Pandang Pertama GOG Galaxy 2.0 Beta – Satu Klien Untuk Semua?

Antara masalah yang sering diperkatakan oleh sesetengah pemain di PC adalah permainan mereka berada di pelbagai tempat berbeza. Terdapat banyak klien yang digunakan untuk membeli dan memuat turun permainan.

Steam sudah semestinya menjadi tempat yang utama, kemudian hadirnya Epic Games Store, namun buat masa ini ia masih adalah klien untuk Fortnite utamanya. Ada juga Uplay yang menyertakan permainan Ubisoft, dam Origins yang menyertakan permainan EA. Oleh disebabkan terdapat banyak pilihan, kebiasaan harga akan menentukan tempat yang pemain akan beli, jadi permainan-permainan mungkin akan terdapat di pelbagai klien yang berbeza.

Bagi saya secara peribadi, ia tidak menjadi masalah kerana saya sering membuka kesemua klien setiap kali membuka PC secara automatik (untuk mendapat kemaskini). Kesemua permainan yang terpasang di PC juga saya akan sertakan pintasan di desktop. Jika anda menjadikan Steam sebagai klien utama, Steam juga mempunyai pilihan untuk menyertakan permainan-permainan lain ke dalam perpustakaan.

CD Projekt, pada Mei lepas mengumumkan yang mereka akan mengemaskini klien GOG Galaxy mereka iaitu GOG Galaxy 2.0, namun mereka ingin menjadikan klien tersebut bukan sahaja untuk permainan yang dijual di GOG tetapi juga menjadi tempat kesemua permainan anda dari pelbagai klien lain dipaparkan. Tambahan, ia juga untuk permainan anda di konsol PlayStation 4 dan Xbox One.


Buat masa ini GOG Galaxy 2.0 tidak dikeluarkan secara umum lagi, akan tetapi saya berpeluang untuk mencuba versi beta klien tersebut dan berikut adalah pandang pertama saya.

Selepas memuat turun, dan memasang GOG Galaxy 2.0 saya perlu untuk memasukkan akaun GOG Galaxy, dan ia akan menjadi akaun utama untuk penggunaan di GOG Galaxy 2.0. Selepas memasukkan akaun, ia akan menyertakan permainan yang anda beli di GOG. Jika ingin permainan daripada klien-klien lain, anda hanya perlu menggunakan tetapan “connect platform”.

Bagi versi beta ini, anda boleh menyertakan akaun Xbox Live untuk Xbox, buat masa ini ia tidak menyertakan akaun Xbox untuk PC, Epic Games Store, Origin, PlayStation Network, Steam dan Uplay. Berdasarkan penyenaraian, hanya Xbox Live yang disambung secara rasmi.

Selepas menyambung kesemua akaun yang anda miliki, ia akan mengambil 10 hingga 20 minit untuk mengeksport maklumat bagi setiap klien sebelum permainan dipaparkan. Selesainya proses eksport, permainan akan diperlihatkan di bahagian All Games. Jika anda memiliki permainan di beberapa platform, ia akan memperlihatkan semua, anda mempunyai pilihan untuk sorok jika ingin menjadikan ia lebih kemas. Ia adalah lebih baik jika mereka memberi pilihan untuk menyatukan penyenaraian bagi permainan yang sama walaupun di platform yang berlainan.

Setiap akaun yang disambung juga akan mempunyai tab tersendiri jika anda ingin melihat permainan daripada satu klien sahaja. Selain menyenaraikan, melalui laman untuk permainan tersebut, anda boleh juga memasang dan melancarkan permainan (ia adalah terhad untuk klien di PC sahaja).

Oleh disebabkan permainan tersebut masih di klien yang asal, walaupun anda memasang ataupun melancarkan permainan tersebut melalui GOG Galaxy 2.0, ia masih lagi akan membuka klien yang asal sebelum dipasang ataupun dilancarkan. Bagi saya ia agak menjengkelkan, saya berharap apabila GOG Galaxy 2.0 dilancarkan secara penuh, kesemua perkara tersebut berlaku di-belakang.

Di bahagian tetapan terdapat pilihan untuk memastikan permainan yang terpasang dilancarkan menggunakan GOG Galaxy, akan tetapi buat masa ini tetapan tersebut tidak boleh digunakan. Sekurang-kurangnya ia memberi harapan yang tetapan tersebut akan tiba apabila versi penuh dikeluarkan kelak.

Seperkara yang bagi saya agak menarik adalah GOG Galaxy 2.0 dapat memperlihatkan trofi dan achievement yang diperoleh untuk setiap permainan (buat masa ini ia hanya menyokong permainan di GOG, Steam dan PlayStation). Menyertakan pelbagai platform di satu tempat, memberi GOG Galaxy 2.0 untuk menyediakan satu ringkasan pencapaian sepertimana yang diperlihatkan di bahagian tab ‘Recent’.

Kesemua di atas adalah fungsi yang tersedia di dalam versi beta, namun CD Projekt ada menjanjikan pelbagai fungsi lain, antaranya adalah “Games Discovery”. Melaluinya, pemain dapat melihat permainan yang akan datang di kesemua platform dan dapat mengikut perkembangan permainan tersebut termasuk juga mengetahui jika rakan anda juga menyukainya.

Manakala untuk bahagian Friends, CD Projekt menjanjikan satu tempat untuk melihat aktiviti rakan rakan di semua platform, namun buat masa ini ia tidak disertakan dengan penuh dan saya juga tidak mempunyai rakan yang mendapat akses kepada GOG Galaxy 2.0 beta untuk mencuba apa yang tersedia. Berdasarkan apa yang dikatakan, buat masa ini ia menyokong untuk membolehkan anda melihat pencapaian serta aktiviti rakan anda.

Selain itu, mereka juga menjanjikan fungsi seperti chat rentas-platform dan menggabungkan senarai rakan anda di kesemua platform di dalam satu platform. Bagi saya ia adalah fungsi yang sangat menarik, anda tidak lagi perlu membuka aplikasi PlayStation contohnya untuk berborak dengan rakan di konsol tersebut.

Buat masa ini, GOG Galaxy 2.0 mempunyai fungsi yang masih terhad, tetapi berdasarkan apa yang ada sudah cukup untuk membuatkan saya teruja dengan versi penuh yang akan dikeluarkan kelak. Jika mereka ingin menjadikan klien ini sebagai satu-satunya klien yang diperlukan di PC, CD Projekt harus menyelesaikan masalah di mana setiap perkara yang dilakukan akan memerlukan klien asal untuk dibuka, ia bukan sahaja menjengkelkan tetapi ia juga menjadikan klien ini tidak mempunyai perbezaan dengan sekadar meletakkan pintasan di Desktop seperti yang saya lakukan sekarang.

Informasi yang disediakan juga terhad dan bergantung kepada platform yang ingin menyediakannya. Contohnya, Steam mempunyai jumlah jam bermain, tetapi tidak di PlayStation. Saya berharap, walaupun melalui PlayStation sendiri ia bukan sesuatu yang boleh dilihat, CD Projekt dapat bekerjasama dengan penyedia platform untuk mendapatkan data tersebut yang bagi saya akan menjadikan bahagian rumusan lebih menarik. Saya juga berharap, ia akan menyertakan permainan di konsol Nintendo juga.


CD Projekt masih tidak berkongsi mengenai tarikh klien baharu ini akan dikeluarkan secara menyeluruh, bagi anda yang ingin mencuba, sesi percubaan Beta tertutup masih boleh diminta dan mereka sedang menambah jumlah pemain yang dapat mencubanya dari semasa ke semasa.

Adakah GOG Galaxy 2.0 dapat menyelesaikan masalah pemain PC memiliki terlalu banyak klien dan juga menjadi satu tempat untuk berhubung dengan rakan anda di setiap platform masih tidak terjawab melalui percubaan ini. Ia masih memerlukan pelbagai penambahan sebelum ia dapat menyelesaikan masalah tersebut,

Namun, sekurang-kurangnya kita tahu yang ada satu syarikat yang bersedia untuk menyelesaikannya. Berjaya atau tidak, kita hanya perlu tunggu dan lihat sahaja. Oleh disebabkan GOG Galaxy 2.0 adalah satu projek CD Projekt yang saya boleh katakan satu nama gah di dalam industri permainan video saya boleh katakan ada kebarangkalian yang baik untuk berjaya.

Apa pendapat anda mengenai GOG Galaxy 2.0? Adakah anda akan menggunakannya apabila ia dikeluarkan secara penuh kelak? Serta, adakah CD Projekt cuba menyelesaikan satu masalah yang wujud atau anda berpendapat tiada masalah untuk terus kekalkan seperti sekarang?

Daftar: GOG Galaxy 2.0 Beta Tertutup

Sohor Kini