Supercell iaitu pembangun dan penerbit permua seperti Clash of Clans dan Clash Royale mengumumkan liga e-sukan mereka sendiri iaitu Clash Royale League. Liga akan dibahagikan kepada empat benua iaitu Amerika Utara, Eropah, Asia dan China. Setiap benua akan mempunyai dari 6 hingga 12 pasukan dengan 4 hingga 6 pemain.
Asia Tenggara (Taiwan, Hong Kong, Macao, Indonesia, Thailand, Singapore, Vietnam, Philippines, Malaysia) adalah sebahagian daripada benua Asia dan akan diwakili 4 pasukan untuk benua Asia daripada 12 pasukan keseluruhan.
Liga akan menggunakan konsep pusingan Robin dan pasukan terbaik dari setiap benua akan mewakili benua tersebut untuk World Championship yang akan dianjurkan pada akhir tahun ini. Pemain yang akan mewakili setiap pasukan akan diumumkan pada pertengahan April dan liga akan bermula akhir bulan April untuk musim pertama dan bulan Ogos untuk musim kedua.
Pemain yang ingin menyertai pasukan harus menyertai Clash Royale League Challenge yang sedang berlangsung di dalam permua Clash Royale. Melalui challenge ini pemain diberikan 3 peluang untuk memenangi 20 perlawanan dan kalah kurang pada 2 perlawanan. Hanya pemain yang berjaya memenangi 20 perlawanan sahaja akan berpeluang untuk memasuki pertandingan khas dan layak untuk dipilih mewakili mana-mana pasukan.
Pemilihan adalah bergantung kepada pasukan itu sendiri, walaupun anda memenangi 20 perlawanan tidak semestinya anda akan terpilih tetapi dengan mendapat akses ke lebih banyak kejohanan memberikan anda peluang yang lebih tinggi.
Anda sudah mencuba Clash Royale League Challenge? Kami tidak dapat melepasi 10 kemenangan, jadi hajat kami untuk mewakili Malaysia makin tipis.