Skip to main content

Iceborne iaitu pernambahan seterusnya buat permainan Monster Hunter World akhirnya diumumkan bakal dilancarkan pada 6 September 2019 ini di konsol Playstation 4 dan Xbox One. Manakala bagi pemain di PC, anda tampaknya perlu menanti sehingga suku ke-empat tahun ini untuk bermain pernambahan tersebut.

Menurut Capcom, ini merupakan pernambahan terbesar buat permainan tersebut yang mana mereka bukan sahaja menyertakan kandungan dan lokasi baharu, malah ianya juga akan mempunyai pelbagai fungsi baharu khas buat pemburu di luar sana.

Antara kandungan utama adalah peringkat Hunter Rank baharu akan diperkenalkan, iaitu Master Rank. Melalui peringkat ini, pemain akan berupaya untuk bertempur dengan pelbagai raksasa yang lebih berkuasa dan mendapatkan pelbagai jenis bahan khas.

Dari segi lokasi pula, Hoarfrost Reach merupakan kawasan baharu yang disertakan bersama pernambahan ini di mana ianya adalah lokasi gunung-ganang bersalji. Melalui lokasi ini, pemain bukan sahaja akan menemui pelbagai jenis kehidupan baharu malah pemain perlu mempertahankan diri dengan cuaca yang sejuk seperti meminum minuman panas.

Sudah pastinya, raksasa baharu juga diperkenalkan di mana salah satu daripadanya adalah Elder Dragon, iaitu Velkhana seekor naga yang boleh menyerang dengan nafas ais yang sangat kuat. Raksasa-raksasa lain juga diperlihatkan seperti Banbaro, Beotodus dan raksasa baharu khas melalui pernambahan ini iaitu Nargacuga.

Dari segi bentuk permainan pula, Capcom kali ini membawa satu kelengkapan baharu yang pemain boleh gunakan ketika memburu iaitu Clutch Claw di mana pemain berupaya untuk bergayut dan mencangkuk ke raksasa ini. Alat ini juga akan membantu pemain mengawal pergerakan raksasa dengan lebih mudah dan melakukan pelbagai jenis serangan di atas raksasa tersebut.

Selain itu, fungsi Slinger juga kini dipertambahkan dan akan terdapat pelbagai lagi kemahiran baharu yang pemain boleh lakukan melalui senjata-senjata yang terdapat di dalam permainan ini. Menurut Capcom, informasi lanjut berkenaan perkara tersebut akan diumumkan kemudian.

Bersempena dengan pengumuman ini, Capcom juga bakal melancarkan permainan ini semula dengan edisi fizikal dan digital khas yang mana pemain boleh dapatkan menjelang September ini.

Semestinya pernambahan ini boleh dibeli secara berasingan secara digital di mana ianya kini sudah boleh dipra-tempah dengan harga RM167 melalui PSN Store untuk edisi biasa. Capcom juga akan menjual edisi Deluxe khas dengan harga RM207 yang mana ia akan menyertakan beberapa kandungan khas seperti kod baju perisai, tema Playstation 4 dan set ikon avatar.

Selain itu Capcom juga akan menjual edisi digital yang diberkaskan bersama dengan permainan Monster Hunter World dan pernambahan Iceborne iaitu Monster Hunter World: Iceborne Master Edition secara dua edisi, iaitu edisi biasa dan edisi deluxe. Dari segi harga, kami akan kemaskininya setelah Capcom umumkannya kelak.

Namun, bagi anda yang berminat dengan edisi fizikal, Capcom juga mengumumkan mereka akan melancarkan edisi permainan penuh Monster Hunter World bersama pernambahan Iceborne secara bersama.

Bagi edisi fizikal, melalui edisi biasa Monster Hunter World Iceborne Master, Capcom akan menyertakan bekas besi khas dengan rekaan raksasa Nergigante dan Velkhana bersama-sama dengan kod khas untuk memuat-turun set baju perisai Yukumo.

Menariknya, menurut Capcom, bekas besi tersebut akan menyertakan dua ruangan cakera untuk disimpan, di mana anda boleh letak cakera Monster Hunter World dan Monster Hunter World Iceborne secara bersama. Semestinya bekas besi tersebut juga adalah terhad, menurut mereka. Dari segi harga, kami akan kemaskini setelah Capcom umumkan kelak.

Selain itu, Capcom juga mengumumkan edisi pengumpul khas yang mana ia adalah eksklusif di pasaran Asia iaitu Monster Hunter World: Iceborne Master Edition Collector’s Package, di mana ia akan menyertakan:

  • Permainan penuh Monster Hunter World bersama pernambahan Iceborne
  • Kod kit deluxe (Menyertakan beberapa set baju perisai, gerakan tari, pelekat dan sebagainya)
  • Kod baju perisai Yukumo
  • Figura Velkhana khas
  • Buku karya seni
  • Plat besi
  • Bekas besi permainan

Capcom juga menyatakan bahawa mereka akan melancarkan edisi pengumpul khas ini iaitu Monster Hunter World: Iceborne Collector’s Package tanpa permainan penuh Monster Hunter World, buat mereka yang sudah pun memiliki permainan tersebut.

Bersempena dengan pengumuman ini, Capcom juga mengadakan sesi percubaan khas buat permainan Monster Hunter World yang mana ianya boleh dimainkan secara percuma sehingga 20 Mei kelak khas di konsol Playstation 4. Menariknya, jika anda ingin teruskan bermain dan membeli permainan tersebut selepas mencubanya, segala kemajuan anda boleh disambung melalui permainan penuh.

Jangan lepaskan peluang anda untuk mendapatkan pernambahan ini khas menjelang September ini. Bagi anda yang masih belum memiliki Monster Hunter World, ini adalah masa yang baik untuk anda bermain permainan ini sempena sesi percubaan ini.

Monster Hunter World telah pun dilancarkan tahun lepas di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC melalui Steam.

Leave a Reply