Skip to main content

Observation merupakan permainan yang dibangunkan oleh No Code dan diterbitkan oleh Devolver Digital untuk PlayStation 4 dan PC pada 21 Mei 2019.

Ia merupakan permainan yang ringkas tetapi mengandungi pengisian yang padat menjadikan ia adalah antara permainan misteri dan tekaria terbaik pernah saya cuba.

Selain itu, ia juga merupakan permainan yang akan digemari oleh pemain yang menyukai genre sains fiksyen tambah-tambah lagi mengenai angkasa lepas. Mengapa? Berikut adalah ulasan saya untuk Observation.

Cerita

Seperti yang saya nyatakan di bahagian pendahuluan, Observation mempunyai penceritaan yang akan digemari oleh pemain yang meminati genre sains fiksyen terutama yang berkait dengan angkasa lepas.

Di dalam permainan ini, pemain akan memegang watak SAM ataupun System Administration and Maintenance iaitu sebuah AI untuk kapal angkasa Observation.

Observation sepatutnya mempunyai 6 anak kapal akan tetapi pada awal permainan selepas satu kejadian yang misteri, hanya seorang sahaja yang berkomunikasi dengan SAM iaitu Emma Fisher.

Sepanjang permainan ini, ia adalah usaha Emma Fisher untuk menyiasat di mana anak-anak kapal lain berada termasuk apa yang berlaku di ke atas mereka yang mengakibatkan pelbagai kejadian aneh berlaku. Sebagai AI, pemain akan membantu Emma Fisher dan berada bersama beliau untuk turut menyiasat apa yang berlaku.

Kekuatan utama bagi penceritaan permainan ini adalah pada misteri serta elemen sains fiksyen yang disertakan. Setiap misteri yang dirungkai-kan membuatkan saya makin tidak sabar untuk mengetahui lanjut mengenai apa yang akan berlaku seterusnya.

Saya bukanlah penggemar sains fiksyen yang tegar, mahupun yang mengambil tahu mengenai angkasa lepas akan tetapi apa yang diperlihatkan di dalam permainan ini sangat menarik dan saya merasakan ia akan dihargai oleh pencinta genre ini.

Satu lagi perkara yang membantu permainan menjadi lebih baik adalah kelajuan penceritaan. Kelajuan misteri-misteri serta penceritaan terungkai adalah baik membuatkan penceritaan tidak menjadi terlalu berjela pada masa sama tidak terlalu ringkas.

Menjadi kebiasaan untuk penceritaan genre sains fiksyen, pengakhiran serta jangkaan apa yang berlaku di dalam permainan ini juga tidak terlalu tegar dan masih terbuka kepada interpretasi pemain. Ia mungkin tidak digemari oleh sesetengah pemain, tetapi bagi aku ia menjadikan penceritaan lebih menarik.

Bentuk Permainan

Selain penceritaan, Observation juga mempunyai bentuk permainan yang baik. Ia adalah permainan pengembaraan yang memfokuskan kepada tekaria serta sedikit elemen seram.

Sebagai SAM iaitu AI, anda akan melihat permainan daripada pandangan kamera yang terdapat di sekitar kapal angkasa Observation. Ada juga dron yang boleh bergerak lebih bebas, tetapi pergerakan adalah terhad dan kebanyakan aksi akan dilakukan oleh Emma Fisher.

Sepanjang permainan ini, seperti yang saya perkatakan di bahagian cerita, untuk menyiasat apa yang berlaku serta mencari anak-anak kapal yang lain, Emma Fisher perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, dan anda akan membantu beliau dengan menyelesaikan membuka pintu, mengakses sistem serta memperbaiki kerosakan yang terdapat di sistem tersebut.

Segala yang dilakukan oleh SAM, akan melakukan pemain untuk menyelesaikan pelbagai tekaria yang ringkas. Ada tekaria yang memerlukan hafalan, ada juga tekaria yang hanya memerlukan pemain mengikut arahan, secara keseluruhan tekaria yang disediakan tidaklah mencabar tetapi sudah cukup untuk menjadikan permainan lebih interaktif.

Satu perkara yang lebih menarik berbanding tekaria adalah, kebanyakan arahan yang diberikan oleh Emma Fisher adalah tidak menyeluruh dan terperinci, anda sebagai pemain harus mencari jalan penyelesaian secara sendiri. Selain itu, kebanyakan tekaria juga memerlukan anda untuk mencari pelbagai rujukan di kawasan sekitar.

Selain rujukan, terdapat juga pelbagai dokumen yang tidak wajib dijumpai tetapi boleh membantu pemain untuk lebih memahami apa yang berlaku serta perhubungan di antara anak-anak kapal. Ia agak menarik, namun tidak penting untuk dicari.

Tambahan, pergerakan semasa di dalam dron agak menjengkelkan, saya cuba mengawalnya menggunakan papan kekunci dan tetikus serta alat kawalan, kedua-duanya tidak memberi pengalaman yang baik. Ia juga akan memudahkan anda untuk sesat.

Melainkan anda sesat untuk satu jangka masa yang lama, permainan ini tidak akan memperlihatkan laluan yang perlu dilalui, ia akan memerlukan pengembaraan serta hafalan. Namun, satu perkara yang sangat menyusahkan adalah apabila berada di luar kapal angkasa. Anda mungkin akan sesat dan tidak tahu untuk menuju ke mana. Ia serba sedikit mengganggu pengalaman bermain.

Walaupun sering sesat, dan mengambil masa untuk memahami apa yang perlu dilakukan, permainan ini agak pendek. Anda dapat menyelesaikannya dalam masa 5 hingga 6 jam. Berdasarkan penceritaan dan bentuk permainan saya boleh katakan ia cukup padat, tetapi jika anda ingin mencari permainan yang memberi nilai berdasarkan durasi permainan, mungkin permainan ini terlalu pendek. Namun, dengan harga yang ditawarkan saya boleh katakan ia cukup berpatutan.

Grafik

Walaupun mempunyai PC dengan spesifikasi yang sederhana dengan kad grafik GTX 970, selain itu saya juga menguji permainan ini di HP Omen 15 yang menggunakan kad grafik GTX 1050, tetapan kualiti grafik yang boleh digunakan cukup baik.

Oleh kerana ia berlaku di angkasa lepas, pemandangan anda akan terhad kepada di dalam kapal angkasa dan juga di luar angkasa termasuk juga satu planet. Namun, rekaan dalaman kapal, serta rekaan kapal angkasa sendiri dilakukan dengan cukup baik.

Ia memberikan perasaan, anda benar-benar berada di angkasa. Manakala rekaan watak, seperti Emma Fisher juga dilakukan dengan baik. Satu kekurangan adalah rekaan riak wajah yang nampak kaku. Walaupun di adegan yang cemas, seram ataupun sedih, riak wajah yang ditampilkan tidak meyakinkan.

Untuk segi kelancaran pula, saya tidak mengalami sebarang masalah dan prestasi yang disediakan sangat memuaskan. Ada beberapa pepijat kecil seperti Emma Fisher berada di dalam sesuatu bilik walaupun bilik tersebut sepatutnya terkunci dan perlu dibuka terlebih dahulu.

Penggredan warna serta efek gangguan barangan elektronik dilakukan dengan baik memberi satu perasaan yang bersesuaian dengan apa yang cuba disampaikan oleh permainan ini iaitu misteri dan sedikit seram. Ia juga memberikan satu perasaan bagaikan menonton filem sains fiksyen.

Audio

Observation adalah satu permainan misteri, selain menggunakan jalan cerita, ia juga pandai menggunakan muzik latar serta kesan bunyi untuk memberikan perasaan tersebut.

Terdapat pelbagai kejadian yang memerlukan kesan bunyi yang tertentu, tambahan ia adalah permainan sains fiksyen, yang kebiasaan mempunyai kesan bunyi yang lebih aneh. Permainan ini berjaya melakukannya dengan baik.

Selain itu, ia juga mempunyai sedikit elemen serama dan walaupun tidak mempunyai banyak adegan yang mengejut, tetapi apabila ia dilakukan, ia dilakukan dengan baik.

Lakonan suara untuk watak-watak di dalam permainan ini, terutamanya Emma Fisher dan juga SAM sendiri dilakukan dengan sangat berkualiti. Jika reaksi muka gagal memberi perasaan yang jelas, lakonan suara membantu untuk menyampaikan dengan lebih baik.

Rumusan

Akhir kata, Observation adalah satu permainan yang mempunyai jalan cerita yang sangat baik, ia juga disertakan dengan bentuk permainan yang ringkas tetapi memadai untuk satu permainan yang mempunyai durasi selama 5 jam.

Ia mungkin permainan yang pendek untuk sesetengah pemain, tetapi dengan harga yang ditawarkan, saya boleh katakan ia adalah satu permainan yang berbaloi untuk dicuba. Terutama jika anda menggemari genre misteri dan juga sains fiksyen.

Leave a Reply