Permainan video mempunyai pelbagai perkara yang positif termasuk juga yang negatif. Negatif biasanya berkait dengan pelbagai isu, contoh terbaik yang saya boleh berikan adalah sistem kotak tikam. Walaupun bagaimana ia digunakan, sistem kotak tikam itu sendiri adalah sendiri sesuatu yang tidak baik.
Selain itu terdapat juga masalah permainan yang dibeli tidak sebaik seperti yang diiklankan ataupun yang dijanjikan. Ini membuatkan pemain yang membeli terutama yang pra-tempah permainan tersebut tidak berpuas hati. Walaupun permainan tersebut kemudiannya dikemaskini yang menjadikan ia lebih baik akan tetapi ia bukan satu praktis yang perlu digalakkan.
Namun, untuk penulisan ini saya tidak ingin memfokuskan kepada perkara yang negatif, terutama di kala tahun baharu ini. Sebaliknya, di penulisan ini saya ingin senaraikan 5 perkara ataupun praktis di dalam permainan video yang perlu diperbanyakkan lagi di tahun ini.

Beli Satu, Dua Pemain
A Way Out adalah permainan video yang dibangunkan oleh Hazelight Studio dan diterbitkan oleh EA pada tahun lepas. Permainan tersebut mempekenalkan sesuatu yang sangat menarik iaitu dengan seorang pemain membeli permainan tersebut, ia juga boleh dimainkan bersama dengan rakan walaupun mereka tidak membelinya.
Dapat bermain bersama rakan bukanlah satu konsep yang baharu akan tetapi melalui A Way Out, anda dapat bermain dengan rakan secara dalam talian, dan rakan anda hanya perlu memuat turun demo permainan tersebut secara percuma.
Saya menjangkakan apabila A Way Out dikeluarkan, akan lebih banyak permainan yang akan mengeluarkan konsep yang sama, tetapi jangkaan tersebut tidak tepat kerana tiada permainan lain yang dikeluarkan menyertakan perkara tersebut. Tahun 2019 ini, saya berharap akan ada studio pembangun, tidak kira mercu ataupun indie, yang mengeluarkan permainan seperti A Way Out.

Pas Bulanan Menggantikan Kotak Tikam
Seperti yang saya perkatakan pada awal artikel ini, kotak tikam adalah satu konsep yang sangat negatif dan tidak harus digalakkan. Tidak kira walaupun ia hanya menyertakan barangan kosmetik yang tidak memberi kesan kepada bentuk permainan.
Saya juga memahami keperluan untuk menyertakan sesuatu yang boleh membawa pulangan kepada pembangun dan penerbit. Sepenuhnya membuang perkara sebegini mungkin terlalu sukar buat masa ini, namun saya berharap lebih banyak pembangun menggunakan sistem pas bulanan berbanding sistem kotak tikam.
Contoh terbaik adalah Fortnite, walaupun merupakan permainan mendapat pendapatan tertinggi untuk setahun tertinggi dalam sejarah permainan video, ia tidak menyertakan sebarang kotak tikam. Sebaliknya segala kostum dan emote dijual secara terus ataupun melalui Battle Pass.
Sistem tersebut lebih baik berbanding dengan kotak tikam kerana pemain akan mengetahui apa yang diperoleh dengan bermain dan tidak perlu berharap kepada nasib seperti kotak tikam. Bagi tahun ini, saya berharap lebih banyak permainan menggunakan sistem pas bulanan dan sepenuhnya meninggalkan sistem kotak tikam.

Pengolahan Semula IP Lama
God of War merupakan permainan terbaik tahun lepas, dan ia merupakan satu IP yang sudah dikenali ramai. Namun, sebab utama ia menjadi permainan terbaik bukanlah kerana namanya, tetapi ia adalah satu permainan yang sangat berbeza dengan permainan sebelum ini buat siri tersebut.
Pengolahan semula ini bukan sahaja dapat memberikan sesuatu yang baharu kepada pemain yang sudah mengikut siri tersebut tetapi juga mendapat pengikut baharu. Namun, ia haruslah menerima olahan yang lebih baik berbanding permainan sebelum ini. Pengolahan semula IP lama dengan menyertakan bentuk permainan yang bosan tidak seharusnya berlaku (memandang Bethesda).
Saya berharap tahun ini akan ada lebih banyak IP lama yang menerima permainan baharu. Satu IP yang saya sangat berharap akan diolah semula adalah Remember Me oleh DONTNOD Entertainment dan Capcom. Ia merupakan satu permainan yang mungkin tidak diketahui ramai tetapi mempunyai penceritaan dan bentuk permainan yang unik.
Berikut adalah antara konsep yang saya rasa adalah sesuatu yang positif di dalam permainan video dan mengharapkan ia hadir dengan lebih banyak pada tahun ini. Bagaimana dengan anda? Ada konsep-konsep permainan video yang baik yang perlu diperbanyakkan pada tahun ini?