Setelah menggunakan Nintendo Switch selama setahun, walaupun saya sudah menghabiskan permainan seperti The Legends of Zelda: Breath of the Wild, permainan yang terus memegang rekod sebagai permainan paling lama saya mainkan di konsol ini adalah Stardew Valley.

Ini bukanlah satu ulasan untuk Stardew Valley, tetapi untuk permainan yang mempunyai konsep yang lebih kurang sama iaitu My Time at Portia. Ia adalah permainan yang dibangunkan oleh Pathea Games dan diterbitkan oleh Team 17. Ia sudah dikeluarkan untuk PC pada Januari lepas, turut dikeluarkan lebih awal secara akses awal, tetapi hanya tiba ke konsol pada 16 April lepas untuk Playstation 4, Xbox One dan Switch.

Ulasan ini adalah berdasarkan sesi permainan saya untuk versi Switch. Walaupun Stardew Valley masih lagi permainan paling lama saya mainkan tetapi saya menjangkakan My Time at Portia akan memecahkan rekod tersebut tidak lama lagi, untuk mengetahui ‘kenapa?’ berikut adalah ulasan saya.

Cerita

My Time at Portia seperti permainan sandbox yang lain lebih memfokuskan bentuk permainan ataupun menyibukkan diri dengan melakukan pelbagai aktiviti berbanding bercerita. Walaupun begitu, ia masih mempunyai beberapa cabang penceritaan yang menarik.

Bergantung kepada pilihan jantina untuk watak, anda akan memainkan watak Marco ataupun Linda yang membesar di Barnarock sebelum berpindah ke Portia untuk menetap di sana selepas menerima tempat bengkel bapa yang menghilangkan diri.

Tujuan utama anda adalah untuk mengembalikan kegemilangan bengkel tersebut, maka bermulalah kehidupan sebagai seorang jurutera. Penceritaan banyak disampaikan melalui misi utama dan juga misi sampingan. Pada masa sama terdapat juga adegan-adegan khas tetapi tidak terlalu kerap.

Portia mempunyai pelbagai kawasan yang terbiar kerana kejadian pada suatu ketika dahulu di mana manusia menggunakan pelbagai teknologi yang akhirnya mengakibatkan kemusnahan berlaku. Ia juga menjadi fokus utama dalam penceritaan.

Misi utama mempunyai satu penceritaan yang berterusan yang bagi saya agak menarik, akan tetapi oleh disebabkan anda akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan misi-misi tersebut, penceritaan terasa sangat berjauhan dan kurang memberi impak.

Manakala misi sampingan, memfokuskan penceritaan mengenai watak NPC tertentu. Ia kebiasaan hadir dalam bentuk mereka memerlukan sesuatu kerana sebab-sebab yang menjadi asas penceritaan untuk watak tersebut.

Terdapat hampir 50 watak NPC yang pemain boleh berinteraksi, melalui interaksi tersebut pemain juga boleh mengenali serba sedikit mengenai watak-watak tersebut. Ia agak menarik kerana setiap watak mempunyai kisah tersendiri.

Saya boleh katakan, penceritaan yang disediakan sudah cukup untuk menemani sesi permainan pemain, akan tetapi ia bukanlah satu tarikan utama. Walaupun permainan ini juga dikatakan sebagai permainan RPG, ia tidak mempunyai bentuk penceritaan yang mendalam seperti permainan lain untuk genre tersebut.

Bentuk Permainan

My Time at Portia tidak mempunyai penceritaan yang mendalam akan tetapi ia disertakan dengan pengisian kandungan yang sangat padat serta pelbagai aktiviti yang menarik dan unik. Perkara tersebut adalah sebab utama mengapa saya menjangkakan ia akan menjadi permainan paling lama saya mainkan di Switch.

Anda sebagai seorang jurutera, tugasan utama adalah membina. Pada awal permainan pemain akan diberikan Worktable dan Assembly Station. Worktable membolehkan pemain untuk mereka peralatan, perhiasan dan juga bahan binaan. Manakala Assembly Station digunakan untuk memasang pelbagai membina barangan yang besar.

Menggunakan Assembly Station pemain dapat membina Furnace, Grinder, Cutter dan Skiver. Peralatan tersebut akan digunakan untuk pemain memproses bahan mentah untuk menghasilkan bahan binaan yang ingin digunakan di Worktable ataupun Assembly Station.

Secara asasnya, itulah perkara utama yang pemain akan berinteraksi. Selain itu, pemain juga perlu mencari bahan mentah sendiri, sama ada dengan melombong di dalam gua ataupun pelbagai bangunan terbiar.

Untuk melombong, terdapat dua tempat iaitu Abandoned Ruins dan Abandoned Ruins 2. Sebelum dapat memasukinya pemain perlu membayar bayaran masuk seminggu sekali. Pemain juga akan diberikan Jetpack dan Relic Detector.

Jetpack digunakan untuk melompat ke atas, berguna apabila pemain mengali ke bawah. Manakala Relic Detector seperti namanya digunakan untuk mengesan barangan bernilai yang terdapat di gua tersebut.

Pemain juga perlu mendapatkan bahan mentah dengan memotong pokok serta menghancurkan batu menggunakan kapak dan juga beliung yang boleh dibuat menggunakan Worktable.

Pemain juga boleh mendapatkan barangan penting dan juga bahan binaan dengan memasuki bangunan terbiar seperti Ingall’s Mine, Sewage Plant dan Deepest Ruin. Ingall’s Mine dan Sewage Plant mempunyai 4 tahap, setiap tahap mempunyai ganjaran dan kekuatan binatang yang berbeza. Pemain perlu bertempur menggunakan senjata yang boleh direka sendiri ataupun dijumpai.

Manakala Deepest Ruin hanya boleh dimasuki selepas misi utama hampir dihabiskan, ia mempunyai 100 tahap secara keseluruhan dan sudah semestinya sangat mencabar.

Apa yang saya tulis di atas merupakan perkara utama yang akan dilakukan oleh pemain berulang-ulang kami tetapi kerana ia adalah menyeronokkan saya tidak merasa bosan untuk melakukan setiap aktiviti tersebut.

Juga terdapat pelbagai lagi akitviti lain yang boleh dilakukan oleh pemain, seperti berkebun, menternak binatang, memancing, bercinta dan juga kahwin. Saya tidak akan terangkan lebih lanjut mengenainya, tetapi saya boleh katakan anda tidak akan kehabisan aktiviti untuk dilakukan.

Jika anda bosan menjadi jurutera, anda boleh melombong, ataupun bertempur dengan pelbagai binatang di Ruins, atau berinteraksi dengan watak-watak lain. Tambahan lagi, memproses bahan mentah akan memerlukan masa yang agak lama jadi agak mustahil untuk anda terus membina, sentiasa ada masa yang anda perlu menunggu, jadi ia akan memberikan peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti lain.

Pertempuran di dalam permainan ini juga dilakukan dengan baik walaupun ia adalah sangat asas. Sebagai satu permainan RPG, watak pemain juga mempunyai tahap. Setiap peningkatan tahap akan memberikan nyawa dan stamina yang lebih tinggi selain memberi mata untuk meningkatkan kebolehan pemain di dalam tiga kategori iaitu Fight (kebolehan bertempur), Gather (kebolehan mendapatkan bahan mentah) dan Social (kebolehan untuk berinteraksi).

Secara amnya, anda boleh melakukan setiap aktiviti tersebut mengikut pilihan anda sendiri tetapi anda juga akan diberikan pelbagai misi utama, misi sampingan dan juga misi upah.

Misi utama seperti saya katakan di atas akan menggerakkan penceritaan, ia akan memerlukan pemain menghasilkan barangan tertentu. Kebanyakan misi utama tidak mempunyai limit masa, tetapi misi seterusnya hanya akan diberikan selepas misi sedia ada diselesaikan.

Misi sampingan adalah misi yang diberikan oleh watak NPC tetapi tidak berkait dengan penceritaan utama, ia lebih kepada menolong warga Portia. Kebanyakan misi ini juga tidak mempunyai had masa.

Misi upahan boleh dikatakan misi yang boleh diselesaikan dengan cepat, selagi pemain mempunyai bahan yang cukup. Anda boleh mendapatkan misi upahan ini di papan kenyataan di Commerce Guild.

Misi ini akan mempunyai had masa tertentu, selepas bersetuju untuk mengambil misi tersebut, masa akan bermula. Pemain juga tidak boleh mengambil misi upahan yang lain pada hari sama dan juga selagi misi upahan sebelum ini tidak diselesaikan lagi.

Setiap-setiap misi yang diselesaikan akan memberikan pemain wang (Gol), Wokrshop Rank (terdapat 4 bengkel lain yang bertanding) dan meningkatkan persahabatan dengan penduduk Portia (kebiasaan dengan watak yang memberikan misi).

Pemain tidak mempunyai pelan untuk membina kesemua binaan yang terdapat puluhan benda yang boleh dibina dan pemain perlu mendapatkan pelan dengan memulakan sesuatu misi ataupun dengan menukar Data Disc yang diperoleh dengan melombong di Research Center.

Anda juga boleh membina persahabatan dengan watak-watak lain, bercinta sehinggalah berkahwin. Satu perkara yang saya gemari, melainkan anda melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh watak tersebut, tahap persahabatan tidak akan berkurang walaupun anda jarang berinteraksi.

Satu perkara yang saya sangat gemari mengenai My Time at Portia, walaupun terdapat banyak aktiviti dan perkara yang boleh dilakukan akan tetapi ia jarang memaksa pemain untuk melakukan sesuatu dengan segera. Pemain boleh bermain dengan pantas ataupun perlahan. Ia juga tidak mempunyai satu misi yang perlu diselesaikan dalam masa 3 tahun contohnya seperti Stardew Valley. Anda boleh mengambil selama mana yang diperlukan sebelum menyelesaikan kesemua misi utama.

Saya boleh katakan kandungan yang terdapat di dalam permainan ini sangatlah pelbagai dan padat. Sentiasa ada aktiviti yang perlu dilakukan, mungkin selepas bermain untuk satu jangka masa yang lama saya akan merasa bosan tetapi setakat ini walaupun lebih 40 jam, ada banyak lagi perkara yang saya masih ingin lakukan.

Kawalan Permainan

Terdapat 4 aktiviti utama yang boleh dilakukan oleh pemain di dalam My Time at Portia iaitu mengembara, membina, melombong dan bertempur. Setiap aktiviti tersebut mempunyai kawalan yang ringkas dan cukup baik.

Pada awal permainan, pemain perlu mengembara dengan berjalan kaki ataupun berlari, oleh kerana peta di dalam permainan ini agak besar ia akan mengambil masa yang agak lama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Tambahan, berlari memerlukan stamina dan tidak boleh dilakukan secara berterusan.

Namun, pemain kemudian akan mendapat misi untuk mengembalikan sistem pengangkutan awan menggunakan kereta roda tiga yang dipanggil sebagai Dee-Dee. Pemain perlu membina sekurang-kurangnya satu Dee-Dee dan tiga perhentian Dee-Dee untuk membuka sistem tersebut. Selepas itu, pengembaraan akan menjadi lebih cepat.

Pemain juga boleh membina kadang kuda untuk memelihara kuda dan Llama untuk ditunggang. Sebagai jurutera agak pelik pemain tidak boleh membina sesuatu yang lebih pantas seperti motosikal, tetapi mungkin untuk memastikan pemain menghayati pengembaraan.

Manakala untuk pembinaan, ia adalah perkara yang remeh tetapi seronok untuk dilakukan terutama apabila sesuatu yang ingin dibina akhirnya siap. Pembinaan melalui Worktable akan terus disiapkan dan bahan yang digunakan boleh diambil terus daripada tempat simpanan tanpa perlu dibawa oleh pemain. Manakala menggunakan Assembly Station, ia memperlihatkan bagaimana pemain akan memasang satu persatu bahagian yang dibina dan pemain perlu membawa bahan tersebut.

Untuk mendapat bahan, pemain boleh memproses pelbagai bahan mentah menggunakan tempat pemprosesan tertentu. Ia juga ringkas, tetapi kerana ia akan mengambil masa yang lama dan tempat pemprosesan tersebut hanya boleh menghasilkan satu bahan pada satu masa, pemain perlu merancang untuk memastikan ia dilakukan dengan efektif. Pengurusan bahan mentah ini agak menjengkelkan, pada masa sama pemain juga tidak diberikan cara untuk menyelesaikan sesuatu dengan lebih segera. Menunggu adalah sebahagian daripada permainan.

Seterusnya adalah melombong, seperti saya terangkan pemain boleh mendapatkan bahan dengan melombong di dalam gua ataupun dengan memecahkan batu serta menebang pokok yang terdapat di sekitar bandar Portia. Bagi melombong, pemain akan menggunakan beliung dan jetpack untuk bergerak di dalam gua. Pemain boleh melombong secara rawak, ataupun menggunakan Relic Detector untuk mencari bahan (kerana tidak dapat diketahui jenis bahan tersebut, ia juga adalah rawak).

Pemain tidak perlu risau untuk melombong secara mendalam ataupun jauh dengan pintu keluar, kerana apabila di dalam gua pemain boleh membuka peta di bahagian tetapan dan boleh menekan Y untuk terus kembali ke pintu masuk walaupun betapa jauh pemain telah melombong. Melombong memerlukan ruang simpanan bahan yang banyak, tetapi untuk mendapatkan ruang dengan lebih banyak agar murah, ia tidak akan menjadi masalah yang besar.

Akhir sekali, adalah pertempuran. My Time at Portia menyertakan sistem pertempuran yang agak ringkas tetapi sudah mencukupi kerana ini bukanlah permainan yang memfokuskan pertempuran. Pemain boleh menggunakan pelbagai senjata seperti pedang. Pemain hanya perlu menekan butang serang untuk menyerang, dan mengelak apabila perlu. Pertempuran adalah ulangan perkara tersebut sahaja, dan tidak mempunyai sebarang pergerakan khas.

Pemain kebiasaan akan melawan binatang ataupun robot, dan setiap darinya mempunyai cara menyerang yang berbeza, tetapi kesemuanya mudah untuk dielak dengan bergolek. Seakan Dark Soul tetapi 1000 kali lebih mudah.

Kawalan permainan untuk My Time at Portia dilakukan dengan cukup baik dan ringkas untuk mudah bagi pemain memahaminya. Satu perkara yang saya rasa akan membantu untuk menjadikan permainan lebih baik, adalah kebolehan untuk menyenaraikan bahan yang diperlukan bagi membina sesuatu benda. Satu lagi adalah kotak simpanan boleh diakses secara terus yang agak menyenangkan tetapi lebih baik jika ia juga menyertakan cara untuk menyusun secara automatik berdasarkan jenis bahan.

Apabila pemain sudah lama bermain, pemain juga boleh membina peralatan yang akan menjadikan pembinaan atau bertani secara automatik. Ini sudah semestinya menjadikan kesemua ini lebih mudah dan anda juga dapat memfokuskan kepada mencari bahan dan bertempur.

Grafik

Arahan seni yang digunakan oleh My Time at Portia menggunakan warna yang pelbagai dan terang. Ia menjadikan setiap persekitaran dan juga watak nampak sangat menarik. Ia juga mempunyai elemen seperti lukisan yang menjadikan ia lebih menarik.

Rekaan-rekaan watak agak menarik, setiap watak diberikan personaliti melalui rekaan yang unik. Di tambah lagi persekitaran yang menarik, di luar banda ia dipenuhi dengan alam sekitar, manakala di dalam bandar rekaan bandar sangat menarik dengan setiap bangunan mempunyai variasi binaan.

Satu masalah yang membuatkan pengalaman bermain gak terganggu adalah kelancaran permainan yang tidak memuaskan. Saya tidak mencuba permainan ini di PC, tetapi saya merasakan ia adalah masalah yang unik untuk versi Switch.

Masalah yang seterusnya dah ia juga sangat mengganggu pengalaman bermain adalah ia mempunyai skrin pemuatan yang terlalu kerap. Selain itu ia juga agak lama. Anda akan melakukan banyak perkara, dan apabila setiap perkara tersebut mengambil masa untuk terbuka, ia adalah menjengkelkan. Berdasarkan pemerhatian saya, masalah ini juga mungkin adalah unik untuk versi Switch sahaja.

Pada awal pengeluaran, Pathea Games sudah mengeluarkan kemaskini yang lebih mempercepatkan skrin pemuatan tetapi saya merasakan ia masih mengambil terlalu lama. Oleh kerana ia baru sahaja dikeluarkan untuk konsol, terutama Switch, saya yakin yang pembangun akan terus memastikan permainan ini terus dikemaskini dengan kelancaran dan skrin pemuatan yang lebih baik.

Rumusan

Akhir kata, My Time at Portia adalah satu permainan yang akan memerlukan masa yang lama untuk mencuba kesemua kandungan yang disertakan. Oleh disebabkan ia menyeronokkan, saya tidak mempunyai masalah untuk menyediakan masa tersebut.

Namun, pengalaman bermain jauh lebih baik jika mereka dapat menyelesaikan masalah kelancaran permainan serta skrin pemuatan yang terlalu kerap dan lama. Ia mungkin adalah masalah yang unik untuk Switch.

Saya boleh katakan, bagi anda yang menggemari permainan sandbox permainan ini merupakan wajib untuk dibeli dan cuba akan tetapi saya menyarankan untuk anda membeli versi yang sudah stabil iaitu PC jika ingin mendapat pengalaman bermain yang sepenuhnya.

Penafian: Kod ulasan untuk My Time at Portia disediakan oleh Team 17

Sohor Kini