Permainan Ace Combat akan menyambut ulang tahun ke-25nya pada tahun 2020. Ia adalah antara permainan bergenre penerbangan arked yang paling diminati ramai kerana mengimbangi corak permainan yang menarik tetapi masih memberikan nikmat terbang seperti sebuah permainan simulasi. Dengan Ace Combat 7 : Skies Unkown, ia akhirnya kembali ke pasaran selepas lima tahun menyepi. Adakah tempoh lima tahun ini digunakan dengan baik oleh Bandai Namco untuk membawakan formula baharu kepada genre permainan yang kini boleh dikatakan hampir pupus? Ini ialah ulasan kami untuk Ace Combat 7 : Skies Unknown.

Cerita

Ace Combat 7 : Skies Unknown berlaku pada tahun 2019 di dalam dunia Strangereal yang diperkenalkan pada Ace Combat 4 : Shattered Skies. Ini bermakna ia berlaku sembilan tahun selepas usainya jalan cerita Ace Combat 5 : The Unsung War. Kali ini negara Erusea menyerang negara Osea secara tiba-mengejut. Mengapa ia berlaku dan siapakah dalang di sebalik serangan ini akan dirungkai sepanjang 20 misi utama yang membawa pemain seluruh benua Usean.

Harus diakui untuk memahami latar belakang di sebalik pertelagahan dua kuasa besar ini, pemain perlu sekurang-kurangnya pernah bermain AC4 atau AC5. Tiada fungsi penceritaan semula diberikan bagi mengingatkan pemain tentang kisah yang telah berlaku sebelum ini. Ini membuatkan mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan siri AC akan mungkin keliru dengan pelbagai rujukan kepada peristiwa lalu dan lokasi lokasi bersejarah yang dilawati sepanjang misi. Malahan kami sendiri menghabiskan masa beberapa jam memainkan AC4 dan AC5 pada konsol PlayStation 2 bagi menyegarkan semula ingatan permainan yang telah lama tidak disentuh.

Pemain mengawal watak Trigger yang merupakan seorang juruterbang untuk negara Osea. Insiden kemalangan yang berlaku ketika melakukan misi mengakibatkan beliau dipenjarakan. Tetapi memandangkan keperluan juruterbang ketika perang, Trigger dikerahkan untuk terbang semula untuk pihak Osea bagi menebus dosa. Ini membezakan AC7 berbanding permainan lain di dalam siri kerana pemain tidak bermula sebagai seorang nugget yang masih lagi mentah.

Kerana ia berlangsung pada tahun 2019, konflik utama selain peperangan ialah isu moral penggunaan dron di medan perang. AC7 cuba melihat dunia di mana dron telah menggantikan juruterbang manusia. Data dari juruterbang paling terkemuka dunia Strangereal telah digabungkan dengan kecerdasan buatan untuk mengawal armada dron yang digunakan oleh pihak Erusea. Pemain perlu membuktikan masih terdapat keperluan untuk juruterbang manusia di dunia di mana dron sudah mula digunakan di medan perang.

Situasi ini masih belum berlaku di dunia sebenar tetapi negara seperti China dan Rusia telahpun memulakan program menggunakan kecerdasan buatan pada sistem senjata.

Beberapa babak animasi digunakan bagi menceritakan konflik dari dua sudut pandangan berbeza. Harus kami akui dari segi jalan cerita, AC7 tidak berapa menarik kerana mengitar semula beberapa elemen klise yang sudah beberapa kali dipaparkan pada permainan terdahulu.

Audio radio dari juruterbang lain ketika misi sedang berlangsung juga digunakan untuk menyampaikan naratif. Ini memang cukup kurang kami gemari kerana adalah sukar untuk mengikuti apa yang diceritakan menerusi radio ketika cuba mengelak dari ditembak dengan desingan amaran missile lock yang kuat.

Ia mungkin yang paling lemah kami mainkan sejak Ace Combat 2. Tiada elemen meruntun jiwa seperti AC4 atau elemen mendebarkan berlaku ketika babak animasi seperti AC5. Kelemahan paling ketara AC7 pastinya ialah jalan cerita yang sedikit membosankan.

Secara keseluruhan anda boleh menghabiskan kesemua misi di dalam AC7 dalam masa kurang 12 jam pada tahap kesukaran paling rendah. Oleh sebab itu kami amat menyarankan anda terus bermain pada tetapan Normal atau Hard yang lebih mencabar sekaligus membolehkan anda menghabiskan lebih lama bertarung dengan pelbagai musuh di skrin.

Jalan cerita mungkin membosankan tetapi Bandai Namco bijak menyelitkan pelbagai lokasi dan watak klasik dari permainan terdahulu yang pastinya menggembirakan pemain veteran. Kami tidak mahu melakukan pembeberan beberapa plot penting tetapi apa yang boleh kami katakan ialah terdapat beberapa misi di dalam AC7 akan membuatkan anda senyum sehingga ke telinga kerana berjaya mengembalikan nostalgia.

Sekali lagi kami sekiranya AC7 ialah permainan pertama anda untuk siri ini anda mungkin akan hanya menjadi keliru atau tidak menyedari betapa pentingnya beberapa misi yang dimainkan.

Grafik

Siri AC terkenal dengan kualiti yang baik sejak dari zaman PlayStation 2 lagi. Ia antara yang terawal menggunakan sistem partikel dan asap volumetrik secara meluas. Tidak mengejutkan dengan kuasa konsol dan PC yang lebih berkuasa pada tahun 2019, grafik AC7 adalah pada tahap terbaik di dalam siri. Setiap model pesawat yang diterbangkan adalah cukup terperinci seperti yang wujud di dunia sebenar. Tidak melampau untuk kami katakan AC7 akan memuaskan peminat pesawat tempur sama seperti Forza dan Grand Turismo memuaskan peminat kereta berprestasi tinggi.

Setiap bonjolan antena, ejector strut, hard points, tiub pitot, canard, paparan HUD, skrin radar dan jarum instrumen di dalam kokpit dihasilkan semula dengan teliti. Jarum instrumen kini bergerak selari dengan setiap pergerakan pemain. Bagi mereka yang mempunyai PlayStation VR, kokpit yang dihasilkan semula dengan cukup teliti ini membantu membuatkan permainan terasa lebih imersif.

Keperincian grafik ini tidak hanya terhad kepada pesawat yang diterbangkan. Buat pertama kali juga awan volumetrik diperkenalkan. Apabila terbang di dalam awam, pandangan pemain akan terhalang sekaligus menyukarkan mereka mengejar musuh dan meninggikan kebarangkalian mereka kehilangan kesedaran spatial. Di dalam situasi ini, bacaan instrumen pesawat dan paparan HUD membantu kami terbang dalam cuaca yang buruk. Tambahan lagi skrin boleh membeku dengan ais dan dilitupi lapisan air apabila terbang di dalam awan.

Apabila di dalam mod pandangan ketiga, kepulan wasap air tersejat akan muncul apabila pesawat terbang pada kelajuan Mach dan membelok pada tahap G yang tinggi. Ia kelihatan cukup realistik dan membuatkan kami terasa seperti betul-betul seorang juruterbang tempur yang bad ass.

Namun begitu tidak semuanya sempurna. Pokok di muka bumi masih menggunakan tekstur 2D yang beresolusi rendah. Kereta kebal, APC, pelancar roket dan kapal musuh masih lagi menggunakan model berpoligon rendah. Masalah pop-in ketika terbang juga masih lagi berlaku. Kesemua ini ialah masalah tradisional siri AC sejak permainan pertama lagi dan belum diselesaikan selepas hampir suku dekad.

Mungkin Project Aces yang membangunkan AC7 merasakan grafik pesawat dan angkasa sahaja perlu diberikan keutamaan kerana ia sebuah permainan simulasi penerbangan. Namun kekurangan yang sudah berlarutan sejak permainan pertama sepatutnya dibaiki. Mungkin ini akan hanya menjadi realiti pada permainan AC pada konsol generasi hadapan yang mempunyai kemampuan grafik yang lebih tinggi. Ini ialah senarai idaman yang kami mahukan pada Ace Combat 8 kelak untuk membuatkan permainan ini kelihatan lebih realistik.

Bentuk Permainan

Pusing, kejar, bidik dan tembak! Ini ialah empat mekanik utama permainan Ace Combat. Tiada perubahan dilakukan pada mekanik asas permainan yang boleh dikatakan telahpun cukup sempurna. Veteran AC akan dapat mengendalikan pesawat mereka tanpa masalah dalam masa beberapa minit sahaja. Bagi pemain baharu terdapat mod kawalan Novice yang agak terhad tetapi mengurangkan kebarangkalian mereka terhempas.

AC7 memberikan beberapa lain pilihan lain seperti mengubah sistem kawalan pitch, butang radar, yaw dan kuasa. Pilihan ini akan memudahkan setiap juruterbang mencari konfigurasi kawalan yang paling selesa. Kami secara peribadi lebih menggemari mod kawalan radar dengan butang empat segi pada PS4. Pada tetapan asal ini dilakukan dengan menekan kawasan pad sesentuh.

Kawalan asas AC7 adalah mudah tetapi untuk menguasainya adalah dua perkara berbeza. Ini mungkin permainan yang paling sukar di dalam siri kerana tetapan normal terasa seperti tetapan Hard. Musuh pintar menggunakan awan untuk mematahkan serangan misil yang ditembak. Flare ditembak untuk mengelirukan kepala misil infra merah. Kapal perang musuh pula dilengkapi sistem CIWS yang menangkis misil yang ditembak seperti di dunia sebenar.

Sebagai seorang pemain veteran kami menggemari tahap kesukaran ini kerana mencabar kemahiran terbang yang sudah diasah lebih dua dekad. Tetapi kami tidak tahu apa pula reaksinya dari pemain baharu kerana lengkok kesukaran AC7 adalah agak curam. Kesukaran ini bertambah kerana AC7 tidak mengajar asas penerbangan, mengelak musuh dan menggunakan senjata. Langsung tiada misi tutorial seperti permainan terdahulu. Ini menguatkan lagi hipotesis kami bahawa AC7 adalah permainan yang dibangunkan khas untuk peminat paling tegar.

Pilihan misi juga pelbagai dengan kombinasi memusnahkan sasaran darat, mengejar misil musuh, memusnahkan senjata rahsia, misi stealth menyelinap masuk ke markas musuh dan banyak lagi. Pendek kata kesemua misi-misi standard siri AC ditawarkan semula dan akan memenuhi kehendak pemain.

Pembaharuan yang paling kami gemari ialah sistem mod yang boleh dibeli oleh pemain. Pelbagai mod seperti enjin lebih berkuasa, misil yang terbang lebih jauh, tangki minyak lebih tahan lasak, storan misil lebih besar dan sebagainya ada ditawarkan. Ini membolehkan pesawat yang lebih lemah seperti F-104, F-16 dan MIG-21 terbang dengan lebih kompetitif di dalam permainan apabila menentang pesawat lebih moden seperti F-15J dan Sukhoi SU-27.

Bercakap tentang pesawat, jumlah yang ditawarkan adalah agak kecil dan memerlukan pemain memilih cabang teknologi tertentu. Maka dari awal pemain perlu melakukan pilihan untuk menggunakan teknologi Eropah, Amerika Syarikat atau Rusia. Ketiga-tiga cabang menawarkan kelebihan tertentu. Amerika Syarikat menawarkan senjata yang lebih berkuasa (F-22 Raptor), Rusia menawarkan pesawat yang boleh “menari di angkasa” serta pantas (Su-57) manakala Eropah menawarkan pesawat yang lebih seimbang (Gripen E).

Untuk menikmati kesemua pesawat dan mod, banyak wang perlu dibelanjakan. Mengumpul wang ialah antara perkara paling sukar kerana ganjaran selepas melakukan misi adalah sedikit. Tambahan lagi pesawat yang telah dibeli tidak boleh dijual semula (seperti AC terdahulu) bagi mengumpul dana membeli pesawat lebih terkini tetapi amat mahal.

Ini kami rasa adalah disengajakan bagi mengajak penggunaan mod multi-pemain di atas talian. Wang dari MP boleh digunakan di dalam mod misi solo. Mod berbeza turut ditawarkan untuk hanya digunakan pada MP bagi mengimbangi kemampuan setiap pesawat yang menggunakannya. Selain MP memainkan semula misi selepa usai permainan solo turut boleh dilakukan. Terdapat juga pilihan Free Mission yang membolehkan pemain terbang dengan bebas tanpa sebarang musuh atau halangan masa.

Audio

Muzik latar dihasilkan oleh Keiki Kobayashi yang bertanggungjawab ke atas penghasilan muzik sejak AC4. Seperti misi-misi standard yang kami katakan di atas, muzik nukilan beliau tidak jauh berbeza dengan muzik latar permainan terdahulu. Apabila melakukan misi biasa pemain di hidang dengan muzik bergenre metal. Misi lebih mustahak menentang musuh yang lebih berbahaya muzik orkestra yang lebih epik pula berkumandang,

Kesan bunyi adalah amat baik. Ledakan bom, deruman jet dan ledakan misil yang meratah pesawat musuh amat memuaskan terutamanya jika anda menggunakan sepasang fon telinga yang baik.

Kualiti lakonan suara pula adalah sebaliknya adalah mengecewakan kerana kedengaran seperti anime alih bahasa yang tidak profesional. Kami menyarankan menggunakan audio Jepun yang lebih bermaya dan beremosi. Kerana lakonan suara yang lemah ini. tahap penceritaan juga terjejas.

Rumusan

Selepas lima tahun menghilang, Ace Combat kembali dengan permainan yang mantap dari segi grafik, mekanik dan cabaran yang membuatkan kami mencampakkan pengawal permainan kerana kerap kali gagal. Ia benar-benar adalah untuk seorang ACE dan bukan untuk Nugget yang ingin berjinak-jinak dengan siri ini.

Bagi pemain veteran ini ialah permainan yang mengubat rindu mereka dengan dunia AC lengkap dengan lokasi-lokasi legenda yang akan mengembalikan nostalgia lama. Bagi pemain baharu mereka mungkin perlu membaca artikel ACEPEDIA atau menonton video YouTube untuk mempelajari latar belakang permainan terdahulu bagi mendapatkan pemahaman yang penuh.

Kami cukup menggemari setiap misi walaupun ada yang melecehkan kerana ia kini sinonim dengan siri ini. Tetapi pada waktu yang sama kecewa dengan jalan cerita yang lemah. Mekanik mod pada pesawat dan cabang teknologi pesawat adalah menarik tetapi memerlukan pemain menghabiskan puluhan jam mengumpul wang bagi mendapatkan kesemua pesawat yang ditawarkan.

Kekecewaan juga terletak pada beberapa fungsi yang tidak disertakan seperti pilihan memilih cabang misi A atau B. Pemain juga tidak boleh berinteraksi dengan skuadron seperti berseloroh atau memberikan mereka arahan untuk memunahkan musuh atau mengawal pesawat dari diserang dari belakang. Ini semua adalah kekurangan kecil di dalam pakej yang kami rasakan hampir lengkap.

Ace Combat 7 : Skies Unknown ialah permainan yang kami sarankan kepada semua pemain veteran yang pastinya rindu dengan genre yang kini semakin pupus. Kami hanya boleh berharap tidak perlu menanti separuh dekad sebelum dapat menikmati permainan Ace Combat yang seterusnya.

Penafian: Kod Ulasan Ace Combat 7: Skies Unknown disediakan oleh Bandai Namco SEA

Sohor Kini