Skip to main content

Saya perlu akui di mana ulasan Days Gone kali ini oleh Aksiz agak lambat berbanding penerbitan yang lain di mana secara jujurnya, saya mengalami masalah untuk menghabiskan permainan ini. Ini kerana sepanjang saya bermain permainan ini, saya tidak langsung bersemangat mahupun menghirau untuk menghabiskannya dan sepanjang masa saya bermain permainan ini, saya asyik mengeluh dan kecewa kenapa permainan yang dijanjikan untuk menjadi satu permainan yang menarik menjadi sangat teruk sebegini.

Namun, sebelum bermulanya ulasan saya, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak berkenaan permainan ini iaitu Days Gone adalah permainan dunia terbuka pasca-apokaliptik di mana permainan ini dibangunkan oleh Bend Studio daripada Sony Interactive Entertainment. Ianya dilancarkan secara eksklusif di Playstation 4 pada 26 April 2019 lepas.

Permainan ini memfokuskan pemain untuk bermain sebagai Deacon St. John, iaitu seorang ahli kelab motosikal selepas dunia ditakluk oleh makhluk seakan zombi yang dipanggil Freakers. Namun, adakah kita masih perlu satu lagi permainan zombi, bahkan satu lagi permainan dunia terbuka? Ini adalah ulasan saya untuk Days Gone.

Cerita

Jika ingin disimpulkan kepada satu perkataan untuk penceritaan Days Gone ini, saya akan katakan bahawa penceritaan permainan sangat menyeret. Bukan sahaja saya sendiri tidak mengambil kisah berkenaan kisah silam watak utama permainan ini, malah cara penyampaian dan kandungan penceritaan membuatkan saya tertanya-tanya tingkah laku watak di dalam permainan ini sangat pelik dan tidak masuk akal.

Seperti yang saya katakan di atas, Days Gone memfokuskan pemain untuk bermain sebagai Deacon St. John, iaitu seorang ahli kelab motosikal di mana beliau ditemani oleh rakan beliau Boozer, permainan ini meletakkan pemain 2 tahun selepas dunia ditakluk oleh makhluk zombi yang dinamakan sebagai Freakers.

Sepanjang penceritaan permainan ini, pemain bukan sahaja akan mengetahui kisah sebalik Deacon, malah pemain juga akan menyelesaikan dan terokai misteri dunia ini akibat bagaimana wabak tersebut berlaku dan pada masa yang sama perlu meneruskan hidup di dalam dunia pasca-apokaliptik tersebut.

Apa yang mengecewakan saya adalah penceritaan permainan ini sangat panjang dan berasa seolah sebahagian daripadanya adalah satu pengisi sahaja. Ini kerana, permainan ini memfokuskan bentuk penceritaan berdasarkan bahagian dengan peratusan kelengkapan. Ini sekaligus meletakkan pemain untuk melengkapkan bahagian-bahagian tersebut untuk mengetahui penceritaan di dalamnya.

Namun, apa yang membuatkan ia mengecewakan adalah sebahagian penceritaan tidak akan berlangsung jika pemain tidak melengkapkan bahagian lain. Ini bukan sahaja membuatkan penceritaan ini meleret, malah ia berasa Deacon seolah hilang tumpuan utamanya.

Apa yang saya boleh katakan ini adalah cara kotor pembangun untuk cuba ‘panjangkan’ penceritaan permainan ini dan membuat ia berasa seolah satu permainan yang mempunyai kandungan selama 30 jam. Walaupun begitu, saya boleh katakan bahawa penceritaan utama permainan ini pada pendapat saya kurang dari 10 jam sahaja.

Untuk tidak membeberkan penceritaan permainan ini, saya tidak akan berkongsi secara terperinci namun apa yang membuatkan penceritaan ini tidak masuk akal adalah sebahagian plot utama permainan ini memfokuskan pemain untuk imbas kembali sejarah Deacon. Namun, imbasan tersebut dilakukan dengan baik dicampur beberapa bahagian yang sangat emosional. Akan tetapi, ketika penyelesaiannya di masa nyata, cara dan emosi yang disampaikan sebelum ini tidak diterjemahkan dengan baik dan membuatkan saya berasa adakah Deacon ini seolah hilang ingatan? Di mana perginya tindakan dan perasaan emosional beliau sebelum ini? Ianya seolah watak Deacon yang disampaikan oleh saya sering berubah.

Bukan sekadar itu sahaja, terdapat juga beberapa plot penceritaan sampingan yang membuat saya langsung tidak hiraukan malah saya sendiri tidak terasa ingin melaburkan masa saya di dalam penceritaan ini. Ini juga mungkin disebabkan Bend Studio sebelum ini membuang fungsi pilihan penceritaan bercabang, sekaligus membuatkan penceritaan permainan ini sangat tipikal dan membosankan.

Ketika pertengahan permainan ini, saya sendiri sudah boleh ramal apa yang Bend Studio akan cuba lakukan dengan penceritaannya dan apabila berada di klimaks penceritaan, saya sendiri tidak terkejut dengan kelainan plot yang cuba disampaikan malah, saya sangat kecewa dengannya.

Saya akui, yang mana Bend Studio cuba ingin sampaikan sesuatu yang baru untuk genre ini, tetapi dukacitanya sesuatu yang ‘baru’ tersebut telah pun dilakukan oleh filem ataupun permainan lain berulang kali dan membuat permainan ini berasa hanya ‘satu lagi permainan/cerita zombi’ di dalam dunia pasca-apokaliptik.

Grafik

Visual grafik Days Gone boleh dikatakan sangat menawan terutamanya beberapa kesan lokasi selepas dunia pasca-apokaliptik dicampur dengan model-model watak yang diperlihatkan dengan baik sekali. Lokasi bukit-bukau yang dilihat dengan rekaan musuh yang pelbagai, permainan ini sememangnya mempunyai kesan visual yang cantik sekali.

Seperti di dalam artikel pandang pertama saya, Days Gone sememangnya setaraf dengan kebanyakan permainan pihak pertama oleh Sony yang lain seperti God Of War mahu pun The Last Of Us. Terutamanya ekspresi watak yang diterjemahkan dengan baik dicampur dengan lokasi yang sering berubah cuaca seperti dari bersalji, ke hujan sehinggalah kitaran siang dan malam yang sangat menawan.

Akan tetapi, apa yang bermasalah sekali adalah permainan ini sering mempunyai beberapa kerosakan teknikal seperti kadar bingkai sesaat yang sering jatuh sehingga membuatkan saya langsung tidak boleh bermain permainan ini. Ini dapat dilihat dengan lebih jelas setiap kali saya keluar ke kawasan yang lebih luas ataupun ketika bertembung dengan Freakers yang ramai, dan ianya sememangnya merosakkan keseluruhan sesi permainan saya sehingga membuatkan saya menghadapi kesukaran untuk bermainnya.

Saya sendiri bermain permainan ini dengan menggunakan Playstation 4 Pro dengan skrin paparan resolusi 4k yang mana terdapat saat di mana kadar bingkai sesaat ataupun FPS jatuh dengan teruk sekali seolah permainan ini langsung tidak dioptimasikan untuk resolusi 4k. Akan tetapi, jika dimainkan di resolusi 1080p, saya tidak menghadapi masalah tersebut. Satu lagi masalah adalah HDR di mana saya perasan, ketika saya menggunakan fungsi HDR, kawalan dan pergerakan watak saya agak perlahan dan tidak menyegerak. Ini mungkin masalah ketika awal permainan dan selepas saya mengemaskini permainan tersebut, ianya tidak lagi mempunyai masalah itu.

Selain itu, terdapat beberapa pepijat visual yang agak menjengkelkan seperti tiba-tiba watak berada di tempat berlainan ataupun tetiba musuh secara rawaknya berada di dalam lokasi adegan permainan. Bukan sekadar itu sahaja, kelihatan Bend Studio juga banyak mengambil jalan pintas dari segi animasi di mana mereka sering tidak menunjuk ataupun mengubah arah kamera ketika pemain sedang memotong haiwan, mengisi minyak dan juga mengikat musuh. Sememangnya adegan-adegan tersebut tidaklah penting untuk sesi dan keseluruhan pengalaman permainan, namun jika perkara kecil sedemikian tidak diperlihatkan dengan baik, ianya membuatkan permainan ini berasa agak ‘murah’.

Konsep cuaca yang dinamik juga agak pelik kerana terdapat beberapa adegan memerlukan kawasan tersebut berada dalam keadaan cuaca bersalji ataupun saat hari yang berbeza seperti siang dan malam. Namun, permainan ini secara cepatnya akan menukarkan cuaca dan keadaan lokasi tersebut yang mana ia membuatkan permainan ini berasa sangat pelik dan bermasalah.

Contohnya keadaan cuaca yang berubah secara mengejut di mana terdapat saat api yang asalnya membara dengan tinggi dan secara tiba-tiba api tersebut hilang kerana permainan tersebut menukarkan cuaca permainan ini secara mengejut. Ini pada pendapat saya merosakkan pengalaman imersif permainan ini. Namun, ini sudah pasti setakat visual sahaja dan ia tidak menjejaskan permainan seperti masalah kadar bingkai sesaat yang saya katakan di atas.

Audio

Dari segi audio, tidak banyak yang saya boleh katakan. Dari segi pelakon suara latar, kesemua watak yang dilakonkan, mempunyai kesan suara latar yang baik sekali dan sememangnya ia satu kepujian yang harus saya kemukakan buat Bend Studio.

Antara hasil lakonan yang baik semestinya adalah watak-watak utama yang terdapat di dalam permainan ini seperti Deacon, Boozer dan juga beberapa watak sokongan yang mana pada pendapat saya melakukan satu hasil lakonan yang baik sekali.

Akan tetapi terdapat beberapa saat yang mengecewakan seperti beberapa gerakan bibir tidak menyegerak bersama suara. Ini dapat dilihat di sebahagian adegan-adegan sampingan ataupun ketika sesi perbincangan tanpa sebarang bentuk sinematik. Walaupun begitu, dari segi masalah audio lain, ianya tidaklah terkesan sangat buat permainan ini.

Namun apa yang saya agak benci permainan ini adalah memandangkan permainan ini adalah permainan dunia terbuka, kebanyakan pergerakan yang dilakukan oleh saya adalah dengan menaiki motosikal. Memandangkan permainan ini tidak mempunyai sebarang radio ataupun muzik seperti permainan GTA, permainan ini sering meletakkan beberapa perbualan di radio antara watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini. Namun, kebanyakan perbualan tersebut agak mendatar yang mana jika pemain bergerak mahupun bertempur dengan musuh, nada dan tonasi watak tersebut tidak berubah dan membuatkan perbualan tersebut terasa berasingan dengan keadaan permainan.

Terdapat juga saat di mana Deacon seolah menjerit-jerit ketika perbualan tersebut, namun ketika saat itu, beliau berada di kawasan yang beliau sepatutnya perlu berdiam diri. Tetapi, memandangkan perbualan tersebut tidak terkesan dengan bentuk permainan, jeritan tersebut seolah tidak dengari oleh musuh, sekali lagi merosakkan nilai imersif permainan ini.

Namun itu hanyalah satu aduan ringkas oleh saya. Memandangkan ini adalah ulasan permainan, saya juga perlu kritikal kerana permainan ini dikatakan bertarafkan AAA dan dijual dengan harga penuh. Untuk melihat dan bermain satu kualiti permainan yang agak ringkas di mana kebanyakan studio-studio pembangun permainan lain boleh hasilkan sesuatu yang lagi baik, membuatkan permainan ini berasa ia dibangunkan dengan cukup makan sahaja dengan asas permainan tanpa sebarang konsep dan bentuk yang unik.

Kawalan

Memandangkan permainan ini adalah permainan memfokuskan dunia terbuka. Semestinya ia memerlukan satu bentuk kenderaan yang pemain perlu tunggang dan Days Gone, memfokuskan kenderaan motosikal.

Seperti yang saya kongsikan di atas berkenaan watak Deacon St. John, beliau adalah ahli kelab motosikal sekaligus membuatkan motosikal adalah satu perkara yang sangat penting buat watak tersebut. Begitu juga boleh dikatakan buat bentuk dan kawalan permainan ini di mana keseluruhan permainan ini akan memfokuskan motosikal tersebut.

Ini kerana, pemain bukan sahaja berupaya untuk menaik-taraf, mengubah-suai bentuk rupa dan warna motosikal, malah pemain juga perlu sentiasa mencari minyak untuk mengisi motosikal tersebut supaya pemain berupaya untuk bergerak. Ini sedikit sebanyak merupakan elemen utama Days Gone yang mana pasti ianya adalah sesuatu yang berbeza dengan permainan lain.

Akan tetapi, pada pendapat saya bentuk motosikal ini juga agak menjengkelkan kerana permainan ini tidak konsisten dengan keseluruhan sesi permainannya. Ya betul, untuk bergerak di dalam permainan ini pemain perlu sentiasa menjaga dan mengisi minyak motosikal tersebut. Meskipun begitu, terdapat beberapa misi yang mana minyak motosikal tersebut tidak langsung akan berkurang. Saya memahami di mana terdapat misi yang memerlukan pemain menunggang motosikal dan jika minyak motosikal tersebut habis secara tiba-tiba, ianya akan merosakkan adegan permainan.

Tetapi, terdapat beberapa misi yang mana pemain perlu mempunyai minyak yang penuh untuk melakukannya. Ini sekaligus membuatkan permainan ini berasa pening dan adakah mengisi minyak ini menjadi satu bahagian utama permainan ataupun tidak. Malah, memandangkan minyak di dalam permainan ini sangat senang untuk dicari, ianya menjadi satu kerja yang remeh setiap kali pemain perlu mencari minyak. Ini kerana pemain akan sering berhenti, mengisi minyak dan teruskan perjalanan, kemudian pemain akan sentiasa melakukan perkara yang sama berulang kali.

Bercakap berkenaan perkara berulangan, misi-misi yang terdapat di dalam permainan ini juga sering kali berulangan dan kebanyakannya memerlukan pemain untuk mengutip barangan, mendengar perbualan orang lain tanpa dikesan ataupun membunuh sasaran. Ianya membuatkan permainan ini rasa sangat bosan sekali untuk dimainkan dan apabila ianya terlalu banyak misi berulangan, Days Gone berasa sangat remeh untuk dihabiskan.

Dari segi penaik-tarafan motosikal, pemain berupaya untuk mengubah keseluruhan bentuk motosikal tesebut seperti tong minyak, tayar, lampu dan sebagainya yang anda boleh fikirkan, kesemuanya boleh diubah dan dinaik-taraf. Semestinya lagi banyak pemain tingkatkan motosikal tersebut, ianya akan menjadi lebih kuasa sama ada lebih pantas ataupun ketahanannya akan lebih meningkat.

Dari segi aspek lain, dukacitanya Days Gone ini berasa seolah sama sahaja dengan permainan dunia terbuka yang lain. Dari segi bentuk pertempuran, pemain kebanyakannya akan menggunakan senjata api seperti senapang, pistol dan sebagainya. Terdapat 3 senjata api utama yang pemain boleh gunakan untuk melakukan serangan jarak jauh. Seperti kebanyakan permainan penembak pandang ketiga yang lain, pemain berupaya untuk sembunyi di dinding untuk menyasar tembakan, ataupun sembunyi daripada tembakan musuh. Pemain juga boleh menanda musuh, seperti di dalam permainan Uncharted 4: A Thief’s End untuk memudahkan pemain mengesan musuh dan sebagainya.

Manakala serangan jarak dekat pula terdiri daripada pisau ataupun barangan yang pemain kutip seperti kayu besbol dan sebagainya. Menariknya senjata jarak dekat tersebut boleh dinaik-taraf dan ditingkatkan ketahanan melalui kemahiran yang dipelajari oleh pemain.

Kemahiran ini pula berkait rapat dengan pengalaman ataupun nilai EXP yang pemain peroleh setiap kali pemain menewaskan musuh. Melaluinya terdapat 3 kemahiran pokok utama iaitu kemahiran bertempur jarak dekat, kemahiran bertempur jarak jauh dan kemahiran pertahanan hidup.

Ketiga-tiga pokok kemahiran ini memainkan peranan yang penting untuk pemain meneruskan hidup di dalam dunia Days Gone ini yang mana antara kemahiran yang pemain boleh pelajari adalah memperlahankan masa ketika menyasarkan senjata ataupun mengesan barangan ataupun pokok herba dengan lebih jelas di dalam peta.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk menghasilkan beberapa bom, perangkap dan sebagainya dengan mengutip barangan-barangan untuk menghasilkan perkakas tersebut di dalam dunia Days Gone ini. Bentuk ini agak asas dan contohnya untuk menghasilkan bom Molotov, pemain perlu dapatkan botol, kain buruk dan minyak tanah. Kesemua barangan tersebut boleh didapatkan di dalam dunia Days Gone ini dengan mudah seperti di tepi jalanan ataupun di dalam bonet kereta dan sebagainya.

Untuk menghasilkan perkakas tersebut, permainan ini menyediakan satu roda khas di mana pemain boleh menghasilkan kesemuanya secara bersahaja seakan permainan Horizon Zero Dawn. Roda tersebut juga merupakan aspek penting untuk pemain menukar senjata, memasang pendakap bunyi untuk senjata dan sebagainya.

Namun, ketika mengutip barangan tersebut, sekali lagi Days Gone berasa tidak konsisten di mana terdapat beberapa barangan yang pemain boleh kutip secara automatik. Namun, terdapat juga beberapa barangan yang pemain perlu kutip secara manual. Ini sekaligus membuatkan permainan ini berasa sangat renyah untuk di mainkan dengan begitu banyak masalah kecil seperti ini.

Dari segi aspek musuh pula, Days Gone semestinya mempunyai beberapa musuh yang berbeza. Antaranya adalah musuh manusia dan juga musuh zombi Freakers di mana sudah pastinya terdapat beberapa jenis Freakers yang akan pemain tempuhi. Contohnya Breakers yang akan kejar dan langgar pemain. Terdapat juga musuh Freakers yang terdiri daripada haiwan seperti serigala dan beruang. Kesemuanya mempunyai bentuk serangan yang berbeza namun secara asasnya ia mudah untuk dikalahkan.

Akan tetapi, apa yang membuat permainan ini unik adalah musuh Freakers yang mempunyai nilai yang banyak iaitu, Horde. Ini adalah musuh zombi Freakers yang terdiri daripada beratus ataupun berpuluh di satu kawasan. Pada pendapat saya ini adalah satu-satunya bentuk yang unik di mana di dalam permainan ini pemain perlu menempuhi mereka. Sememangnya mereka agak sukar untuk ditewaskan, namun dengan menggunakan perangkap, bom dan sebagainya, sudah pasti Horde adalah salah satu pertempuran yang tidak dapat dilupakan oleh saya.

Tambahan itu, memandangkan permainan ini memfokuskan bentuk pertahanan hidup, terdapat juga beberapa kem-kem yang akan pemain temui di dalam permainan ini. Menariknya, setiap kem mempunyai mata wang berbeza di mana nilai kredit yang pemain akan peroleh adalah berbeza di setiap kem. Jika pemain melakukan misi di kawasan kem tersebut, pemain akan diberi ganjaran berdasarkan lokasi kem pemain dan kem yang lain tidak akan menerima kredit yang sama pemain dapatkan. Ini sekaligus membuat pemain perlu sentiasa melakukan misi secara berulangan untuk mendapat kredit yang cukup, supaya pemain boleh menaik-taraf motosikal ataupun membeli senjata-senjata baharu.

Secara asasnya kesemua bentuk ini banyak diambil daripada permainan-permainan lain dan pada pendapat kami ini bukanlah satu masalah besar. Malah bentuk dan kawalan yang diambil tersebut semestinya membuat permainan ini lebih mudah untuk dimainkan dan menarik. Akan tetapi dukacitanya, ianya terhad setakat itu sahaja. Ini kerana ianya membuatkan permainan ini tidak unik dan berasa seolah satu lagi permainan penembak pandang ketiga seperti Horizon Zero Dawn mahupun Uncharted.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan adalah, atas kertas Days Gone sememangnya mempunyai asas permainan dunia terbuka yang baik dan konsep yang berbeza dengan permainan lain. Namun ia masih lagi tenggelam jika ingin dibandingkan dengan permainan dunia terbuka lain yang dilancarkan sebelum ini.

Pelaksanaan dan bentuk permainan yang dihasilkan oleh Bend Studio, sememangnya jelas terlihat bahawa mereka masih lagi tidak berpengalaman untuk menghasilkan satu permainan yang seluas ini. Boleh di katakan kebanyakan kandungan dan bentuk yang diletakkan di dalam permainan kesemuanya hanyalah di ambil daripada permainan lain malah permainan ini berasa tipikal dan tidak langsung unik untuk berdiri dengan sendiri. Days Gone juga berasa seolah satu permainan dunia terbuka yang ketinggalan dan dihasilkan untuk konsol generasi sebelum ini.

Walaupun dunia permainan ini sangat luas dengan pengembaraan bermotosikal yang menarik, ianya masih lagi berasa kosong dan dicampur dengan penceritaannya yang mengecewakan, permainan ini sudah pastinya adalah salah satu permainan yang sangat mengecewakan untuk tahun ini dan sebagai permainan pihak pertama oleh Sony, ini sememangnya satu perkara yang agak menyedihkan.

Walaupun begitu, saya berharap Bend Studio akan belajar daripada kesilapan ini dan mereka akan terus membangunkan satu permainan dunia terbuka yang lebih menarik pada masa akan datang.

Penafian: Kod Ulasan Days Gone disediakan oleh Sony Interactive Entertainment, Playstation Asia

Leave a Reply