Awal pagi tadi, kita baru sahaja dihidangkan dengan video acah baharu buat permainan Final Fantasy VII Remake yang mana menurut Square-Enix, mereka akan berkongsi sebarang informasi lanjut menjelang Jun ini.
Meskipun begitu, tidak banyak yang dikongsikan dan Square-Enix hanya berkongsi video acah adegan dan bentuk permainan yang mana ianya kelihatan memfokuskan kawasan Midgar di dalam bahagian awal permainan Final Fantasy VII.
Namun terkini, melalui laporan RPGSite, di mana Square-Enix menyatakan bahawa melalui laman rasmi mereka bahawa Final Fantasy VII Remake disahkan akan dilancarkan secara berperingkat, sekaligus pengumuman mereka berkenaan permainan tersebut akan dilancarkan secara berepisod kini akhirnya disahkan oleh Square-Enix sendiri.
Akan tetapi, buat masa ini informasi lanjut berkenaan bentuk berepisod tersebut masih belum dikongsi sama ada ianya akan dilancarkan berepisod seakan permainan seperti Life Is Strange ataupun 1 bahagian permainan penuh mana setiap satunya terbahagi kepada beberapa bahagian seperti Final Fantasy XIII, XIII-2 dan XIII-3.
Namun adakah ini adalah satu cara yang bagus untuk permainan sebesar Final Fantasy VII? Secara teknikal, konsep ini mungkin akan mempercepatkan pelancaran permainan tersebut dan pembangun mempunyai masa untuk menyiapkan bahagian-bahagian akhir permainan.
Tetapi, memandangkan Final Fantasy VII Remake diumumkan pada 2015 lepas, adakah ianya masih lagi memerlukan masa untuk dibangunkan? Apakah pendapat anda berkenaan perkara ini, tinggalkan komen di ruangan di bawah.