Informasi Permainan Video Terkini
Video Acah Baharu Final Fantasy VII Remake Dipertontonkan Sempena Acara State Of Play

Video Acah Baharu Final Fantasy VII Remake Dipertontonkan Sempena Acara State Of Play

Diterbitkan pada Mei 10, 2019 oleh .

Acara State Of Play baru sahaja berlangsung sebentar tadi di mana Sony berkongsi sebilangan pengumuman-pengumuman baharu yang bakal tiba di konsol Playstation 4.

Antaranya adalah video acah baharu untuk Final Fantasy VII Remake yang mana ia memperlihatkan sebilangan adegan bersama bentuk permainan.

Seperti video acah sebelum ini, tampaknya ianya masih lagi memfokuskan video acah di kawasan dan lokasi awal permainan Final Fantasy VII, iaitu misi pengemboman Midgar. Dari segi kandungan dan watak, Square-Enix juga memperlihatkan beberapa watak seperti Aerith bersama Cloud dan watak yang paling dinantikan ramai, iaitu Sephiroth.

Dari segi bentuk permainan pula, seperti video acah sebelum ini, kelihatan Final Fantasy VII Remake tidak lagi akan mempunyai bentuk permainan klasik seperti pertempuran secara turutan dan memfokuskan bentuk pertempuran beraksi. Dari segi paparan antara muka dan butang pintas yang diperlihatkan, pada pendapat kami ianya sedikit sebanyak kelihatan seakan bentuk kawalan seperti siri Kingdom Hearts.

Buat masa ini tidak banyak informasi yang dikongsikan dan menurut Square-Enix ketika acara State Of Play tersebut, sebarang informasi lanjut mereka akan kongsikan pada bulan Jun ini. Kami pasti, pengumuman tersebut pasti akan berlaku ketika acara E3 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN