Sejujurnya, God Eater bukanlah permainan yang saya pernah mencuba. Pengetahuan saya mengenai siri God Eater adalah terhad kepada siri anime yang terdapat di Netflix. Jadi apabila saya diberi peluang untuk mengulas God Eater 3 ia adalah satu pengalaman baharu untuk saya.

God Eater 3 merupakan permainan seterusnya buat siri permainan God Eater dan merupakan sambungan untuk God Eater 2 yang dikeluarkan pada tahun 2013 serta versi penambahan God Eater 2: Rage Burst yang dikeluarkan pada tahun 2016.

Permainan ini dibangunkan oleh Marvelous First Studio dan diterbitkan oleh Bandai Namco Entertainment pada 8 Februari 2019 untuk Playstation 4 dan PC. Ulasan ini adalah untuk versi Playstation 4 dan dimainkan di Playstation 4 Pro, dan saya mengambil masa 24 hingga 25 jam secara keseluruhan untuk menghabiskannya.

Agak sukar untuk mengulas permainan ini tanpa membandingkan dengan siri Monster Hunter, digelar sebagai Monster Hunter versi Bandai, adakah God Eater 3 satu permainan yang setaraf dengan Monster Hunter World?

Cerita

Jika dibandingkan dengan Monster Hunter: World satu perkara yang menjadi kelebihan untuk God Eater 3 ataupun siri God Eater itu sendiri, ia menyertakan penceritaan yang lebih mendalam. Seperti yang saya katakan di awal penulisan, ini merupakan permainan God Eater saya yang pertama tetapi saya serba sedikit mengetahui mengenai penceritaan di dalam permainan ini melalui anime. Jadi mengikuti penceritaan God Eater 3 tidak menjadi masalah walaupun ia menyertakan perubahan yang besar jika ingin dibandingkan dengan siri anime.

Jika anda seperti saya tidak pernah bermain permainan daripada siri ini, serta tidak pernah menonton siri anime, saya merasakan anda sekurang-kurangnya perlu mengetahui serba sedikit mengenai premis penceritaan God Eater. Sekurang-kurangnya mengenai God Eater serta Aragami selain pada itu, tiada masalah untuk memahami penceritaan di dalam God Eater 3, walaupun meneruskan penceritaan God Eater 2 tetapi ia adalah berdasarkan watak baharu dan penceritaan yang tidak sangat memerlukan pengetahuan lepas.

Jika anda penggemar anime, penceritaan yang disediakan di dalam God Eater 3 boleh dikatakan sebagai tipikal. Selain membawa penceritaan yang asas, ia juga mudah untuk diagak walaupun disertakan dengan pelbagai plot twist. Namun, penceritaan yang disediakan sudah cukup baik untuk membuatkan anda terus bermain, bahkan menjadi motivasi untuk anda menghabiskan permainan ini.

Penceritaan juga dibantu dengan perwatakan pelbagai watak di dalam permainan ini, walaupun boleh dikatakan sebagai tipikal watak anime akan tetapi kesemua watak agak berkesan untuk menggerakkan penceritaan. Saya secara peribadi betul-betul kisah mengenai setiap watak yang diperkenalkan walaupun saya penulisan dialog harus ditingkatkan kualitinya.

Dari segi kelajuan plot, saya boleh katakan ia memadai, jika ia dianggap sebagai satu filem yang berterusan tanpa disertakan dengan permainan. Penceritaan bermula dengan pantas dengan pengenalan hanya diluangkan masa sementara sahaja, ia sedikit perlahan di pertengahan kerana ingin memperkenalkan pelbagai cabang penceritaan yang lain kemudian pada pengakhiran ia menjadi semakin pantas dan disertakan dengan pelbagai plot twist tetapi tidak terlalu sukar untuk diteka. Dengan kata lain, penceritaan yang disediakan sudah cukup memadai untuk menjadi penggerak permainan ini.

Satu perkara yang sangat tidak menggemari mengenai penceritaan adalah watak pemain. Anda akan mencipta watak sendiri, dengan pelbagai pilihan seperti jantina serta rupa paras dan aksesori, namun anda tidak diberikan suara dan sekadar membisu sepanjang permainan. Ini menjadikan watak lain menjadi penggerak utama penceritaan dan menjadikan watak pemain sekadar sampingan walaupun ‘sepatutnya’ adalah yang mempunyai keupayaan yang tertinggi.

Bentuk Permainan

Pada asasnya, God Eater 3 adalah permainan aksi pengembaraan yang memfokuskan pertempuran dengan pelbagai raksasa/aragami dan pengembaraan hanya sedikit sahaja. Untuk setiap bab ataupun di dalam permainan ini digelar sebagai Rank pemain akan diberikan dengan pelbagai misi yang perlu dilakukan untuk menggerakkan penceritaan. Terdapat juga misi sampingan yang tidak wajib untuk dilakukan.

Setiap misi tersebut akan sentiasa memerlukan pemain untuk melawan pelbagai raksasa dan misi selesai selepas membunuh raksasa tersebut. Setiap misi akan mengambil bergantung kepada keupayaan pemain serta kesukaran di antara 5 hingga 20 minit. Untuk perkara ini saya boleh katakan ia agak berulang dan tidak sampai separuh saya sudah merasa sedikit bosan melakukan sesuatu yang berulang, walaupun melawan raksasa yang berbeza.

Satu perkara yang menjadikan ia lebih menarik walaupun pada asasnya berulang adalah pemain diberi pelbagai pilihan senjata dan juga perisai. Setiap senjata iaitu pedang dan pistol akan menjadikan gaya permainan pemain lebih unik. Secara keseluruhan terdapat 8 jenis pedang, 4 jenis pistol dan 3 jenis perisai yang mempunyai ciri tersendiri. Pemain juga boleh bertukar senjata yang digunakan mengikut situasi ataupun sekadar ingin mencuba sesuatu yang baharu. Sepanjang permainan saya hanya menggunakan 1 jenis senjata sahaja, walaupun ia lebih mudah akan tetapi ia adalah lebih menyeronokkan jika menggunakan beberapa jenis senjata berbeza untuk menjadikan misi yang berulang terasa berbeza. Selain itu terdapat juga barangan lain yang boleh ‘dipasang’ yang akan memberikan kelebihan kepada pemain tetapi tidak terlalu penting dan merasakan ia sekadar sampingan sahaja.

Satu kekurangan ataupun kelebihan untuk sesetengah pemain jika menggunakan senjata yang berbeza adalah ia akan mengambil masa untuk meningkatkan tahap senjata tersebut. Selain memerlukan duit (yang tidak akan menjadi masalah), pemain juga perlu mendapatkan bahan untuk meningkat tahap senjata tersebut. Bahan tersebut diperoleh dengan menumpaskan sesetengah raksasa dan biasanya perlu menumpaskan raksasa tersebut berulang kali. Seperti Rank senjata juga mempunyai 7 tahap.

Jika sekadar ingin menghabiskan penceritaan, menggunakan satu senjata dan meningkat tahap senjata tersebut bersamaan dengan Rank sudah mencukupi, dan tidak akan mengambil masa terlalu lama dan tidak memerlukan anda bertempur untuk mendapatkan bahan terlalu kerap. Jika anda ingin mencuba setiap jenis senjata, pada setiap tahap, ia akan memerlukan masa yang lama dan usaha yang banyak.

Pertempuran di dalam permainan ini saya boleh katakan sangat menyeronokkan terutama kerana pergerakan pemain dan juga raksasa sangat pantas menjadikan pertempuran satu yang penuh aksi. Setiap raksasa mempunyai serang berlainan yang memerlukan pemain mengelak serta merancangkan strategi yang lebih bersesuaian. Satu perkara yang membantu pertempuran adalah visual yang ditampilkan, perkaa ini saya akan terangkan lebih lanjut di bahagian grafik. Kebanyakan misi membolehkan pemain membawa 3 rakan (AI ataupun rakan dalam talian), pemain juga boleh bertempur secara berseorangan tetapi ia sekadar menjadikan pertempuran lebih sukar tanpa sebarang kelebihan.

Saya sangat berpuas hati dengan AI yang disediakan di dalam permainan ini, serangan oleh mereka sangat berkesan dan sangat membantu di dalam pertempuran. Watak yang pakar dalam memberi sokongan juga melakukannya dengan baik. Mereka bukan sahaja menjadi lebihan badan untuk diserang tetapi juga membantu untuk saya merancang gaya pertempuran. Terdapat 6 pilihan watak yang dibawa yang mempunyai gaya pertempuran yang berbeza.

Permainan ini tidak menyediakan pilihan kesukaran, dan berdasarkan permainan saya, ia mempunyai kesukaran yang sederhana. Selagi anda mempunyai senjata di tahap yang sama dengan Rank untuk misi tersebut sudah memadai untuk anda mengatasi permainan ini. Namun, ia masih menyediakan cabaran untuk pemain terutama raksasa terkuat yang digelar Ash Aragami.

Permainan ini secara keseluruhan banyak bergantung kepada kesabaran pemain untuk terus melakukan perkara yang sama untuk meningkat tahap agar dapat menumpaskan raksasa yang lebih kuat. Jika ingin dibandingkan dengan Monster Hunter: World, mungkin ia sedikit lebih kurang memerlukan ulangan pertempuran yang kerap.

Permainan ini juga memberi pilihan untuk pemain melakukan setiap misi bersama dengan rakan secara dalam talian, terdapat juga misi Assault yang meletakkan anda bersama dengan 7 pemain lain untuk bersama bertempur dengan raksasa yang akan memberikan anda pelbagai bahan. Saya tidak sempat untuk mencuba bahagian ini akan tetapi ia sudah semestinya satu penambahan kandungan yang baik.

Grafik

Grafik permainan ini saya boleh katakan biasa sahaja, ia terus mengekalkan gaya seni untuk siri ini dan tidak banyak perubahan yang dilakukan. Rekaan watak diberikan fokus utama tetapi tidak sangat istimewa terutama jika anda sering menonton anime ataupun bermain permainan JRPG.

Manakala rekaan raksasa saya boleh katakan ia dilakukan dengan baik, tetapi saya merasakan rekaan tidak tetap. Ada raksasa yang mengambil bentuk binatang, ada yang bentuk robot, mungkin itu adalah penarik untuk siri God Eater tetapi saya lebih menyukai jika ia mempunyai tema yang lebih tetapi.

Seperti yang saya katakan di bahagian bentuk permainan, visual yang disertakan di dalam permainan ini dilakukan dengan baik. Semasa pertempuran yang pantas, bantuan visual sangat diperlukan. Setiap serangan raksasa akan mempunyai visual tertentu yang akan membantu pemain untuk mengetahui kawasan yang terkesan sekali gus membantu pemain untuk mengelak. Selain itu, kesan serangan pemain juga dilakukan dengan cantik menjadikan pertempuran lebih epik

Rekaan dunia pula agak mengecewakan, walaupun jika melihat kepada penceritaan pemain sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, bahkan memasuki satu kawasan yang berbeza tetapi ia hanya berlaku secara atas peta sahaja. Apabila pemain memasuki kawasan tersebut, ia adalah kawasan yang sama seperti misi-misi sebelum ini. Perkara ini sangat menjejaskan pengalaman. Kononnya sudah bergerak jauh, tetapi masih kembali ke suatu tempat yang sama.

Satu perkara yang sangat gemari adalah adegan dalam bentuk anime, ia dilakukan dengan baik dan sangat mengasyikkan untuk ditonton. Namun, ia hadir terlalu sedikit dan sangat jarang. Saya berharap setiap adegan di dalam permainan ini dilakukan dalam bentuk anime seperti mana siri permainan Persona.

Manakala untuk kelancaran permainan, ia adalah baik. Sepanjang permainan, saya tidak menjumpai sebarang masalah kekurangan kelancaran walaupun sedang bertempur dengan beberapa raksasa ini sangat membantu kerana permainan ini mempunyai pertempuran yang pantas.

Audio

Untuk muzik latar serta kesan bunyi tidak banyak yang ingin saya perkatakan melainkan ia dilakukan dengan baik. Muzik latar terus mengekalkan tema permainan ini sebagai satu permainan anime. Kesan bunyi melakukan kerja yang cukup untuk membantu pemain terutama semasa pertempuran.

Berbeza dengan lakonan suara dan juga penulisan dialog. Bagi saya lakonan suara untuk bahasa Inggeris dilakukan dengan biasa-biasa sahaja, walaupun mempunyai watak yang menarik tetapi menjadi membosankan kerana lakonan suara yang tidak janggal. Ada pilihan untuk watak bercakap dalam bahasa Jepun dan ia mungkin akan memberikan pengalaman yang lebih baik.

Terutama disebabkan penulisan dialog dalam bahasa Inggeris sangat janggal dan ada masa menjengkelkan. Walaupun premis penceritaan yang cukup baik, tetapi penulisan dialog tidak membantu untuk meningkatkan lagi kualiti penceritaan.

Rumusan

Akhir kata, God Eater 3 adalah Monster Hunter: World yang lebih baik untuk pemain yang lebih menggemari penceritaan berbanding bentuk permainan. Ia mempunyai penceritaan yang cukup baik walaupun tidak membawa sesuatu yang baharu, ia juga mempunyai bentuk permainan serta pertempuran yang lebih ringkas tetapi tetap mencabar.

Jika anda pemain setia siri Monster Hunter dan ingin mencuba God Eater 3, anda mungkin kecewa tetapi jika anda pemain permainan RPG yang ingin mencuba mekanik Monster Hunter, God Eater 3 adalah satu permainan bersesuaian untuk anda.

Penafian: Kod Ulasan God Eater 3 disediakan oleh Bandai Namco SEA

Sohor Kini