Jika Playstation, Xbox One dan Switch hanya ada satu sahaja tempat untuk mendapatkan permainan secara digital, berbeza dengan PC. Selain Steam yang masih mendominasi pasaran, turut ada adalah GOG, Humble Store, Green Man Gaming, Gamersgate dan juga kedai oleh penerbit sendiri seperti Origin dan Uplay. Lambakan ini ditambah lagi dengan kehadiran Kartridge yang baru diumumkan oleh Kongregate iaitu penerbit pelbagai permainan percuma.
Menurut Kongregate, melalui Kartridge penerbit permainan mempunyai lebih banyak kawalan untuk cara mereka menjual permainan. Kartridge tidak akan mengenakan sebarangan bayaran untuk memuat naik permainan, dan penerbit boleh memilih jualan biasa, percuma, pembayaran berbentuk derma (seperti Humble Bundle) dan juga permainan yang beriklan.
Kami tidak pasti sama ada kami ingin untuk memasang satu lagi aplikasi untuk bermain permainan di PC, akan tetapi kebaikan mempunyai banyak kedai adalah lebih banyak pilihan dan juga jualan promosi juga akan lebih kerap akan diadakan. Anda boleh melayari laman rasmi mereka untuk mendaftar akses beta dan Kartridge dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga 2018.