Capcom hari ini mengumumkan pelbagai kandungan baharu yang bakal tiba buat permainan Monster Hunter World. Dari pernambahan terbesar sehinggalah kolaborasi bersama CD Projekt Red.
Kandungan pertama yang diumumkan adalah kolaborasi mereka bersama CD Projekt Red untuk membawa watak Geralt Of Rivia ke dalam permainan tersebut. Melaluinya, pemain bakal menerima sebilangan misi baharu khas buat kolaborasi ini.
Menurut Capcom, mereka juga merekodkan suara latar khas daripada suara latar asal buat watak Geralt Of Rivia tersebut dan ianya akan tersedia buat pelbagai bahasa lain. Menariknya juga, seperti yang dipertontonkan video di atas, tampaknya kolaborasi ini akan menyertakan adegan khas bersama pemain dan watak Geralt of Rivia tersebut. Kolaborasi ini akan tiba bermula awal 2019.
Selain itu, Capcom juga mengumumkan Monster Hunter World: Iceborne yang mana ianya adalah pernambahan baharu khas yang bakal tiba pada musim luruh tahun hadapan iaitu sekitar September sehingga Disember. Selain Capcom juga menyatakan bahawa DLC ini akan dilancarkan dalam berbentuk kandungan DLC berbayar dan buat mereka yang inginkannya, mereka perlu mempunyai permainan teras Monster Hunter World.
Menurut Capcom, ini merupakan kandungan Iceborne ini adalah pernambahan terbesar buat permainan tersebut dan ianya setaraf dengan kandungan yang sering lakukan untuk permainan Monster Hunter sebelum ini seperti variasi “G” ataupun “Ultimate” di dalam permainan mereka.
Seperti yang diperlihatkan di video acah di atas, pernambahan ini nampak bakal memfokuskan kawasan baru yang bertemakan salji atau ais. Tambahan itu, melaluinya Capcom menyatakan ianya juga akan menyertakan pelbagai kandungan baharu seperti senjata, musuh dan sebagainya. Paling penting sekali, pernambahan ini juga akan menyertakan penceritaan baharu sambungan daripada pengakhiran Monster Hunter World sebelum ini. Sebarang informasi tambahan, Capcom akan umumkan kemudian.
Selain itu, bersempena dengan ulang tahun pertama buat permainan tersebut, Capcom juga akan mengadakan acara khas yang dinamakan Appreciation Fest dimana bukan sahaja kawasan Gathering Hub akan dihiaskan dengan pelbagai hiasan, malah Capcom juga menyatakan akan terdapat pelbagai misi khas. Namun, misi tersebut akan diumumkan kemudian.
Manakala buat mereka yang suka memburu raksasa, Capcom mengumumkan Arch-tempered Kulve Tarot akan boleh diburu bermula 20 Disember 2018 ini untuk masa terhad. Manakala Arch-Tempered Nergigante bakal tiba tahun hadapan.
Buat anda yang masih belum mempunyai permainan Monster Hunter World, anda berpeluang untuk mencubanya di Playstation 4 dimana Capcom juga mengumumkan permainan Monster Hunter World Trial yang pemain boleh mainkan secara percuma.
Melalui versi percubaan tersebut, pemain berupaya untuk bermain sehingga peringkat Hunter Rank 4 dan misi berkelaskan 3 bintang. Menariknya juga, jika pemain berminat untuk mendapatkan dan membeli permainan tersebut, segala kemajuan dan barangan yang pemain peroleh ketika sesi percubaan tersebut akan dibawa ke permainan penuh.
Namun sesi percubaan ini adalah terhad bermula 12 sehingga 17 Disember 2018 ini sahaja.
Tambahan itu, bersempena dengan ulang tahun ke-15 buat siri tersebut pada Mac 2019 ini, Capcom juga menyatakan bahawa mereka akan mengadakan acara khas untuk menyambut kejayaan buat siri tersebut.
Namun, informasi lanjut masih belum dikongsikan. Walaupun begitu, laman rasmi buat ulang tahun ke-15 telahpun dilancarkan dan anda boleh melayarinya di sini.
Sememangnya ini merupakan kemaskini yang sangat besar buat permainan tersebut dan ianya pasti akan mengujakan kesemua peminat permainan Monster Hunter World.
Monster Hunter World telahpun dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan juga PC tahun ini. Ianya adalah permainan aksi RPG yang memfokuskan bentuk pemburuan raksasa bersama-sama dengan bentuk permainan koperasi multi-pemain secara atas-talian. Monster Hunter World merupakan permainan terlaris oleh Capcom dan mendapat pelbagai anugerah sejak pelancarannya oleh Capcom