No Straight Roads merupakan permainan pertama oleh pembangun dari Malaysia yang mana sering kami laporkan sebelum ini, iaitu Metronomik. Permainan tersebut merupakan satu permainan aksi yang memfokuskan tema muzik dan ia bakal tiba di Playstation 4 dan PC.
Terkini, Metronomik dan Sony berkongsi satu video acah baharu buat permainan tersebut yang memperlihatkan bandaraya Vinyl City.
Melalui video acah tersebut, Mayday iaitu salah seorang daripada watak utama permainan ini tampaknya bermain muzik tema khas yang sedikit sebanyak menerangkan premis dan penceritaan utama buat permainan No Straight Roads.
Menariknya juga, bentuk permainan di campur dengan sebilangan ketua musuh juga diperlihatkan melalui video acah ini. Tambahan itu, apa yang menarik minat kami sekali semestinya suasana dan persekitaran permainan tersebut yang kelihatan sangat cantik luas untuk diterokai.

Selain daripada itu, Metronomik juga memperlihatkan seakan satu mod khas yang mana pemain mungkin berupaya untuk mengubah-suai senjata-senjata muzik Mayday dan Zuke di dalam permainan ini.
Semestinya ini adalah satu permainan yang sangat dinantikan oleh kami untuk tahun ini dan buat masa ini, tarikh pelancarannya masih belum dikongsikan. Namun berdasarkan temu bual bersama Wan Hazmer, beliau menyatakan permainan ini bakal tiba tahun ini.