The Division 2 merupakan permainan seterusnya untuk siri The Division iaitu permainan looter shooter yang dibangunkan oleh Massive Entertainment dan diterbitkan oleh Ubisoft.

Seperti permainan looter shooter yang lain, kandungan The Division 2 juga dibahagi kepada dua bahagian iaitu permainan utama dan bahagian selepas pengakhiran (endgame). Bentuk permainan saya akan memfokuskan permainan utama, manakala endgame saya akan hurai dan ulas di bahagian khas.

Sebagai permainan sambungan kepada The Division yang mendapat penerimaan yang baik adakah The Division 2 mengulangi kejayaan tersebut?

Cerita

Penceritaan di dalam The Division 2 berlaku beberapa bulan selepas kejadian di dalam The Division. Green Poison yang menyerang New York di dalam The Division, mula tersebar di Washington DC yang mengakibatkan panik.

Watak yang dipegang oleh pemain adalah seorang ejen Strategic Homeland Division (SHD) yang di minta menuju ke Washington DC, apabila rangkaian perhubungan mereka iaitu SHD Network terpadam di sana. Tibanya pemain ke Washington, pemain mula menyedari yang keadaan di bandar tersebut sangat huru-hara, dengan kebanyakan pemimpin termasuk juga Presiden tidak diketahui nasib mereka.

Fokus utama pemain sebagai ejen SHD adalah untuk mengembalikan sambungan SHD Network dan juga memastikan bandar tersebut kembali terurus dengan menumpaskan pelbagai puak yang menyerang bandar tersebut iaitu True Sons, Outcasts dan Hyenas.

Setiap puak tersebut juga mempunyai penceritaan tersendiri, seperti True Sons merupakan bekas tentera yang dilantik untuk menjaga keamanan di Washington DC selepas tersebarnya green poison. Outcasts pula, merupakan orang-orang awan yang memberontak selepas diletakkan di bahagian kuarantin kerana terkena jangkit. Hyenas adalah golongan yang mengambil peluang keadaan huru-hara untuk melakukan kejahatan.

Saya boleh katakan yang, The Divsion 2 mempunyai pelbagai cabang penceritaan yang menarik, penceritaan yang menarik tetapi cara penyampaian agak mengecewakan. Penceritaan selain daripada penceritaan misi utama hanya berlaku melalui audio dan hologram. Tambahan ia adalah collectible yang mungkin pemain tidak menjumpai.

Penceritaan utama, walaupun turut disertakan beberapa adegan juga tidak menarik. Ia adalah penceritaan tipikal untuk permainan ataupun genre sebegini. Memandangkan ia adalah permainan Ubisoft, saya tidak terlalu kecewa kerana mereka tidak dikenali dengan penceritaan yang mendalam.

Walaupun begitu, secara keseluruhan penceritaan yang disediakan sudah cukup baik untuk menjadikan apa yang anda lakukan masuk akal dan tidak membuatkan pemain bingung dengan apa yang berlaku.

Bentuk Permainan

The Division 2 menyertakan misi utama dan juga misi sampingan. Misi utama adalah berkait dengan tugasan utama pemain dan akan membawa pemain ke kawasan penjahat, di mana pemain perlu menyerang untuk menyelamatkan individu tertentu, mengambil teknologi dan juga untuk menumpaskan sesetengah puak.

Dengan menyelesaikan misi utama, pemain akan mula membuka Stronghold. Stronghold merupakan kubu kuat untuk setiap puak, oleh disebabkan itu terdapat 3 Stronghold secara keseluruhan. Menyerang stronghold adalah seperti misi-misi lain tetapi disertakan dengan lebih ramai penjahat dan lebih sukar. Permainan utama berakhir apabila pemain menyelesaikan kesemua misi utama dan menyerang kesemua stronghold.

Manakala untuk misi sampingan, ia lebih berkait dengan Settlement yang terdapat di sesetengah tempat. Settlement merupakan kawasan yang didiami oleh orang awan untuk menyelamatkan diri daripada puak-puak jahat. Dengan menyelesaikan misi sampingan, pemain akan membuka pelbagai kemudahan baharu di settlement tersebut, namun ia tidak memberikan sebarang kelebihan kepada pemain melainkan sekadar segi visual sahaja.

Selain misi utama dan misi sampingan, pemain juga boleh membebaskan setiap kawasan daripada puak penjahat. Secara keseluruhan terdapat 16 kawasan di dalam The Division 2 iaitu 3 kawasan Dark Zone, 2 kawasan Stronghold dan 11 kawasan biasa. Setiap kawasan biasa pada awal permainan adalah di bawah kawalan puak-puak lain iaitu di antara True Sons, Outcasts ataupun Hyenas, kawasan inilah yang pemain boleh bebaskan.

Pemain boleh melakukannya dengan melawat safe room yang terdapat di setiap kawasan tersebut. Selepas melawat pemain akan mendapat tugasan yang perlu diselesaikan, walaupun tempat berbeza apa yang perlu dilakukan adalah sama iaitu menderma barangan di Control Point, menyelesaikan 3 aktiviti di kawasan tersebut dan mengutip 4 SHD tech di kawasan tersebut. Menyelesaikan tugasan tersebut, kawasan tersebut kini bebas tetapi untuk membebaskan secara penuh, pemain perlu mengambil alih kesemua Control Point di kawasan tersebut dengan menyerang. Control point juga merupakan cara terbaik untuk mendapatkan barangan yang lebih baik.

Pemain juga akan menjumpai pelbagai aktiviti sampingan yang akan berlaku di serata tempat seperti Propaganda Brocasting yang memerlukan pemain memadamkan pembesar suara yang dipasang oleh puak penjahat, Public Execution memerlukan pemain menyelamatkan orang awam daripada dihukum bunuh dan Supply Drop yang memerlukan pemain mendapatkan barangan sebelum dicuri oleh puak penjahat. Aktiviti ini adalah sampingan, dan tidak wajib dilakukan. Menyelesaikan aktiviti ini memberikan pemain barangan dan juga pengalaman.

Terdapat juga Bounty Hunter, iaitu pemain perlu memburu individu tertentu kebiasaan orang-orang besar di dalam puak penjahat. Pada awal permainan pemain boleh mendapatkan Bounty dengan membebaskan kawasan tertentu, selepas pemain menyelesaikan beberapa misi utama, pemain dapat mengakses Bounty System yang membolehkan pemain menukar Intel untuk mendapatkan sasaran baharu. Menyelesaikan bounty akan memberikan pemain pengalaman dan juga barangan yang berkualiti.

Bagi memastikan pemain berkemampuan untuk menyelesaikan misi utama, misi sampingan dan juga aktiviti lain pemain perlu memastikan mempunyai tahap serta peralatan yang mencukupi. Tahap pemain akan meningkat selepas mempunyai pengalaman yang cukup, setiap peningkatan tahap akan memberikan kotak tikam mengandungi peralatan, SHD tech dan membolehkan pemain mencipta peralatan yang lebih berkualiti.

Terdapat 3 senjata yang boleh digunakan oleh pemain, 2 adalah bebas manakala 1 adalah senjata kecil yang tidak mempunyai limit peluru. Selain itu, terdapat juga gear iaitu topeng gas, baju kalis peluru, beg, sarung tangan, pemegang pistol, dan pelindung lutut. Pemain boleh mendapatkan senjata dengan menyelesaikan misi, membuka kotak tikam ataupun membuka kotak-kotak yang terdapat di serata tempat.

Senjata dan gear mempunyai kualiti yang berbeza iaitu standard, specialized, superior dan high-end. Lebih baik kualiti, barangan tersebut akan mempunyai kelebihan yang lebih baik. Setia senjata juga mempunyai tahap tersendiri, apabila pemain meningkat tahap, pemain akan mula mendapat senjata yang mempunyai tahap yang sama. Bagi bahagian permainan utama mendapatkan senjata terbaik tidak sangat difokuskan, senjata-senjata yang pemain peroleh dengan menyelesaikan misi dan mengembara sudah mencukupi. Terdapat juga Apparel yang merupakan pakaian yang dipakai oleh watak pemain, namun ia hanya bersifat kosmetik tidak memberikan sebarang kelebihan. Boleh didapati secara rawak melalui peti-peti terdapat di dalam permainan ini ataupun dengan membeli menggunakan premium point yang boleh diperoleh dengan bermain tetapi sedikit sahaja, selebihnya memerlukan pembelian menggunakan wang ringgit.

Pemain juga mempunyai pelbagai skill yang boleh dinyah-kunci tetapi boleh digunakan 2 sahaja buat satu masa, ia boleh ditukar bila-bila masa setelah dibuka. Skill merupakan teknologi yang boleh digunakan oleh pemain, antara skill yang ada adalah Pulse, Turret, Hive, Chem Launcher, Firefly, Seeker Mine, Drone dan Shield. Untuk nyah-kunci skill tersebut pemain perlu menggunakan skill point yang hanya boleh diperoleh dengan menyelesaikan misi utama. Selepas dinyah-kunci, pemain boleh gunakan SHD Tech untuk mendapatkan variasi yang berbeza untuk skill tersebut. SHD Tech juga boleh digunakan untuk menyah-kunci pelbagai peralatan dan kebolehan yang digelar sebagai Perks.

Kepelbagaian misi, aktiviti dan juga peralatan yang boleh digunakan membuatkan permainan ini mempunyai kandungan yang sangat padat. Walaupun pada asasnya ia adalah berulang, akan tetapi saya sudah 30 jam bermain, tetapi masih tidak merasa bosan. AI penjahat juga dilakukan dengan baik, membuatkan pertempuran lebih mencabar. Jika pemain tidak peka dengan pergerakan penjahat, pemain mungkin akan tewas kerana tidak mempunyai kawasan untuk melarikan diri. Saya boleh katakan kandungan untuk permainan utama, tidak termasuk kandungan selepas permainan berakhir (endgame) sudah menjadikan permainan ini berbaloi untuk dimiliki.

Mod Multi-Pemain

The Division 2 adalah satu permainan yang sentiasa di dalam talian, walaupun bermain secara berseorangan anda masih memerlukan sambungan internet. Walaupun begitu saya boleh katakan permainan ini, terutama bahagian utama boleh dimainkan secara berseorangan, ia sudah semestinya lebih sukar, akan tetapi boleh dilakukan jika itu adalah pilihan anda.

Manakala jika anda ingin bermain secara multi-pemain, permainan ini sangat memudahkan untuk anda melakukannya. Melalui sistem matchmaking yang boleh diakses di safe room ataupun dengan mengakses peta.

Anda boleh mencari pemain lain untuk melakukan sebarang aktiviti yang sedia ada, secara khusus ataupun terbuka. Semasa mencari pemain, anda juga mungkin akan dijemput untuk menyertai kumpulan lain yang akan memudahkan lagi untuk mendapat rakan.

Memudahkan pemain untuk bermain secara solo dan secara multi-pemain adalah satu perkara yang membuatkan permainan ini lebih menarik. Ada masa saya ingin menyelesaikan sesuatu misi secara berseorangan, tetapi ada juga saya ingin dapatkan bantuan daripada pemain lain.

Lebih memudahkan lagi adalah sistem Clan yang disediakan, anda boleh menyertai kumpulan tertentu, bahkan anda boleh mencari kumpulan yang bersesuaian dengan anda, contohnya mencari kumpulan yang bermain pada waktu yang bersesuaian, ini memudahkan anda untuk mencari rakan bagi sesi multi-pemain. Selain itu, sistem Clan juga menyediakan pelbagai ganjaran setiap minggu.

Mod Darkzone walaupun boleh dimainkan secara solo akan tetapi oleh disebabkan mod ini boleh menjadi PvE dan PvP pada masa yang sama, saya boleh katakan ia adalah mod multi-pemain. Darkzone adalah satu kawasan yang mempunyai pelbagai ganjaran yang lebih baik, namun sistem Rogue Agent yang digunakan iaitu pemain mencuri ganjaran-ganjaran pemain lain, membuatkan ia adalah satu permainan pertempuran dengan pemain lain. Jika anda bermain dengan pemain-pemain lain, mereka juga boleh menjadi rogue dan menyerang anda.

Bagi saya ia adalah satu mod yang unik dan menarik, tetapi saya tidak sangat bermain semasa permainan utama kerana tidak sangat diperlukan. Ia berubah apabila mencapai endgame.

Terdapat juga mod Conflict, yang sememangnya mod PvP. Terdapat dua jenis pertempuran iaitu Domination dan Skirmish. Domination memerlukan pemain mengawal kawasan tertentu dan mempertahankan-nya daripada pihak lawan manakala Skirmish adalah dead match di mana pasukan pemain akan bertempur dengan pasukan lain. Setiap kali salah seorang daripada pasukan anda mati, pemain tersebut akan hidup semula dan akan menggunakan kuota yang disediakan kepada setiap pasukan. Setelah kuota habis digunakan, pemain yang mati akan terus mati.

Saya boleh katakan walaupun The Division 2 boleh dimainkan secara solo, akan tetapi mod multi-pemain yang disediakan adalah pelbagai, selain itu ia juga mudah untuk menukar cara bermain menjadikan satu pengalaman yang lancar. Tidak kira cara permainan apa yang lebih menjadi kegemaran anda, permainan ini menyediakan pelbagai bentuk permainan yang menarik untuk semua.

Endgame

Setelah anda menghabiskan permainan utama, iaitu dengan merampas stronghold terakhir, permainan tidak akan berakhir sebaliknya satu puak baharu iaitu Black Tusk akan mula memasuki Washington D.C dan merampas kembali kawasan-kawasan yang sebelum ini diambil oleh pemain semasa permainan utama.

Mereka adalah satu puak yang mempunyai skill serta teknologi pertempuran yang sama ataupun lebih daripada pemain iaitu ejen Division. Bahagian endgame permainan ini adalah bagaikan satu permainan baharu.

Sistem World Tier dan juga gear score mula diperkenalkan. Apabila pemain menyelesaikan stronghold terakhir di dalam permainan utama, pemain akan memasuki mod endgame dan terus memasuki World Tier 1, perjelaskan paling mudah mengenai World Tier adalah ia merupakan tahap kesukaran penjahat di dalam endgame.

Stronghold yang dirampas oleh pemain semasa permainan utama akan dirampas oleh puak Black Tusk. Jika pemain ingin menuju ke World Tier yang seterusnya, pemain perlu merampas kembali Stronghold, untuk membuka Stronghold tersebut pemain perlu melakukan semula 2 misi utama yang dilakukan semasa permainan utama. Misi tersebut walaupun menggunakan kawasan yang sama, tetapi ia menyertakan struktur misi yang berbeza dan sudah semestinya lebih sukar.

Pemain juga memerlukan gear score yang mencukupi untuk menyerang stronghold tersebut. Gear score adalah sistem yang digunakan untuk menggantikan sistem tahap yang digunakan semasa permainan utama. Setiap gear dan juga senjata kini mempunyai gear score yang menggambarkan kekuatan peralatan tersebut.

Gear score inilah yang akan menjadikan permainan ini lebih mementingkan pemain untuk mencari dan mendapatkan senjata yang lebih baik. Jadi pemain perlu melakukan aktiviti-aktivi lain yang seperti merampas control point, menyelesaikan bounty, memasuki darkzone ataupun bermain mod Conflict untuk mendapatkan gear dan senjata yang lebih baik. Pemain juga boleh melakukan misi yang sama dengan kesukaran lebih tinggi untuk mendapatkan ganjaran yang lebih baik.

Pemain juga boleh memilih specialization yang akan memberikan pemain senjata khas. Tiga specialization yang boleh dipilih adalah Shapshooter yang memfokuskan serangan jarak jauh, Demolitionist memfokuskan pengunaan letupan dan akhir sekali Survivalist yang memfokuskan pengunaan penggunaan bahan yang boleh melemahkan penjahat atau mengkuatkan rakan. Pemain boleh bertukar specialization pada bila-bila masa sahaja dan setiap daripadanya juga mempunyai kebolehan tersendiri yang boleh dinyah-kunci menggunakan specialization point. Ubisoft juga menjanjikan specialization baharu akan disertakan di masa hadapan.

Sepanjang endgame, pusingan menyelesaikan misi, mencari gear dan senjata yang lebih baik akan menjadi bentuk permainan utama. Ia mungkin rasa berulang akan tetapi kerana sistem pertempuran yang disertakan adalah menyeronokkan selain itu cabaran yang diberikan sangat berbeza menjadikan ia satu ulangan yang berbaloi untuk dimainkan.

Ubisoft juga sudah menyertakan stronghold baharu untuk pemain yang sudah mencapai World Tier tertinggi, dan menjanjikan pelbagai lagi penambahan di masa hadapan yang akan memastikan pemain sentiasa ada sesuatu yang baharu untuk dilakukan.

Grafik/Audio

Satu perkara yang saya sentiasa kagumi dengan permainan Ubisoft adalah rekaan dunia yang mereka sertakan. The Division 2 juga menyediakan perkara yang sama. Walaupun sebagai satu dunia yang porak peranda kerana kesan green poison, akan tetapi di dalam rekaan bandar yang mati, mereka berjaya menghasilkan persekitaran yang hidup. Tidak kira di mana pun pemain mengembara, setiap kawasan nampak berbeza dan peninggalan-peninggalan bangunan serta kawasan di Washington D.C itu menjadikan ia satu pengalaman yang unik.

Rekaan peringkat semasa melakukan misi utama serta sampingan dan juga misi stronghold juga dilakukan dengan baik menjadikan pertempuran sesuatu yang sangat menyeronokkan. Walaupun sekadar memasuki satu bangunan, tetapi rekaan pelbagai peringkat, memasuki pelbagai bahagian yang berlainan menjadikan ia satu yang membuatkan saya teruja. Saya boleh katakan selain pertempuran itu sendiri menyeronokkan, rekaan peringkat dan dunia yang disertakan menjadikan ia jauh lebih menarik. Bagi saya ia adalah satu kelebihan yang terdapat di dalam The Division 2 berbanding permainan-permainan lain.

Grafik secara keseluruhan juga dilakukan dengan baik, saya bermainnya di HP Omen 15 yang menggunakan GPU GTX 1050 walaupun saya hanya dapat bermain tetapan yang rendah akan tetapi grafik yang disediakan sudah cukup baik. Jika anda bermain-nya di PC/Komputer riba ataupun konsol anda sudah semestinya akan mendapat grafik yang lebih baik.

Selain grafik, permainan ini juga menyediakan kesan audio yang baik. Dialog, bunyi tembakan dan juga letupan dilakukan dengan baik yang memberikan satu perasaan yang mendalam. Ia juga menyertakan muzik latar yang sangat bersesuaian dengan mood permainan ini. Ia secara langsung memberikan perasaan yang epik, terutama semasa melakukan misi.

Rumusan

Akhir kata, The Division 2 adalah satu permainan looter shooter yang sudah matang, meneruskan perkara yang baik daripada permainan pertama dan menambah pelbagai lagi bentuk permainan yang menjadikan ia lebih menarik dan unik.

Bentuk permainan yang disediakan sangat pelbagai, tidak kira anda lebih gemar bermain secara solo ataupun secara multi-pemain. Permainan ini memenuhi kehendak untuk kedua-dua jenis pemain. Berakhirnya permainan utama, bahagian endgame yang disediakan juga terus menambah kandungan untuk memberi alasan kepada pemain untuk terus bermain.

Saya tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk genre permainan loot shooter, namun saya boleh katakan apa yang disediakan di dalam The Division 2 membuatkan saya lebih tertarik dengan genre ini kerana ia sangat memberikan satu pengalaman permainan yang sangat menyeronokkan dan unik.

Sohor Kini