Earth Defense Force: Iron Rain merupakan permainan sampingan buat siri Earth Defense Force di mana ianya lebih memfokuskan konsep permainan yang lebih sesuai buat pasaran global dan ianya dibangunkan oleh Yuke’s.

Permainan tersebut merupakan permainan eksklusif di Playstation 4 di mana ia merupakan permainan pertama siri Earth Defense Force yang menggunakan enjin permainan Unreal Engine 4. Dengan visual yang lebih cantik dicampur bentuk permainan yang lebih terbuka, permainan ini sememangnya sedikit berbeza dengan siri Earth Defense Force sebelum ini.

Namun adakah konsep baharu dan bentuk permainan sampingan ini menarik dan sesuai buat mereka yang baru dengan siri ini? Ini adalah ulasan saya untuk Earth Defense Force: Iron Rain.

Cerita

Secara jujurnya, penceritaan permainan ini adalah satu bentuk yang agak lemah di mana ianya tidak begitu menarik minat saya kerana sepanjang saya bermain permainan ini, saya langsung tidak menghiraukan penceritaannya. Naratif permainan ini tidaklah diterangkan dengan begitu baik dan jika saya ingin kongsikan sinopsis penceritaan permainan ini, secara asasnya, bumi ditakluk oleh makhluk asing, dan pemain sebagai seorang askar Earth Defense Force perlu menahan bumi daripada ditawan oleh makhluk-makhluk tersebut.

Konsep penceritaannya agak asas dan pada permulaan permainan ini, mereka menyediakan fungsi untuk menghasilkan watak pemain sendiri, dengan harapan ianya akan mendekatkan lagi antara watak penceritaan dan pemain. Namun, cara penyampaiannya agak mengecewakan kerana watak yang direka oleh pemain tidak berinteraksi dengan baik bersama-sama watak lain, dan penceritaannya kebanyakan tidak langsung menarik minat saya.

Permainan terbahagi kepada beberapa misi sehingga lebih dari 50 misi berbeza yang pemain boleh lakukan. Semestinya setiap misi tersebut mempunyai penceritaannya tersendiri, namun ianya agak terhad di mana kebanyakan misi yang tersedia mempunyai misi yang hampir serupa.

Terdapat juga beberapa saat dan adegan yang menarik ketika saya bermain permainan ini, seperti saat di mana terdapat sekumpulan askar di serang dan pemain perlu menyelamatkan mereka ataupun saat di mana pangkalan pemain diserang secara bertubi-tubi. Akan tetapi, ianya masih terhad setakat itu sahaja tanpa sebarang bentuk naratif yang baru.

Walaubagaimana pun, bagi anda yang pernah bermain siri permainan Earth Defense Force, anda pasti mengetahui bahawa siri permainan ini tidaklah memfokuskan penceritaan secara mendalam, malah bentuk naratif selalunya buat siri ini adalah kandungan sampingan sahaja.

Grafik

Dengan menggunakan enjin permainan Unreal Engine, Earth Defense Force: Iron Rain sememangnya mempunyai visual yang menawan jika ingin dibandingkan dengan siri permainan sebelum ini.

Namun begitu, memandangkan permainan mempamerkan nilai musuh yang banyak, ianya juga sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kadar bingkai sesaat permainan tersebut terutamanya jika terdapat banyak musuh yang berada di dalam skrin permainan.

Bukan setakat itu sahaja, dunia permainan ini juga berasa agak kosong memandangkan pembangun ingin mengurangkan model dan visual kandungan yang dipaparkan di dalam permainan. Walaupun pentas permainan ini sangat luas, tetapi ianya berasa sangat terbiar dan kosong dan membuatkan saya berasa tidak langsung berminat untuk meneroka pentas permainan tersebut setiap kali saya melakukan misi di dalamnya.

Akan tetapi, sekali lagi untuk siri Earth Defense Force, masalah sebegini adalah perkara biasa. Memandangkan permainan ini terkenal dengan musuh yang banyak di skrin, ianya sering menghadapi tersebut.

Meskipun begitu, apa yang suka juga semestinya adalah visual dan rekaan musuh yang besar ketika saya bertempur. Bukan sahaja terdapat pelbagai jenis musuh, malah terdapat musuh-musuh yang bersaiz sangat besar sehingga tidak langsung muat di dalam skrin permainan.

Audio

Dari segi audio, perkara pertama yang pasti saya perlu kritik adalah pelakon suara latar permainan adalah sangat mengecewakan. Bukan sahaja kesemua watak melakonkan suara yang sangat janggal, malah terdapat beberapa watak yang langsung seakan membaca terus daripada skrip.

Namun sekali lagi, untuk siri Earth Defense Force, ini adalah perkara biasa memandangkan ianya bukanlah fokus utama permainan tersebut. Namun, memandangkan permainan ini dipasarkan sebagai satu permainan sampingan untuk pasaran global, ianya agak mengecewakan Yuke’s masih lagi mengekalkan konsep sebegini.

Dari segi bentuk audio yang lain seperti bunyi tembakan, musuh dan sebagainya, apa yang saya boleh katakan ianya adalah sederhana sahaja. Ini juga termasuklah muzik di mana keseluruhan sesi permainan ini, saya langsung tidak menghiraukan sebarang muzik mahupun audio yang dipaparkan kerana ianya tidak memberi sebarang impak yang menarik ketika sesi permainan saya.

Kawalan

Bagi anda yang baru dengan siri Earth Defense Force, ianya adalah satu permainan penembak pandang ketiga di mana anda mempunyai sebilangan jenis senjata dan perlu menumpas makhluk asing yang cuba menakluk bumi.

Dengan pelbagai gajet dan senjata, anda perlu bekerjasama bersama askar lain untuk bertempur pelbagai jenis musuh makhluk asing yang sangat banyak dan makhluk asing tersebut terdiri daripada pelbagai jenis bentuk dan sebahagiannya adalah serangga bersaiz gergasi seperti semut, lebah, kala jengking dan sebagainya. Terdapat juga musuh makhluk asing di dalam satu bentuk saiz robot yang besar dan pemain perlu mencari kelemahannya untuk menewaskan makhluk asing tersebut.

Ianya sedikit sebanyak mengingatkan kami bentuk permainan seperti permainan siri Musou, namun Earth Defense Force: Iron Rain lebih memfokuskan bentuk senjata jarak jauh. Namun konsep tersebut masih lagi serupa memandangkan ia adalah satu permainan yang tidak terlalu serius dan anda tidaklah perlu fokus bermain dengan hanya menekan butang tembakan berulang-ulang kali sahaja.

Secara asasnya, begitulah apa permainan Earth Defense Force: Iron Rain ini. Ianya masih lagi mengekalkan bentuk asas permainan sebelum ini, namun melalui permainan ini, Yuke’s menyertakan sebilangan bentuk tambahan seperti pemilihan senjata yang berbeza ketika awal permainan dan juga beberapa sut perisai mengikut kelas. Selain itu, pemain juga berupaya untuk menggunakan pelbagai jenis kenderaan seperti kereta kebal, robot mecha, kenderaan dan sebagainya untuk meneroka dunia permainan tersebut di samping bertempur bersama musuh.

Walaubagaimana pun, perkara pertama yang saya akan ulaskan adalah bentuk pengubah-suaian watak yang diperkatakan saya di atas di mana permainan ini memfokuskan pelbagai bentuk pengubah-suaian yang pemain boleh lakukan. Dari jenis rambut, muka sehinggalah pakaian seperti topi, baju dan seluar, kesemuanya boleh diubah-suai oleh pemain. Namun, pengubah-suaian tersebut agak terhad ddan pemain perlu bermain misi-misi yang terdapat di dalam permainan ini untuk menyah-kuncinya dan untuk memilikinya pemain perlu membeli barangan tersebut.

Dari segi kelas watak pula, permainan ini mempunyai satu bentuk ‘PA System’ yang pemain boleh pilih sebelum melakukan sebarang misi. Pada awalnya permainan ini hanya menyediakan dua sahaja dan lagi dua kelas tambahan akan dinyah-kunci setelah pemain maju di dalam penceritaannya.

Terdapat empat kelas PA System yang berbeza iaitu Jet Lifter, Trooper, Heavy Striker dan Prowler Riders. Keempat-empat kelas PA System ini mempunyai bentuk permainan yang berbeza di mana ianya bukan sahaja mengubah keseluruhan bentuk permainan, malah memberi kepelbagaian buat pemain.

Secara asasnya, Jet Lifter adalah satu kelas yang membenarkan pemain untuk terbang, Trooper pula adalah satu kelas asas yang mana mempunyai pertahanan dan serangan yang seimbang. Heavy Striker pula adalah kelas yang memfokuskan serangan dan melaluinya pemain berupaya untuk membawa senjata yang lebih banyak dan berkuasa.

Akhir sekali adalah kelas Prowler Rider di mana pada pendapat saya ianya adalah satu bentuk yang hampir serupa dengan bentuk ODM (Omni Directional Manuever) daripada siri anime Attack On Titan. Ini kerana pemain berupaya untuk mencangkuk ke dinding dan terbang ke arahnya.

Selain daripada itu, keempat-empat kelas PA System ini juga mempunyai satu kemahiran yang berbeza di mana ianya seakan satu serangan istimewa yang pemain boleh lakukan, iaitu sistem Overdrive. Setiap PA System mempunyai kemahiran berbeza seperti Jet Lifter membenarkan pemain untuk terbang tanpa had, manakala Prowler Rider pula membenarkan pemain menunggang raksasa makhluk asing.

Dari segi jenis senjata pula, semestinya ini adalah satu perkara yang saya sangat sukai di mana permainan ini menyertakan pelbagai jenis senjata, dari segi senjata jarak jauh sehinggalah senjata jarak dekat seperti pedang. Setiap senjata yang pemain dapatkan melalui pembelian di kedai dan ia terdiri daripada pelbagai jenis senjata seperti bazooka, senapang patah sehinggalah mesingan.

Untuk membeli senjata tersebut pula, pemain perlu mengutip tenaga-tenaga yang terjatuh setelah pemain tewaskan musuh dan setiap jenis tenaga tersebut mempunyai warna berbeza di mana warna tersebut juga menetapkan nilai tenaga tersebut. Ini juga perkara yang sama seperti saya kongsikan di atas untuk kelengkapan kostum buat pemain.

Pemain juga boleh memasang dan membawa pelbagai jenis gajet aksesori seperti bom, alat penyembuh dan juga kenderaan untuk bertempur dengan berpuluh-puluh musuh. Ini juga membuka bentuk yang lebih menarik dan pada masa yang sama lebih pelbagai dari segi bentuk kawalan permainan.

Akan tetapi, dukacitanya bentuk permainan Earth Defense Force: Iron Rain berasa sangat berulangan. Ini kerana misi-misi yang tersedia kebanyakannya hanya memerlukan pemain untuk menewaskan musuh secara berulang kali. Terdapat beberapa misi yang berbeza seperti menahan pangkalan daripada diserang dan sebagainya. Akan tetapi kebanyakan misi yang tersedia, mempunyai konsep yang sama.

Permainan ini juga mempunyai bentuk multi-pemain, namun dukacitanya saya sendiri tidak berpeluang untuk mencuba bentuk multi-pemain tersebut kerana saya tidak menjumpai pemain yang bermain secara rawak. Kebanyakan lobi pelayan yang saya jumpai, kesemuanya mempunyai kata laluan tersendiri, sekaligus saya tidak berpeluang untuk menyertainya.

Meskipun begitu, permainan ini juga menyertakan bentuk multi-pemain secara pembahagian skrin. Ini sekaligus bagi anda yang ingin bermain bersama rakan anda melalui luar-talian, anda boleh berbuat demikian dan bekerjasama untuk menewaskan musuh-musuh makhluk asing tersebut.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan adalah Earth Defense Force: Iron Rain sememangnya satu permainan yang seronok dengan konsep dan bentuknya tersendiri di mana ianya bukanlah satu permainan yang serius. Setiap sesi permainan boleh dimainkan secara lewa tanpa perlu berfikir di mana saya boleh bertempur dan menembak musuh dalam 10 hingga 15 minit buat sesuatu misi. Ini kerana permainan ini sendiri tahu bahawa ianya bukan satu permainan aksi yang gah dan memerlukan tumpuan yang tinggi untuk bermainnya.

Akan tetapi, untuk permainan yang berharga penuh, ianya agak mengecewakan terutamanya misi permainan yang berulangan dicampur dengan penceritaan yang membosankan. Tambahan itu, permainan ini juga memerlukan pemain untuk terus bermain secara berterusan untuk mendapatkan pelbagai jenis senjata, sekaligus ianya berasa sangat penat untuk dimainkan secara terus akibat bentuknya yang berulangan.

Bukan sekadar masalah visual yang saya terangkan diatas, malah dunia pentas permainan yang berasa kosong, ianya membuatkan permainan ini berasa permainan bertaraf rendah.

Meskipun begitu, bagi anda yang suka bermain permainan bergenre ini yang memfokuskan bentuk permainan secara lewa dan ingin mencari sesuatu yang tidak serius untuk berehat selepas bermain permainan sukar seperti Sekiro ataupun Dark Souls, permainan ini mungkin sesuai buat anda.

Penafian: Kod ulasan untuk permainan Earth Defense Force: Iron Rain disediakan oleh Playstation Asia.

Sohor Kini