Penganjuran Mobile Legends: Bang Bang Mid Season Cup (MSC) dan MLBB Women’s International (MWI) di Esports World Cup (EWC) 2026 menyaksikan kembalinya MSC Pass bermula 19 Julai hingga 8 Ogos ini. Pas bermusim tersebut menawarkan pelbagai ganjaran dalam permainan, dengan pengenalan skin eksklusif Baxia “Aegis of Honor” sebagai tarikan utama.

Sepanjang tempoh acara berlangsung, MSC Pass boleh didapati pada harga 719 Diamonds selepas potongan diskaun 20% daripada harga asal iaitu 899 Diamonds. Pembelian pas ini membolehkan pemain membuka skin Baxia “Aegis of Honor”, MSC Coin Pack, serta menerima ganjaran berganda daripada tugasan pas yang disediakan. Mata wang MSC Coins yang dikumpul juga boleh ditebus di Event Shop untuk mendapatkan barangan terhad seperti MSC 2026 Avatar Border, Battle Emote, serta skin terdahulu termasuk Valentina “Dark Nexus” dan Atlas “Rune Sentinel”.

Selain ganjaran pas, pemain boleh menyertai acara ramalan “MY CHAMPIONS PICK” untuk meneka juara MSC dan MWI bagi berpeluang memenangi ganjaran 50,000 Diamonds serta skin kejohanan. Apabila juara baharu dinobatkan, seluruh komuniti pemain dari negara yang memenangi MSC bakal menikmati faedah khas (MSC Champion Benefits) seperti Double EXP, akses percuma masa terhad untuk semua hero, bonus bintang bagi kemenangan mod ranked, serta akses percuma untuk semua skin MSC terdahulu.

Kejohanan tahun ini melakar sejarah tersendiri apabila julung kalinya diadakan di Eropah bertempat di Paris, Perancis. Di bawah tema “Two Champions, One Game”, saingan ini turut membabitkan kejohanan MWI yang mengumpulkan 16 pasukan wanita terbaik dunia dari laluan kelayakan yang merangkumi lebih 60 rantau. Peringkat kalah mati MWI akan menobatkan juara pada 18 Julai ini dengan menawarkan rebutan hadiah terkumpul sebanyak $500,000.

Selepas berakhirnya EWC 2026, kalendar kejohanan global permainan ini bakal diteruskan dengan acara perebutan pingat di Sukan Asia ke-20 di Aichi-Nagoya, Jepun. Seterusnya, kejohanan kemuncak dunia M8 World Championship Finals dijadualkan berlangsung di Türkiye pada Januari depan, sekali gus menandakan kemunculan pertama siri kejohanan dunia tersebut di benua Eropah.

Leave a Reply