Permainan bergenre pertempuran royale sememangnya semakin terkenal pada masa kini di pelbagai platform dari bentuk mudah-alih sehinggalah ke konsol. Terkini, Illogical Games iaitu pembangun permainan daripada Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan satu lagi permainan pertempuran royale namun dengan sedikit perubahan yang menarik.

MekaRoyale Online merupakan permainan mudah-alih (Permua) yang dibangunkan oleh seorang pembangun, Amarul Natenan dari Illogical Games dimana permua ini akan dilancarkan pada 22 Januari 2019 ini di iOS dan Android.

Seperti permainan pertempuran royale yang lain, MekaRoyale Online akan meletakkan pemain di satu kawasan yang terbuka dimana 12 pemain akan bertempur sesama pemain lain dan menjadi pemain terakhir di pentas permainan tersebut untuk digelar juara. Walaupun begitu, selain mod pertempuran royale, permua ini juga mempunyai mod misi yang pemain boleh mainkan secara solo.

Bagi bentuk pertempuran royale, apa yang membezakan permua ini adalah ianya tidak mempunyai bentuk luar kawasan mengecil seperti permainan pertempuran royale lain. Bentuk tersebut ditukar dengan keupayaan pemain untuk melarikan dari kawasan permainan dengan berada di lokasi yang ditetapkan. Semestinya, pemain lain berupaya untuk menghentikan tindakan tersebut dengan menewaskan pemain tersebut sebelum beliau berjaya melarikan diri.

Selain itu, berbanding bentuk pandang pertama atau ketiga, permua ini memfokuskan bentuk penembak atas bawah dimana pemain akan bermula dengan watak ‘Pilot’ dengan pelbagai senjata dan kemahiran yang pemain boleh dapatkan. Tambahan itu, permua ini juga mempunyai elemen robot yang boleh dipandu.

Terdapat dua robot yang boleh dipandu oleh pemain, Exosuit dan Meka. Exosuit merupakan robot kecil khas yang pemain boleh dapatkan melalui peta kawasan permua ini. Manakala Meka pula perlu dibeli oleh pemain.

Namun untuk membeli robot ‘Meka’ tersebut, ianya bukanlah satu tugas yang ringkas. Pemain perlu memenangi sesi pertempuran royale ataupun mengumpul kredit untuk membelinya. Tambah itu, robot ‘Meka’ tersebut juga boleh diubah-suai dengan pelbagai pengubah-suai kelengkapan dan juga senjata. Walaupun begitu, robot ‘Meka’ juga berisiko untuk hilang ataupun rosak jika pemain kalah di dalam sesi pertempuran royale yang terdapat di dalam permua ini. Sekaligus memberi cabaran dan bentuk seakan ‘roguelike‘ buat pemain.

Sudah semestinya permua ini akan dilancarkan secara percuma dan ianya mengandungi beberapa kandungan mikro-transaksi. Namun, menurut Illogical Games, mikro-transaski permua ini hanyalah terhad kepada kostum kosmetik sahaja dan ianya tidak akan memberi kesan terhadap keseimbangan permua ini.

MekaRoyale Online akan dilancarkan secara rasminya pada 22 Januari 2019 dan bagi anda yang berminat, anda boleh pra muat-turun buat peranti iOS. Manakala bagi peranti Android, beta terbuka sudah pun bermula dan anda boleh muat-turunnya sekarang dibawah.

Muat-Turun Android: MekaRoyale Online

Muat-Turun iOS: MekaRoyale Online


Sohor Kini