YIIK (Y2K): A Postmoderm RPG merupakan permainan RPG yang dibangunkan oleh Ackk Studios dan diterbitkan oleh Ysbryd Games pada 17 Januari 2019 untuk Playstation 4, Switch dan PC.
Permainan pertama Ackk Studios iaitu Two Brothers tidak mendapat penerimaan yang baik, adakah permainan kedua mereka ini akan mendapat kejayaan yang lebih baik.
Cerita
YIIK memfokuskan penceritaan kepada watak utama Alex yang baru sahaja menyelesaikan pembelajaran beliau di kolej dan kembali ke kampung halaman beliau iaitu Frankton. Ia berlaku pada tahun 1999. Semasa perjalanan beliau ke pekan, seekor kucing menarik perhatian beliau dan membawa ke Factory Hotel.
Di hotel tersebut, Alex berjumpa dengan seorang perempuan bernama Sammy. Semasa di dalam lif, Sammy diculik oleh entiti misteri, terkejut dengan perkara tersebut Alex kembali ke rumah dan mendapati video penculikan tersebut tersebar di sebuah laman yang berkongsi perkara pelik iaitu Onism.
Bertekad untuk menyiasat mengenai penculikan Sammy, Alex mula bertemu dengan watak-watak lain yang mempunyai sebab tersendiri untuk mengikut penyiasatan Alex tersebut.
Premis penceritaan pada awalnya adalah ringkas, walaupun daripada awal lagi menyertakan elemen misteri tetapi ia mudah untuk diikuti. Namun, ia tidak terus kekal sebegitu. Apabila pemain bermain dengan lebih jauh, penceritaan mula menjadi lebih rumit dan melibatkan pelbagai elemen misteri.
Bahkan ia mempunyai asas yang membolehkannya menjadi satu penceritaan misteri sains fiksyen yang baik. Namun ia mempunyai masalah, penulis ingin menyertakan terlalu banyak elemen misteri yang menyebabkan penceritaan secara keseluruhan terlalu serabut dan sukar untuk diikuti. Pengakhiran permainan ini juga tidak menjadikan masa yang saya habiskan untuk bermain berbaloi. Namun, saya boleh katakan penceritaan yang disertakan akan sudah semestinya menjadi topik perbualan dengan pelbagai teori akan dikeluarkan.
Watak-watak utama yang disertakan iaitu selain Alex terdapat watak seperti Michael, Rory, Vella, Claudio dan Chondra. Mereka mempunyai sebab tersendiri mengikut penyiasatan Alex, ada yang masuk akal ada yang diberikan sebab yang lebih ringkas.
Perwatakan setiap watak adalah menarik, tetapi beberapa watak mempunyai masalah perkembangan watak yang dilakukan dengan terlalu cepat menyebabkan saya tidak dapat menjiwai watak tersebut, apabila watak-watak tersebut menyatakan sesuatu yang mendalam, sukar untuk saya menerimanya.
Manakala watak utama Alex, dilakukan dengan agak aneh jika ingin dibandingkan dengan watak-watak utama permainan video yang lain. Alex adalah bukan watak yang pemain akan sukai pada awal permainan, bahkan sepanjang permainan saya tidak sangat menyukai watak beliau.
Ini menjadi sedikit masalah kerana sepanjang permainan, pemain akan bermain sebagai beliau. Namun, boleh dikatakan ia adalah watak yang lebih realistik berbanding watak-watak permainan video lain.
Saya boleh katakan penceritaan dan perwatakan di dalam permainan ini mempunyai masalah yang sama, terlalu banyak perkara yang ingin disertakan membuatkan ia rumit dan kurang menarik.
Bentuk Permainan
Seperti judul permainan ini, ia merupakan satu permainan RPG dan mengambil inspirasi daripada permainan klasik JRPG. Ia menyertakan elemen biasa untuk RPG seperti pengembaraan, pertempuran dan peningkatan tahap.
Pengembaraan melibatkan pemain bergerak dari bandar ke bandar yang lain atas sebab penceritaan. Ia juga menyertakan pengembaraan di peta dunia, namun melainkan anda ingin meningkatkan tahap dan menuju ke tempat tersembunyi ia jarang digunakan.
Selain itu terdapat juga pengembaraan di kawasan lain, ia mungkin di dalam gua, pergunungan dan juga tempat mistik. Satu perkara yang sangat menarik mengenai pengembaraan di dalam permainan ini adalah kawasan-kawasan tersebut adalah seperti satu tekaria yang besar.
Pemain perlu melakukan pelbagai perkara seperti mencari barangan tertentu, ataupun membuka sesuatu tempat yang sebelum ini tidak dapat diakses. Ia juga memerlukan pemain untuk beberapa kali kembali ke tempat yang sama. Menyelesaikan sesuatu tempat merupakan satu pengalaman yang sangat mengasyikkan, saya boleh katakan ia adalah bahagian terbaik di dalam permainan ini.
Kawasan tersebut mungkin mengambil setengah jam sehinggalah lebih pada 1 jam untuk diselesaikan terutama jika bermain tanpa sebarang rujukan. Pengembaraan juga akan menggunakan pelbagai barangan yang akan diperoleh oleh Alex. Ia adalah seperti gitar untuk menghancurkan batu, kucing untuk membuka sesuatu di tempat yang jauh dan juga rambut untuk memotong rumput.Seterusnya adalah pertempuran, permainan ini menggunakan bentuk pertempuran seperti JRPG iaitu pertempuran mengikut urutan tetapi mempunyai keunikan tersendiri. Setiap serangan akan memerlukan pemain untuk menekan butang mengikut masa yang tepat untuk meningkatkan lagi kekuatan serangan. Begitu juga apabila diserang.
Kecekapan anda melakukan setiap pergerakan tersebut akan membuatkan anda menyerang dengan lebih kuat serta mengelak daripada terkena serangan. Setiap pergerakan tersebut berbeza mengikut watak dan juga jenis serangan. Ia agak menarik pada awal permainan, walaupun saya sangat bermasalah untuk melakukannya dengan baik. Namun, selepas lama bermain, saya merasakan segala pergerakan tersebut sangat menyusahkan yang membuatkan saya membenci pertempuran di dalam permainan ini.
Permainan RPG termasuk juga JRPG sentiasa menjadi pertempuran sebagai asas permainan. Begitu juga YIIK, namun, disebabkan ia sangat menyusahkan membuatkan ia menjejaskan pengalaman saya bermain permainan ini. Pengembaraan yang sangat menyeronokkan menjadi bosan apabila ia juga melibatkan pertempuran. Walaupun disertakan pilihan untuk dapat memperlahankan pergerakan tetapi ia lebih melambatkan permainan. Pertempuran juga mengambil masa terlalu lama membuatkan ia tidak menyeronokkan.
Anda mungkin menyukai bentuk pertempuran yang disertakan di dalam permainan ini, tetapi bagi saya ia bukanlah satu bentuk yang baik. Bahkan, saya boleh katakan permainan ini berganda lebih baik jika hanya memfokuskan kepada pengembaraan dan membuang pertempuran sepenuhnya.
Setelah berjaya di dalam pertempuran, pemain akan mendapat markah pengalaman yang setelah cukup 100 boleh digunakan untuk meningkatkan tahap pemain. Pemain perlu memasuki mind dungeon untuk meningkatkan tahap, tempat tersebut boleh diakses melalui telefon yang terdapat di pelbagai tempat yang juga boleh digunakan untuk menyimpan permainan anda.
Mind dungeon seperti pertempuran juga agak menarik pada awal permainan, tetapi setelah melakukannya banyak kali, ia mula terasa bosan dan saya berpendapat ia boleh dilakukan dengan lebih ringkas. Selain meningkatkan tahap, anda juga boleh membeli pelbagai senjata serta pakaian untuk setiap watak bagi membantu anda untuk menumpaskan penjahat. Pada awal permainan, duit agak sukar untuk diperoleh akan tetapi pertengahan permainan saya boleh katakan anda mempunyai duit yang banyak, jadi jangan kedekut untuk berbelanja.
Grafik
Grafik seperti pertempuran juga mungkin tidak akan digemari oleh kesemua pemain, namun, bagi saya ia mempunyai rekaan yang menarik walaupun ringkas. Penggunaan warna yang pelbagai terang menjadikan permainan ini lebih hidup walaupun rekaan persekitaran adalah biasa.
Di kawasan-kawasan yang mistik, rekaan tempat tersebut juga dilakukan dengan baik menjadikan kawasan tersebut lebih misteri. Seperti saya tulis di bahagian bentuk permainan, kebanyakan tempat yang disertakan di dalam permainan ini merupakan satu tekaria yang besar. Rekaan bahagian-bahagian tersebut menjadikan tekaria tersebut satu pengalaman yang baik.
Rekaan watak-watak utama adalah menarik bersesuaian dengan perwatakan watak tersebut, namun rekaan watak sampingan yang menjadi pengisi bandar-banda adalah berulang, boleh dikatakan ia menggunakan satu watak yang sama di bandar-bandar berbeza. Ia menjejas sedikit pengalaman semasa bermain.
Saya bermain permainan ini di Switch, secara mudah alih ia tidak mempunyai sebarang masalah kelancaran, namun, ada sedikit masalah kelancaran apabila bermain di TV tetapi ia tidak terlalu jelas dan tidak mengganggu permainan saya.
Audio
YIIK menyertakan muzik latar serta kesan bunyi yang baik. Muzik latar yang digunakan agak bersesuaian dengan tahun permainan ini berlaku iaitu pada tahun 1999, selain itu ia juga bersesuaian dengan rekaan grafik yang disertakan. Muzik semasa pertempuran juga menarik dan pelbagai. Namun, muzik semasa mengembara boleh menjadi terlalu berulang dan perlahan yang agak membosankan dan boleh membuatkan anda mengantuk.
Manakala lakonan suara pula dilakukan dengan baik, walaupun terasa seperti melampau, ia kemungkinan sengaja dilakukan untuk memberi kelainan kepada permainan anda. Tambahan penulisan permainan ini juga mempunyai kelainan tersendiri, ia bagaikan penulisan di bahagian komen Reddit. Ia mungkin disukai oleh pemain, ada kemungkinan juga ia akan mencetus masalah serta tidak disukai oleh sesetengah pemain. Bagi saya ia satu penulisan yang baik tetapi tidak terlalu menarik.
Rumusan
YIIK adalah satu permainan RPG yang mempunyai penceritaan yang menarik tetapi rumit yang ingin menyertakan terlalu banyak penceritaan yang membuatkan ia tidak lagi menyeronokkan untuk diikuti. Walaupun mempunyai pengembaraan yang sangat baik akan tetapi sistem pertempuran yang sangat menyusahkan.
Rekaan grafik serta audio mempunyai keunikan sendiri dan tidak akan disukai oleh kesemua pemain. Bagi saya ia dilakukan dengan cukup baik bersesuaian dengan idea yang cuba disampaikan melalui permainan ini.
Akhir kata, ia adalah satu permainan yang berpotensi tetapi disertakan pelbagai penceritaan serta bentuk permainan yang menjadikan ia terlalu rumit dan membosankan.
Penafian: Kod ulasan untuk YIIK: A Postmodern RPG disediakan oleh Ysbryd Games.