalah kerana di dalam permainan ini mempunyai jalan cerita tersendiri dan sering menyatakan kepada pemain yang telah berlaku sebelum ini.

Walaupun menyertakan satu penceritaan yang ringkas, di mana setiap kejadian mudah untuk dijangka akan tetapi ia tetap menarik dan memberi alasan yang baik . Anda pada awal permainan boleh memilih untuk menjadi watak lelaki ataupun perempuan, dan hanya dikenali sebagai “Hero”, sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan untuk siri permainan Dragon Quest.

Anda merupakan seorang “Builder” dan pada waktu ini, dunia permainan dikawal oleh Children of Hargon yang sangat membenci “Builder” dan mengharamkan sesiapa daripada membina. Pengharaman tersebut telah membuatkan dunia menjadi suram. Melawan arahan Children of Hargon pemain akan terus dan terus membina, membantu orang sekitar dan membawa kembali “kuasa pembinaan”.

Sepanjang permainan, anda juga akan berjumpa dengan pelbagai watak yang menarik dan mempunyai keunikan tersendiri, menadikan satu pengalaman bermain yang baik.

Gabungan antara pembinaan yang menjadi bentuk permainan utama untuk permainan ini dengan penceritaan adalah sesuatu yang sangat unik dan menjadikan permainan simulasi membina lebih baik.

Bentuk Permainan

Pada asasnya, Dragon Quest Builders 2 adalah permainan simulasi pembinaan seperti Minecraft, di mana ia menyertakan pelbagai “resipi” untuk anda membina pelbagai barangan dan juga pelbagai bilik berbeza. Anda juga boleh menyusun bongkah-bongkah untuk melakukan pembinaan.

Saya merasakan jika daripada segi membina, permainan Minecraft mempunyai lebih ruangan untuk pemain yang kreatif membina dengan lebih meluas, manakala di dalam permainan ini, ia lebih terhad. Walaupun begitu ia masih satu permainan yang penuh dengan kandungan dan jika anda pemain yang kreatif, anda boleh membina pelbagai binaan yang unik dan menarik.

Seperti yang saya terangkan di bahagian Cerita, anda merupakan seorang pembina yang akan membina untuk membantu penduduk setempat, oleh disebabkan itu anda akan diberikan pelbagai objektif pembinaan yang perlu diselesaikan. Walaupun ia adalah objektif yang tetap, seperti membina bilik ataupun kawasan tertentu, namun acara anda melakukannya masih bergantung kepada pilihan anda sendiri.

Objektif ini yang menjadikan pembinaan sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan, jika anda lebih menggemari konsep permainan sandbox, selain melakukan objektif-objektif ini, anda juga diberikan satu kawasan yang anda boleh membina mengikut keinginan anda.

Secara keseluruhan saya mengambil lebih 35 jam untuk menghabiskan mod penceritaan dan saya sangat berpuas hati dengan kandungan yang disediakan.

Selain menyelesaikan objektif untuk penceritaan, ada juga objektif terbuka yang apabila diselesaikan akan memberi pemain token untuk menebus pelbagai barangan kosmetik. Ia adalah satu perkara yang menarik terutama untuk pemain yang menggemari bentuk sandbox.

Sebagai permainan hibrid yang turut menyertakan elemen JRPG, ia juga menyertakan sistem pertempuran. Pemain boleh mendapatkan atau membina senjata yang lebih berkuasa dan juga perisai yang lebih baik. Namun, secara keseluruhannya, sistem pertempuran yang disertakan adalah ringkas dan mungkin elemen yang paling lemah di dalam permainan ini. Ia tidak menarik, dan pada pertengahan permainan ia menjadi perkara yang membosankan.

Seterusnya, ia juga menyertakan elemen pengembaraan, di mana terdapat beberapa pulau yang akan direka secara rawak, dan anda perlu mencari bahan ataupun barangan di pulau tersebut berdasarkan satu senarai. Memenuhi senarai tersebut akan memberikan anda sumber untuk mendapat pelbagai bahan untuk sesi pembinaan anda.

Seperti pertempuran, ia juga adalah sampingan sahaja untuk permainan ini, dan ia akan menjadi lebih berguna jika anda ingin bermain mod sandbox yang memerlukan anda untuk mempunyai bahan yang mencukupi.

Secara keseluruhan saya boleh katakan kepelbagaian bentuk permainan yang disertakan adalah menarik tidak kira jika anda menyukai permainan seperti Minecraft ataupun anda seperti saya yang tidak menyukainya.

Mod Multi-Pemain

Fokus utama permainan ini adalah bermain secara solo, namun bagi anda yang ingin bermain bersama rakan, ia juga menyertakan mod multi-pemain, akan tetapi ia hanyalah untuk mod sandbox sahaja, di mana ia tidak akan melibatkan penceritaan.

Pemain boleh menjemput rakan ataupun melawat kawasan rakan untuk membina bersama. Ia tidak mempunyai mod multi-pemain seperti Minecraft, di mana ramai pemain berkongsi satu dunia (pelayan) yang sama untuk membina sesuka hati. Sebaliknya, anda boleh bermain bersama 3 rakan pada satu masa.

Satu perkara menarik tetapi bukanlah mod multi-pemain adalah anda boleh melawat pulau pemain-pemain lain, anda tidak boleh melakukan sebarang perubahan akan tetapi ia berguna jika anda inginkan inspirasi untuk membina pulau anda sendiri. Permainan juga dari semasa ke semasa akan mengeluarkan tema tertentu untuk anda mengambil gambar dan berkongsi secara awam.

Jika anda mengharapkan sesuatu yang lebih mesra multi-pemain, saya merasakan permainan lain adalah lebih baik kerana bagi saya permainan ini adalah secara majoritinya adalah untuk sesi permainan solo.

Grafik

Sebagai permainan Dragon Quest, ia masih lagi mengekalkan rekaan watak dan persekitaran seperti siri permainan Dragon Quest. Seperti saya katakan di bahagian cerita, ia mempunyai watak yang menarik dan unik, antara sebabnya adalah rekaan yang comel.

Manakala rekaan dunia dan persekitaran walaupun adalah ringkas tetapi tetap menarik, memberi gambaran yang tersendiri untuk setiap kawasan. Ini akan menjadi lebih baik apabila anda mula membina kawasan ataupun bangunan anda sendiri.

Terdapat pelbagai bahan binaan yang boleh dicipta, dan kebanyakan juga adalah sekadar hiasan. Jumlah yang banyak memberi peluang kepada pemain yang kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang sangat menakjubkan.

Semasa saya bermain di Switch, ia mempunyai sedikit masalah kelancaran akan tetapi tidak terlalu jelas dan tidak mengacau keseluruhan permainan dan saya merasakan jika ia dimainkan di PlayStation 4 ataupun PC, masalah ini tidak akan berlaku.

Rumusan

Akhir kata, Dragon Quest Builders 2 adalah permainan yang menggabungkan elemen simulasi membina dan JRPG dengan sangat baik. Penceritaan yang disertakan memberi makna kepada permainan ini dan tidak mengharapkan kepada kandungan rekaan pemain sendiri sahaja untuk ia menjadi menarik.

Jika anda lebih berminat kepada mod permainan sandbox, ia mungkin tidak sehebat seperti Minecraft, akan tetapi ia masih satu permainan yang memberi ruang kepada kreativiti pemain. Jika anda menyukai permainan JRPG, ia adalah permainan yang anda harus cuba.

Sohor Kini