Bagi anda yang meminati siri Gundam ataupun figura kit Gunpla, anda pasti pernah bermain permainan Gundam Breaker di mana ianya adalah siri permainan terkenal yang membenarkan pemain untuk menghasilkan Gunpla idaman mereka secara maya.
Terkini, Bandai Namco mengumumkan bahawa mereka akan membawa permainan tersebut ke peranti mudah-alih iaitu Gundam Battle: Gunpla Warfare. Menariknya, bagi pasaran Jepun, permainan tersebut di namakan Gundam Breaker Mobile.
Seperti siri Gundam Breaker sebelum ini, melalui permua ini pemain berupaya untuk menghasilkan Gunpla mereka sendiri dengan pelbagai kelengkapan dan bahagian-bahagian Gunpla lain.
Menurut Bandai Namco, permua ini akan menyertakan lebih dari 25 siri Gundam terkenal bersama dengan penceritaannya tersendiri yang memfokuskan kelab Gunpla di sekolah menengah.
Bagi anda yang ingin mengetahui informasi lanjut berkenaannya, anda boleh ke laman rasmi permua tersebut.
Gundam Battle: Gunpla Warfare dijadualkan untuk dilancarkan pada 21 Ogos 2019 ini di peranti iOS dan Android. Walaupun pra-pendaftarannya telah pun dibuka, namun buat masa ini ianya masih belum dibuka buat pasaran Malaysia. Kami akan mengemaskini jika terdapat informasi lanjut berkenaannya.