Josef Fares merupakan pengarah dan penulis untuk permainan Brothers: A Tale of Two Sons yang dikeluarkan pada tahun 2013. Permainan ini dipuji ramai kerana menggunakan teknik permainan secara unik untuk menggerakkan penceritaan. Kini beliau sekali lagi mengarah dan menulis permainan baru iaitu A Way Out.

Dibangunkan oleh Hazelight Studios di bawah program EA Originals untuk Playstation 4, Xbox One dan PC adakah A Way Out memberikan impak yang sama seperti Brothers: A Tale of Two Sons?

Cerita

Menjadikan 70an sebagai latar masa, A Way Out menceritakan mengenai Vincent Moretti yang baru dipenjarakan atas tuduhan membunuh. Di dalam penjara, dia berjiran dengan Leo Caruso yang sudah hampir 6 bulan dipenjarakan. Leo merancang untuk melarikan diri dari penjara untuk membalas dendam terhadap Harvey iaitu antagonis utama yang menjadi punca kenapa dia di penjarakan. Pada awalnya Leo ingin melakukannya berseorangan akan tetapi apabila didesak oleh Vincent yang mengatakan yang dia juga ingin mencari Harvey, Leo bersetuju untuk bekerjasama.

Pada masa yang sama penceritaan mengenai hubungan Leo dengan isteri dan anaknya manakala hubungan antara Vincent dan isterinya yang sedang mengandung turut diselitkan bersama dengan permasalahan antara Leo, Vincent dan Harvey. Penceritaan dilakukan dengan baik akan tetapi tidak mempunyai keunikan tersendiri jika pemain ada menonton filem-filem jenayah ataupun mengenai penjara terutama yang berlatarkan masa 70an sudah semestinya permainan ini membawa penceritaan yang sama. Dengan kata lain penceritaan sudah cukup baik untuk menemani permainan tetapi tidak menambah apa-apa selain pada itu.

Grafik

Grafik untuk permainan ini agak sederhana dan kami merasakan permainan ini boleh dipertingkatkan dari segi grafik terutama kualiti tekstur kerana ia adalah permainan aksi dan bukan dunia terbuka. Kami juga menyedari ada pelbagai masalah dari segi grafik seperti binaan dan tekstur lambat untuk dimuatkan menjadikan pengalaman kami agak terjejas. Kemungkinan masalah ini berkurangan apabila dimainkan di Playstation 4 ataupun PC spesifikasi tinggi.

Kekurangan pada grafik serba sedikit di bantu oleh pergerakan kamera ataupun sinematografi yang sangat menarik dan lebih menyerlahkan keadaan cemas sesuatu babak. Oleh kerana permainan ini memfokuskan kepada dua watak iaitu Vincent dan Leo, pertukaran kamera dari pandangan mereka turut dilakukan dengan baik membuatkan kami teruja terutama semasa adegan yang pantas. Kebanyakan adegan berlaku secara split-screen iaitu untuk Vincent dan Leo, menariknya ada ketika Vincent ataupun Leo sedang di dalam cut-scene dah anda tidak boleh mengawalnya tetapi rakan anda boleh mengawal wataknya secara bebas dan dapat melihat kejadian di dalam cut-scene tersebut.

Rekaan persekitaran adalah sangat cantik, walaupun ini bukanlah permainan dunia terbuka dan pemain terhad kepada sesuatu tempat sahaja tetapi setiap rekaan dilakukan dengan kemas dan baik menjadikan keadaan dunia permainan ini lebih hidup.

Audio

Untuk Vincent dan Leo yang merupakan watak utama lakonan suara mereka dilakukan dengan baik dan termasuk juga kualiti skrip untuk kedua watak ini tetapi sesuatu yang sama tidak boleh dikatakan untuk watak-watak lain. Watak sampingan untuk permainan ini dilakukan jelas kurang dari segi kualiti. Lakonan suara yang mendatar termasuk juga dengan skrip yang ditulis. Jika mereka mengekalkan penulisan sepertimana watak Vincent dan Leo untuk watak-watak lain sudah semestinya penceritaan akan menjadi lebih baik kerana watak sampingan juga menggerakkan penceritaan.

Permasalahan audio yang tidak konsisten juga mencacatkan pengalaman kami. Ada masa kekuatan bunyi adalah di tahap yang baik tetapi ada juga masa bunyi bagaikan hilang. Sebagai contoh semasa kenderaan terhempas bunyi yang mengiringi adegan tersebut tiba-tiba menjadi perlahan dan impak kereta terhempas itu hilang sekali yang sangat mencacatkan pengalaman kami. Bagaikan menonton filem di wayang yang mempunyai kerosakan pembesar suara. Kami mengharapkan permasalahan ini diperbaiki melalui kemas-kini.

Muzik latar yang digunakan cukup baik akan tetapi kerana lebih mengutamakan dialog, muzik tidak beberapa jelas dan kurang memberi impak kepada penceritaan sesuatu babak tetapi cukup untuk memberikan emosi terutama semasa cut-scene.

Teknik Permainan

A Way Out wajib dimainkan secara berdua tidak kira di dalam atau luar talian. Untuk memudahkan pemain, melalui satu pembelian permainan ini anda boleh mengajak rakan anda untuk bermain bersama tanpa memerlukan rakan anda untuk membeli permainan ini walaupun secara di atas talian. Anda akan mengawal salah seorang antara Vincent dan Leo.

Setiap babak anda perlu bekerjasama untuk menyelesaikan misi yang diberikan seperti mencari sesuatu benda atau mencari seseorang dalam bentuk tekaria ataupun pertempuran. Menariknya permasalahan ini boleh diselesaikan dengan cara yang berbeza menjadikan permainan bersama dengan rakan anda menarik kerana akan sering berlaku rakan anda mempunyai cara berbeza dengan apa yang anda fikirkan dan kedua-dua cara tersebut ada di dalam permainan. Tekaria yang digunakan agak mudah akan tetapi sudah cukup untuk menjadi menarik kerana anda mesti melakukannya secara berdua jika permainan berseorangan menggunakan tekaria yang sama sudah semestinya ia menjadi bosan.

Turut disertakan adalah teknik permainan yang bergantung kepada ketepatan masa dan kebanyakannya memerlukan anda bekerjasama dengan rakan anda. Ia mudah jika anda dapat berhubung dengan rakan anda, tetapi kami cadangkan untuk anda mencubanya tanpa berkomunikasi dengan rakan anda, pada pengalaman kami dengan cara tersebut menjadikan permainan ini sedikit lebih menarik tetapi komunikasi tetapi menjadi kunci untuk menyelesaikan permasalahan di dalam permainan ini.

Pertempuran terutama menggunakan tangan adalah bergantung kepada quick time event (QTE) ianya agak membosankan akan tetapi oleh kerana anda melakukannya bersama rakan ia menjadi lebih menarik terutama pergerakan kamera yang bijak membuatkan pemain dalam keadaan cemas oleh kerana anda juga dapat melihat QTE yang perlu dilakukan oleh rakan anda, ada masa anda juga dengan tidak malunya turut menekan butang yang sama walaupun ia tidak memberi apa-apa kesan.

Setiap tempat pemain akan diberikan misi ataupun permasalahan utama yang harus diselesaikan tetapi pada masa sama ada pelbagai penceritaan dan misi sampingan yang pemain mungkin terlepas jika tidak menjelajah kesemua tempat. Selain itu ada juga permainan sampingan yang anda boleh bermain untuk bersaing dengan rakan anda seperti membaling ladam kuda, bermain permainan berdasarkan irama, gusti lengan dan pelbagai lagi menjadikan penjelajahan yang sepatutnya mendatar mempunyai pelbagai variasi dan berbaloi untuk menghabiskan lebih banyak masa di sesuatu tempat.

Pada bahagian pengakhiran permainan ini, tekaria dan QTE digantikan dengan pertempuran bersenjata yang agak bosan terutama apabila ingin dibandingkan dengan permainan pertempuran lain, apa yang diberikan oleh permainan ini agak mengecewakan dan kami merasakan tidak perlu untuk disertakan. Walaupun memberikan variasi dari segi teknik permainan tetapi sesuatu yang tidak baik boleh mencacatkan pengalaman pemain. Walaupun tekaria sebelum ini agak mudah tetapi ia tetap menarik untuk dimainkan bersama, manakala pertempuran bersenjata ini bukan sahaja mudah tetapi langsung tidak menarik. Kami merasakan bahagian ini dilakukan dengan agak gopoh sekadar untuk mengisi permainan ini sebelum berakhir.

Kesimpulan

Akhir kata, A Way Out mempunyai penceritaan yang menarik akan tetapi tidak membawa sesuatu yang unik terutama penceritaan yang ditampilkan sudah menjadi kebiasaan untuk permainan video dan juga filem-filem mengenai penjara dan juga jenayah. Cukup baik untuk menjadi sebahagian permainan tetapi tidak lebih pada itu.

Grafik permainan ini adalah agak biasa dan agak mengecewakan kerana permainan ini bukanlah mempunyai dunia yang luas seperti permainan dunia terbuka, masalah dari segi grafik binaan dan tekstur yang lambat untuk dimuatkan serba sedikit mencacatkan pengalaman. Akan tetapi rekaan dunia yang baik dan pergerakan kamera yang menarik serba sedikit membantu untuk mengurangkan kesan permasalahan sebelum ini.

Selain daripada watak Vincent dan Leo yang lakonan suara dan penulisan skrip dilakukan dengan baik watak-watak lain kualiti yang ditampilkan agak kurang dan sangat memberi kesan kepada penceritaan kerana watak sampingan turut memainkan peranan penting untuk penceritaan.

Memerlukan dua pemain untuk dimainkan A Way Out menghasilkan pengalaman yang unik melalui teknik permainan yang melibatkan tekaria dan QTE tetapi pada pengakhiran teknik permainan memfokuskan kepada pertempuran bersenjata yang agak membosankan. Menyediakan pelbagai cara untuk menyelesaikan sesuatu tekaria dan juga pelbagai mainan sampingan menjadikan permainan ini lebih luas dan terbuka.

Permainan ini mempunyai potensi yang tidak sepenuhnya dicapai dan kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada Josef Fares akan tetapi dengan harga yang berpatutan permainan ini berbaloi untuk masa dan juga wang anda.

Sohor Kini