Mark Cerny adalah satu nama yang tidak asing lagi di dalam industri permainan video, beliau merupakan ketua arkitek dan juga penerbit untuk Playstation 4 dan Playstation Vita. Beliau sekali lagi memegang jawatan yang sama untuk konsol seterusnya daripada Sony.
Melalui satu temubual eksklusif bersama dengan Wired, beliau berkongsi maklumat lanjut dan apa yang boleh kita jangkakan daripada konsol generasi seterusnya untuk Sony.
Beliau, yang merujuk konsol tersebut sekadar “konsol generasi baharu”, mengatakan sudah terdapat beberapa pembangun sedang membangunkan permainan video untuk konsol baharu tersebut. Selain itu Sony juga sedang mempercepatkan pembangunan Devkit untuk konsol tersebut bagi membolehkan pembangun mempunyai masa yang cukup.
Mengenai CPU pula, beliau mengesahkan yang konsol baharu akan terus menggunakan cip daripada AMD dan berdasarkan generasi ketiga untuk AMD Ryzen yang mengandungi 8 teras menggunakan teknologi baharu iaitu 7nm Zen 2 microarchitecture.
Manakala untuk GPU ia akan menggunakan GPU rekaan khas berdasarkan keluarga Radeon Navi, ia akan menyokong Ray Tracing yang mungkin menjadi pertama untuk konsol. Ia juga akan menyertakan kesan audio 3 Dimensi yang lebih mendalam, walaupun menggunakan pembesar suara yang sedia ada.
Menurut Cerny, satu perkara yang membuatkan beliau teruja dengan konsol generasi baharu adalah storan yang akan digunakan. Ia akan menggunakan Solid State Drive (SSD) akan tetapi ia akan dibina khas untuk konsol tersebut yang akan memberikan prestasi lebih baik berbanding SSD yang digunakan di dalam PC sekarang ataupun PS4 yang pengguna menggantikan storan kepada SSD.
Walaupun tiada maklumat lanjut yang dikongsikan, sistem storan tersebut akan menggunakan piawai yang baharu iaitu PCIe 4.0 yang akan mempunyai bandwith lebih tinggi berbanding SSD tersedia untuk PC. Dengan spesifikasi yang terbina di dalam konsol ini, ia akan menyokong resolusi sehingga 8K.
Selain daripada spesifikasi Cerny juga mengatakan yang konsol baharu nanti akan terus menyokong media fizikal, menariknya disebabkan ia dibangunkan berdasarkan binaan arkitek PS4, ia akan menyokong permainan daripada konsol generasi kini tersebut. Menurut Wired, apabila ditanya mengenai Death Stranding, pihak Sony mengatakan ia akan dikeluarkan untuk PS4 akan tetapi mungkin bersama dengan konsol generasi baharu.
Menurut Wired lagi, walaupun tiada pengesahan daripada Cerny ataupun pihak Sony, akan tetapi konsol generasi baharu boleh dikatakan tidak akan dikeluarkan pada tahun ini, dan PS4 mungkin akan terus menjadi konsol utama untuk sekurang-kurangnya setahun lagi.