hOmensight merupakan permainan terbaru oleh Spearhead Games yang sebelum ini mengeluarkan permainan Stories: The Path of Destinies. Bahkan, kedua-dua permainan tersebut berlaku di dalam satu dunia yang sama.
Permainan ini dikeluarkan untuk Playstation 4 dan PC pada 15 Mei 2018, namun untuk ulasan ini saya bermain menggunakan versi Switch yang baharu sahaja dikeluarkan pada 13 Disember 2018. Stories: The Path of Destinies mempunyai keunikan penceritaan yang bercabang, adakah Omensight membawa keunikan yang sama?

Cerita
Satu perkara yang membuatkan saya sangat menyukai Stories: The Path of Destinies adalah jalan cerita serta cara ia disampaikan. Melalui Omensight, Spearhead Games sekali lagi berjaya menarik minat saya melalui penceritaan yang disediakan.
Permainan ini berlaku di Urralia iaitu sebuah negara yang kaya dan merupakan tempat tinggal untuk pelbagai kaum. Di negara tersebut, kaum Burung yang menjadi pemerintah di bawah kerajaan Pygaria. Namun Pygraia bukanlah satu kerajaan yang baik sebaliknya mereka menindas kaum-kaum lain. Pygaria diketuai oleh Raja Indrik dan dibantu oleh ketua tentera beliau iaitu Draga.
Untuk menyelamatkan diri mereka, kaum tikus dan beruang bergabung untuk melawan Pygaria, pemberontakan tersebut diketuai oleh seekor tikus bernama Ratika di bawah kerajaan Rodentia. Ratika dibantu oleh seekor beruang bernama Ludomir.

Di dalam kecelaruan tersebut, seorang paderi perempuan yang dikatakan sebagai penjaga rakyat Urralia iaitu Vera didapati terbunuh. Dikatakan akibat pembunuhan tersebut, Voden iaitu ular besar mengeluarkan diri selepas 300 tahun dan menghancurkan Urralia.
Di dalam permainan ini, pemain akan memegang watak Harbinger iaitu pahlawan mistik yang diturunkan untuk mengelakkan daripada Urralia dihancurkan. Untuk melakukannya, pemain mesti menyiasat pembunuhan Vera.
Penceritaan yang disertakan agak ringkas dan sesuatu yang kita sering lihat di dalam penceritaan fantasi. Namun cara ia disampaikan serta premis penceritaan membuatkan ia menarik. Harbinger dengan bantuan Tree of Life mempunyai kebolehan untuk kembali ke masa lepas dan berinteraksi dengan watak-watak lain, beliau juga mempunyai kuasa Omensight yang akan berkongsi sesuatu fakta yang boleh mengubah tindakan sesuatu watak. Kesemua ini saya akan terangkan lebih lanjut di bahagian bentuk permainan.

Bentuk Permainan
Omensight pada asasnya merupakan permainan hack and slash, Harbinger akan mempunyai pedang yang akan digunakan sebagai senjata utama seperti kebiasaan untuk permainan jenis ini, ia mempunyai serangan pantas dan serangan berat. Kombinasi dua serangan tersebut akan menghasilkan kombo yang akan memberikan serangan yang lebih kuat.
Selain itu, satu lagi gerakan yang penting adalah mengelak, semasa bertempur tanda seru akan keluar di atas kepala penjahat yang akan menyerang, pemain boleh mengelak daripada terkena serangan tersebut. Jika masa mengelak adalah tepat, ia juga akan membuatkan serangan seterusnya adalah lebih kuat.
Untuk menjadikan pertempuran lebih menarik, disertakan juga pelbagai kebolehan dan kuasa. Terdapat tiga kebolehan iaitu Phantom Dash yang membolehkan pemain bergerak laju, Delay of Fate untuk memperlahankan masa dan Phatom Grasp untuk pemain menarik dan melempar penjahat. Kebolehan tersebut boleh digunakan pada bila-bila masa dan selepas digunakan perlu menunggu sedikit masa untuk ia dapat digunakan kembali. Pemain boleh mendapatkan kebolehan ini dengan meningkatkan tahap melalui perkumpulan XP. Pemain juga boleh meningkatkan tahap setiap kebolehan ini menggunakan Amber yang diperoleh semasa bertempur dan menghancurkan barangan sekitar.

Terdapat juga 2 kuasa iaitu Phantom Blast untuk membolehkan pemain menembak serta Lethal Slash atau Flurry untuk membolehkan pemain terus membunuh bebera penjahat serentak. 2 kuasa ini akan menggunakan tenaga yang akan dikumpul dengan menyerang. Tenaga tersebut akan berkurangan apabila mengembara, dan perlu dikumpul semula semasa bertempur.
Selain itu bergantung kepada watak yang ada bersama dengan anda, watak tersebut mempunyai kuasa tersendiri yang boleh digunakan. Watak tersebut akan bertempur secara sendiri, tetapi pemain boleh meminta untuk watak tersebut melakukan pergerakan utama mereka.
Gabungan kesemua cara bertempur tersebut bersama dengan penjahat yang ramai serta mempunyai kekuatan tersendiri membuatkan pertempuran adalah satu pengalaman yang baik. Pada tahap kesukaran sederhana, ia tidak terlalu sukar yang membuatkan pemain mati berulang-ulang kali tetapi tidak terlalu mudah yang membolehkan pemain bertempur tanpa strategi.
Selain pertempuran, sesuatu perkara yang unik adalah bagaimana penceritaan disertakan sebagai sebahagian bentuk permainan. Seperti yang saya perkatakan di atas, Harbinger dengan bantuan Tree of Life mempunyai kebolehan untuk kembali ke masa lepas. Namun, beliau hanya boleh kembali jika mempunyai perhubungan dengan roh sesuatu watak. Di dalam permainan ini. Di dalam permainan ini, Harbinger dapat kembali ke awal pagi sebelum Urralia dihancurkan oleh Voden melalui 4 watak iaitu Raja Indrik, Draga, Ratika dan Ludomir.

Dengan kembali ke awal pagi untuk setiap watak tersebut, Harbinger dapat menyiasat mengenai apa yang berlaku, bagaimana Vera terbunuh serta kemunculan Voden. Harbinger di dalam permainan ini tidak mampu bersuara, jadi kebanyakan masa, beliau hanya mengikut watak-watak lain. Namun, beliau mempunyai satu kuasa iaitu Omensight. Semasa mengembara, Harbinger akan mengetahui sesuatu kejadian yang telah berlaku dan beliau boleh memberikan informasi tersebut kepada 4 watak sebelum ini yang akan mengubah tindakan 4 watak tersebut untuk membantu siasatan beliau.
Informasi yang sama akan mendapat reaksi berbeza daripada setiap watak, walaupun amnya, pemain kembali ke tempat yang sama dan perlu bertempur di tempat yang sama akan tetapi dengan perubahan sedikit mengenai watak tersebut menjadikan pengulangan tersebut sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan.
Selain itu, di satu kawasan yang sama akan mempunyai bahagian yang dikunci dengan jenis kunci berlainan. Untuk membukanya Harbinger perlu belajar cara untuk membuka dengan watak-watak lain. Gabungan antara pertempuran yang menyeronokkan serta cara pengembaraan yang unik menjadikan Omensight satu permainan yang mempunyai pengalaman bermain yang sangat mengasyikkan.

Grafik
Cerita dan bentuk permainan yang disertakan di dalam permainan ini merupakan perkara yang boleh dipuji. Namun berbeza apabila bercakap mengenai grafik sekurang-kurangnya untuk versi Switch. Sebelum itu, saya ingin bercakap mengenai perkara yang positif terlebih dahulu.
Omensight mempunyai rekaan dunia, watak serta arahan seni yang sangat menarik. Dunia dibina dengan sangat indah, walaupun terhad untuk beberapa tempat sahaja, namun perubahan masa serta keadaan membuatkan setiap tempat tersebut mempunyai keunikan dari segi rekaan. Watak pula direka dengan ringkas tetapi menarik terutama dari segi rekaan kostum, bukan sahaja untuk watak-watak utama tetapi untuk watak-watak sampingan.
Kesemua ini nampak lebih menarik kerana arahan seni untuk permainan ini. Ia menggunakan seni seperti satu lukisan, dan menggunakan pelbagai warna yang terang membuatkan persekitaran serta keseluruhan permainan ini sangat cantik untuk dipandang.
Malangnya, prestasi permainan terutama untuk versi Switch sangat mengecewakan. Saya boleh katakan kelancaran permainan ini adalah sangat teruk sehingga membuatkan saya tidak dapat bermain untuk satu jangka masa yang panjang. Selepas sejam dua bermain, saya akan mula merasa pening dan terpaksa berhenti. Kelancaran sentiasa naik dan turun.

Skrin pemuatan juga mengambil masa terlalu lama, bahkan ia juga tidak mempunyai kelancaran yang baik. Seperti yang saya ceritakan di bahagian cerita dan bentuk permainan, permainan ini menggunakan konsep kembali ke masa lepas. Skrin pemuatan cuba memperlihatkan animasi tersebut, namun ia dilakukan dengan sangat tidak baik membuatkan segalanya tersangkut-sangkut.
Semasa pertempuran, kelancaran boleh dikatakan stabil tetapi bukan di tahap yang terbaik. Sekurang-kurangnya ia tidak sangat mengganggu. Seperti kita sedia maklum, keunikan Switch adalah permainan boleh dimainkan di TV ataupun secara mudah alih. Bagi Omensight saya boleh katakan anda mempunyai satu pilihan sahaja iaitu bermain di TV. Permainan secara mudah alih, selaing mempunyai masalah kelancaran, grafik yang digunakan juga sangat kabur. Ia bukanlah satu kekaburan gerakan akan tetapi keseluruhan grafik termasuk watak utama sendiri sangat kabur.
Bagi bahagian ini saya sangat kecewa, terutama kerana ia sepatutnya mempunyai satu rekaan grafik yang cantik. Namun, prestasi permainan sangat merendahkan kualiti keseluruhan permainan ini. Saya masih tidak mencubanya, akan tetapi ada kemungkinan besar prestasi di Playstation 4 dan PC adalah jauh lebih baik. Ia juga bukan masalah Switch kerana berdasarkan grafik yang digunakan, ia sepatutnya boleh dimainkan dengan kelancaran yang lebih tinggi.
Audio
Seperti cerita dan bentuk permainan, audio juga merupakan sesuatu yang positif untuk permainan ini. Bahkan, saya boleh katakan ia merupakan satu bahagian yang terbaik. Muzik latar yang disediakan di dalam permainan ini memberikan satu perasaan yang sangat bersesuaian dengan penceritaan yang sedang disampaikan.
Tambahan lagi, permainan ini juga menyertakan lakonan suara yang baik. Setiap watak terutama watak utama mempunyai suara yang unik yang bersesuaian dengan perwatakan watak tersebut. Oleh disebabkan, watak pemain adalah bisu, kebanyakan penceritaan di sampaikan melalui dialog setiap watak tersebut dan ia dilakukan dengan sangat berkualiti.
Kesan bunyi yang disertakan di dalam permainan ini juga dilakukan dengan baik dan memberi satu kesan pertempuran dan kemusnahan yang tepat
Rumusan
Akhir kata, Omensight adalah satu permainan yang menyertakan penceritaan yang sangat menarik. Walaupun ia satu penceritaan fantasi yang ringkas akan tetapi ia disampaikan dengan cukup baik menjadikan ia lebih unik. Cara penyampaian yang diselit di dalam bentuk permainan menjadikan pengalaman bermain satu yang mengasyikkan, terutama sistem pertempuran yang menyeronokkan. Kualiti muzik latar, kesan bunyi dan lakonan suara yang berkualiti lebih lagi menjadikan permainan ini satu permainan yang baik.
Namun, ia sangat terjejas kerana prestasi permainan yang sangat teruk. Grafik yang cantik, dicemari dengan kelancaran yang tidak stabil, serta masalah kabur apabila dimainkan secara mudah alih. Omensight adalah satu permainan yang saya sangat syorkan tetapi untuk versi Playstation 4 ataupun PC dan cuba elakkan versi Switch sehinggalah prestasi permainan tersebut dipertingkatkan

Penafian: Kod ulasan untuk Omensight disediakan oleh Spearhead Games