Kingdom Hearts sememangnya satu siri permainan yang pasti menjadi penantian ramai peminat dimana permainan terakhir bagi siri utama tersebut, iaitu Kingdom Hearts 2 telah dilancarkan lebih dari 10 tahun lepas di konsol Playstation 2.

Sejak pelancaran permainan tersebut, Square-Enix telah membawa pelbagai permainan sampingan Kingdom Hearts seperti Birth By Sleep, Dream Drop Distance dan sebagainya. Sekaligus, permainan teras bagi siri ini, Kingdom Hearts 3 sememangnya meletakkan tumpuan utama buat siri tersebut.

Kingdom Hearts 3 merupakan permainan aksi pengembaraan oleh Square-Enix di Playstation 4 dan Xbox One. Ia sebelum ini terkenal dengan bentuk permainan yang mempunyai pelbagai francais daripada siri permainan oleh Square-Enix dan juga dunia daripada filem-filem Disney.

Oleh demikian, terdapat pelbagai jangkaan berkenaan permainan ini sekaligus ianya sememangnya meletakkan satu penanda aras untuk apa yang siri Kingdom Hearts seterusnya yang Square-Enix perlu buktikan. Sebagai seorang peminat siri tersebut, Square-Enix semestinya perlu membuktikan bahawa Kingdom Hearts 3 sekali lagi relevan dengan siri sebelum ini dan pada masa yang sama perlu menjangkau jangkaan peminat dan ini adalah ulasan penuh saya untuk Kingdom Hearts 3.

Cerita

Sebagai seorang peminat buat siri Kingdom Hearts, sudah pastinya saya sendiri mengetahui bertapa kompleksnya penceritaan siri ini disebabkan permainan ini bertempatkan di pelbagai platform permainan sepanjang siri tersebut dilancarkan dari ke Playstation 2 sehinggalah ke konsol Nintendo 3DS dan telefon pintar.

Walaupun begitu, Square-Enix sebelum ini telahpun melancarkan kesemua koleksi permainan tersebut di Playstation 4 yang mana mereka menambah-baik dari segi visual dan bentuk permainan. Apa yang membuatkannya adalah lebih kompleks adalah kesemua permainan Kingdom Hearts yang dilancarkan mempunyai kandungan cerita utama yang sangat penting dan ia menyebabkan pemain perlu bermain kesemuanya untuk memahami penceritaan Kingdom Hearts.

Oleh sebab itu, kesan daripadanya membuahkan satu perkara yang sangat penting untuk permainan Kingdom Hearts 3 kerana untuk memahami penceritaannya, anda perlu bermain permainan sebelum ini. Saya sendiri sangat tidak mengesyorkan anda untuk bermain Kingdom Hearts 3 tanpa memahami sekurang-kurangnya apa yang berlaku di dalam permainan Kingdom Hearts sebelum ini.

Ini kerana permainan ini sememangnya memfokuskan penceritaan kesinambungan selepas permainan Kingdom Hearts Dream Drop Distance dimana Sora perlu melatihkan dirinya semula selepas beliau gagal di dalam ujian Mark Of Mastery di dalam permainan tersebut.

Untuk tidak membeberkan keseluruhan penceritaannya, saya sendiri tidak akan berkongsi secara terperinci berkenaan penceritaan utama Kingdom Hearts 3. Tetapi pada pendapat saya, Kingdom Hearts 3 mempunyai penceritaan yang agak mengecewakan. Ianya tidaklah mempunyai penceritaan yang teruk, malah Square-Enix kali ini sememangnya membawa kesimpulan buat kebanyakkan watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini.

Namun, apa yang mengecewakan adalah ketika penghujung permainan ini, plot penceritaannya menjadi agak pantas dan kesemuanya disimpul secara pendek dan agak kurang menarik. Sudah tentu terdapat pelbagai watak-watak yang kembali seperti ahli-ahli Organization XIII, Kairi dan juga antagonis utama iaitu Master Xehanort. Tetapi, hampir kesemua watak tersebut tidak disampaikan dengan baik kerana kemajuan watak mereka tidak diterjemahkan dengan baik.

Malah sebahagian watak utama seperti Kairi juga tidak sampaikan dengan baik dan seolah Square-Enix sekali lagi mengulang kesilapan mereka dengan permainan Final Fantasy XV dengan tidak tayangkan penceritaan disebalik watak-watak tersebut. Kemajuan watak antara Kairi dan Sora juga tidak diperlihatkan dengan baik, walaupun saya sendiri mengetahui bagaimana kemajuan watak tersebut sebelum ini melalui Kingdom Hearts 1 dan 2, namun melalui Kingdom Hearts 3 kali ini, ianya seolah hanya meletakkan Kairi sebagai satu watak sampingan dan pada penghujung permainan tersebut sahaja baru watak Kairi menjadi watak penting.

Bagi anda yang pernah bermain siri Kingdom Hearts sebelum ini, anda juga pasti mengetahui bahawa dunia-dunia filem Disney yang terdapat di dalam permainan tersebut tidaklah begitu penting untuk penceritaan utama Kingdom Hearts. Dimana dunia tersebut hanyalah bertempatkan sebagai dunia penceritaan sampingan sahaja.

Kali ini, Square-Enix tampaknya banyak menghabiskan masa untuk meletakkan dunia-dunia seperti Frozen dan Tangled dengan melakukan pelbagai aset model tetapi tidak langsung menghiraukan penceritaannya langsung. Ini menyebabkan dunia tersebut berasa sangat bosan dan kosong bersama-sama dengan kandungan yang amat sedikit dimana ianya boleh dihabiskan kurang dari 2 jam sahaja. Ianya juga berasa seolah Square-Enix hanya meletakkan dunia tersebut sebagai satu ‘perhiasan’ sahaja dimana mereka dibenarkan untuk menggunakan lesen filem tersebut sahaja.

Ini kerana penceritaan dunia tersebut langsung tidak suaikan dengan pengembaraan watak utama, Sora, Donald dan Goofy yang mana ianya membuatkan mereka seolah-olah hanya berada di dunia tersebut sebagai watak sampingan yang diletakkan secara minit akhir. Contohnya seperti di dalam dunia Frozen, dimana Sora seolah hanya satu tunggul tambahan sahaja di setiap adegan-adegan di dalam permainan ini.

Walaupun begitu, terdapat juga dunia penceritaan yang dihasilkan dengan baik dengan penceritaan yang sangat menarik bersama pelbagai kandungan yang luas dengan kandungan yang sangat pelbagai dan panjang. Ini dapat dilihat melalui dunia Pirates dan Big Hero 6 dimana penceritaannya diterjemahkan dan bergerak dengan baik sekali bersama-sama watak utama Sora, Donald dan Goofy.

Seperkara lagi yang saya amat kecewa adalah permainan ini tidak langsung memaparkan sebarang watak dari siri Final Fantasy. Tampaknya kali Square-Enix terlalu memfokuskan kandungan dari filem Pixar dan Disney sehingga mereka melupakan watak-watak Final Fantasy seperti Cloud, Leon dan sebagainya. Tambahan itu, terdapat juga watak-watak Disney yang tidak langsung mempunyai dialog dan hanya berada sebagai satu perhiasan sahaja, sekaligus menyebabkan adakah permainan ini masih tidak siap?

Perkara yang sama yang boleh saya katakan juga untuk kesimpulan ataupun pengakhiran permainan ini kerana pada saat tersebut, kebanyakkan plot yang disampaikan kelihatan begitu cepat dan seolah kesemuanya hanya disimpulkan dengan begitu pantas sekali.

Ini tidak bermakna Kingdom Hearts 3 tidak mempunyai penceritaan menarik ataupun kesimpulan penceritaan langsung. Tetapi dengan apa yang disampaikan oleh mereka ianya berasa seolah permainan ini agak tidak siap. Malah, seperti yang saya kongsikan di atas, kemajuan kebanyakkan watak disampaikan dengan teruk dan terdapat juga saat-saat mana penceritaan seolah disembunyikan, sekaligus membuatkan saya berasa mungkin Square-Enix akan membawa DLC pernambahan pada masa akan datang.

Walaupun begitu, satu perkara yang saya harus puji adalah permainan ini sememangnya mempunyai penceritaan utama yang sangat berkait rapat dengan permainan Kingdom Hearts sebelum ini dan ianya sememangnya adalah satu kesimpulan buat trilogi permainan tersebut. Malah bagi anda yang meminati siri permainan ini, anda pasti akan menyukainya dan hargai apa yang Square-Enix bawa ke dalam Kingdom Hearts 3 ini.

Namun, tindakan ini juga bagai musuh di dalam selimut dimana kesannya adalah permainan semestinya menarik untuk peminat Kingdom Hearts kerana permainan ini sememangnya dibangunkan khas untuk peminat. Namun, untuk anda yang baru sahaja dengan permainan ini, Kingdom Hearts 3 mungkin berasa terlalu kompleks dan memeningkan.

Walaupun begitu, selepas kemaskini 1.01, Square-Enix telah menambah satu fungsi “Memory” baharu dimana ianya membenarkan pemain untuk melihat kembali penceritaan sebelum ini dimana ianya dibahagikan kepada lima episod. Namun, penceritaan tersebut agak ringkas dan hanya memaparkan sebahagian penceritaan sahaja.

Saya sendiri berjaya melengkapkan penceritaan Kingdom Hearts 3 dengan hanya sekitar 25 jam sahaja, malah terdapat lagi kandungan lain yang masih belum saya terokai seperti melakukan misi sampingan, senjata Keyblade Ultima Weapon, ketua musuh rahsia dan sebagainya. Walaupun begitu, kandungan tersebut tidak berjaya menyelamatkan apa yang membuatkan penceritaan Kingdom Hearts 3 ini sangat mengecewakan.


Grafik

Tidak dapat dinafikan Kingdom Hearts 3 merupakan visual siri Kingdom Hearts tercantik untuk siri tersebut dimana sebelum ini sering kita tonton visual adegan sahaja melalui permainan Kingdom Hearts 1 dan 2. Kini, visual adegan tersebut merupakan visual di dalam permainan sekaligus ianya dipaparkan dengan begitu menawan sekali.

Terdapat juga satu dunia yang dipaparkan dengan sangat luas dan membuatkan saya begitu teruja dengan visual tersebut sehingga membuatkan saya berasa sangat berpuas hati dengan visual permainan ini.

Sudah pasti, kesan penggunaan enjin permainan Unreal Engine 4 adalah satu pilihan yang sangat baik buat permainan ini dan setiap model-model watak yang diperlihatkan kelihatan sangat cantik untuk dipertontonkan. Ini tidak dapat dinafikan yang mana Square-Enix berjaya menggamit hati peminat seperti saya dengan visual yang terang, efek-efek yang menawan dengan pelbagai rekaan senjata Keyblade yang menarik.

Tambahan itu, kesan prestasi permainan ini juga dimainkan dengan baik sekali di Playstation 4 Pro dimana saya mainkannya kesemuanya dengan baik tanpa sebarang masalah prestasi ataupun kerosakkan visual. Namun, terdapat juga saat dimana kadar bingkai sesaat menurun, namun ianya tidaklah memberi kesan terhadap keseluruhan sesi permainan saya.

Audio

Dari segi audio, sudah pastinya muzik latar yang dinyanyikan oleh Utada Hikaru menjadi tumpuan utama di dalam permainan ini bersama-sama muzik orkestra yang membuatkan adegan mahupun sesi pertempuran menjadi sangat epik.

Namun, bagi pelakon suara latar pula, seperti kebanyakkan permainan Kingdom Hearts, Kingdom Hearts 3 masih lagi berasa agak janggal dimana terdapat watak yang tidak menyegerak bersama bibir mereka dan suara latar yang mana ia menyebabkan lakonan mereka berasa sedikit kekok. Namun perkara ini adalah biasa bagi permainan bergenre JRPG, terutamanya bagi watak-watak sampingan.

Akan tetapi, terdapat satu perkara yang sangat mengecewakan saya, dan saya juga kongsikannya di atas iaitu suara latar untuk sesetengah watak tidak langsung dilakon. Ini berlaku ketika di dunia Hercules, dimana terdapat satu watak utama daripada dunia tersebut langsung tidak bersuara namun, watak tersebut masih lagi berada di dalam adegan-adegan permainan.

Apa yang saya boleh ramalkan adalah ini mungkin kerana Square-Enix tidak dapat mendapatkan pelakon suara latar asal untuk sesetengah watak dari dunia tersebut. Walaupun begitu, mereka tampaknya lebih menumpukan perhatian untuk pelakon suara latar buat dunia utama lain seperti Frozen ataupun Tangled. Ini bukan sahaja agak mengecewakan bagi saya, malah sebagai seorang peminat Kingdom Hearts dan pemain dari Kingdom Hearts pertama, saya berasa tindakan ini agak hambar bagi pihak Square-Enix.

Kawalan

Sekali lagi apabila dikaitkan dengan kawalan, Kingdom Hearts 3 ini semestinya akan membuat peminat menyukai dan ianya juga sekali lagi bagai musuh di dalam selimut. Ini kerana pada pendapat saya, bentuk kawalan di dalam permainan ini akan meletakkan pemain di dua kategori sama ada mereka betul-betul menyukai ataupun mereka akan sangat membencinya.

Saya sendiri berada di kategori yang sangat menyukai dimana sebelum ini ketika saya mencuba permainan Kingdom Hearts 3, saya sedikit berbelah bagi bagaimana bentuk pertempurannya yang berasa agak membosankan dan berulangan. Namun, perkara yang sama apa yang saya boleh katakan untuk Kingdom Hearts 3 kali ini dimana ianya agak berulangan.

Akan tetapi, Square-Enix berjaya menghilangkan rasa berulangan tersebut dengan menyertakan pelbagai bentuk pertempuran yang boleh dilakukan oleh Sora dimana salah satunya adalah kemahiran memanggil peralatan ataupun kelengkapan dari taman tema Disneyland, iaitu “Attraction”. Kemahiran ini secara asasnya sememangnya agak terhad dimana saya berupaya untuk menggunakan sekitar 6 sahaja jenis “Attraction” dimana setiap satunya mempunyai bentuk yang berbeza.

Selain itu, senjata Keyblade Sora juga boleh ditukarkan kepada pelbagai jenis bentuk dan setiap satu Keyblade mempunyai bentuk pertukaran yang berbeza. Seperti contohnya, Keyblade dari dunia Frozen memfokuskan bentuk serangan magis dan Sora berupaya untuk menyerang dengan kuasa ais yang lebih kuat. Ianya menjadi lebih seronok dimana Sora berupaya untuk memasang 3 jenis Keyblade serentak dan pemain berupaya untuk menukar Keyblade tersebut dengan menekan butang D-Pad.

Kesemua fungsi ini boleh dilakukan dengan melengkapkan Situation Command dengan memenuhi 3 bar fungsi tersebut. Untuk memenuhinya, pemain hanya perlu terus memukul musuh sehingga lengkap bar tersebut dan pemain berupaya untuk terus melakukan pelbagai jenis Situation Command secara berperingkat.

Bercakap berkenaan fungsi ini juga, seperti permainan Kingdom Hearts sebelum ini, Sora juga berupaya untuk menetapkan kemahiran beliau berdasarkan nilai Ability Point tersedia. Melalui kemahiran ini, pemain boleh menetapkan kombinasi serangan Sora, ataupun kemahiran tambahan seperti meluncur, menahan dan sebagainya. Fungsi Flowmotion daripada Dream Drop Distance juga kembali dan Sora berupaya untuk berinteraksi dengan bangunan dan tiang untuk melakukan pelbagai bentuk serangan Flowmotion.

Selain itu, fungsi Shotlock juga tiba dimana asalnya bentuk ini diperkenalkan melalui permainan Kingdom Hearts Birth By Sleep. Shotlock kali ini juga dikembangkan lagi dengan bentuk baharu seperti loncatan dan juga serangan yang berbeza mengikut jenis Keyblade.

Seperti permainan sebelum ini, Sora juga berupaya untuk menghasilkan barangan tambahan, menukar butang pintas magis dan sebagainya. Apa yang saya boleh katakan adalah kandungan dan bentuk permainan daripada permainan sebelum ini, kesemuanya masih lagi tiba dan dikembangkan lagi dengan baik di dalam permainan Kingdom Hearts 3.

Tambahan itu, apa yang saya menyukai bentuk permainan Kingdom Hearts 3 adalah fungsi Gummi Ship juga kembali dan seperti biasa, pemain berupaya untuk mengubah-suai Gummi Ship dengan pelbagai senjata, kelengkapan dan sebagainya. Namun, apa yang menarik dengan bentuk Gummi Ship ini adalah kali ini pemain berupaya untuk meneroka angkasa secara bebas, ini sekaligus tidak lagi mengehadkan pemain kepada bentuk atas pagar lagi. Namun, ketika bertembung dengan musuh Heartless di angkasa, ianya akan terus ke skrin pertempuran dan melaluinya ia masih lagi dihadkan secara atas pagar.

Terdapat juga sebahagian dunia-dunia yang terdapat di dalam permainan ini mempunyai kandungan bentuk yang berbeza seperti contohnya di dunia Pirates, pemain berupaya untuk mengendali kapal dan bertempur dengan kapal tersebut. Ini membuatkan saya teringat akan bentuk permainan seakan seperti Assassin’s Creed Black Flag. Tetapi, memandangkan permainan Kingdom Hearts 3 ini berasaskan dunia magis, Sora dan rakan-rakan berupaya untuk menyerang dengan serangan magis, sekaligus mengasingkannya daripada permainan Black Flag.

Mini permainan sampingan seperti memasak juga tiba melalui Kingdom Hearts 3 ini dimana melaluinya pemain akan memasak bersama Remy dari filem Ratatouille dan masakan tersebut akan membenarkan pemain untuk meningkat status watak Sora seperti tingkat nilai serangan ataupun nilai nyawa watak. Fungsi ini sememangnya seakan sama dengan fungsi masakan seperti Final Fantasy XV. Namun, ianya dikembangkan lagi dengan pelbagai mini permainan menarik seperti memotong, memasak bahan-bahan dan sebagainya.

Mini permainan seterusnya juga adalah Classic Kingdom. Melalui fungsi ini, pemain berupaya untuk bermain permainan-permainan klasik berdasarkan permainan retro mudah-alih LCD. Untuk mendapatkan permainan tersebut, pemain perlu mencari di seluruh dunia permainan yang mana ianya terbahagi dengan pelbagai jenis permainan retro yang berbeza.

Sememangnya kawalan permainan Kingdom Hearts 3 dinaik-taraf dengan lebih baik berbanding permainan Kingdom Hearts sebelum ini. Kesemua fungsi-fungsi di atas juga dikembangkan lagi daripada permainan sampingan Kingdom Hearts lain dan pada pendapat saya, Kingdom Hearts 3 mempunyai bentuk dan kandungan permainan terbaik untuk siri tersebut.

Kesimpulan

Akhir kata, Kingdom Hearts 3 sememangnya satu permainan yang menarik, dari segi kandungan sememangnya permainan merupakan permainan utama buat siri Kingdom Hearts yang mana ianya mempunyai pelbagai bentuk kandungan yang menyeronokkan dan pasti peminat akan menyukainya.

Namun, dari segi penceritaan dan pengakhiran yang agak mengecewakan dicampur dunia-dunia filem Disney yang tidak diterjemahkan dengan baik, Kingdom Hearts 3 berasa seolah satu lagi permainan Square-Enix yang tidak lengkap. Tambahan itu, plot-plot yang terdapat di dalam permainan ini juga kelihatan dicepatkan dan seolah berasa satu kerja minit akhir sahaja.

Saya sendiri tidak akan terkejut jika Square-Enix mengambil keputusan untuk melancarkan DLC pernambahan pada masa akan datang untuk mengembangkan lagi penceritaannya, seperti mana apa yang mereka lakukan untuk permainan Final Fantasy XV.

Penafian: Kod Ulasan Kingdom Hearts 3 disediakan oleh Playstation Asia

Sohor Kini