Informasi Permainan Video Terkini
Anda Kini Boleh Menggunakan Nintendo Gold Point Untuk Membeli Permainan di eShop

Anda Kini Boleh Menggunakan Nintendo Gold Point Untuk Membeli Permainan di eShop

Diterbitkan pada Mac 6, 2018 oleh .

Seperti diumumkan oleh Nintendo pada bulan lepas pemain boleh menggunakan Nintendo Gold Point untuk membeli permainan secara digital di eShop.

Bermula 5 Mac, sistem ini sekarang sudah boleh digunakan oleh semua pemain. 1 Gold Point adalah bersamaan $0.01, dengan kata lain 100 Gold Point adalah $1 (RM3.90). Permainan AAA di eShop kebiasaanya berharga $59.99 jadi anda memerlukan 6000 Gold Point untuk mendapatkanya secara percuma.

Gold Point ini boleh didapati melalui pembelian permainan untuk konsol Nintendo. Untuk permainan digital melalui eShop anda akan mendapat 5% daripada harga jualan dan terbuka kepada permainan Switch, 3DS dan juga Wii U.

Manakala untuk pembelian permainan fizikal anda hanya akan mendapat 1% daripada harga permainan tersebut di eShop tetapi ini hanya terbuka untuk permainan Switch sahaja. Permainan fizikal ini harus didaftar di dalam tahun yang sama pengeluaran permainan tersebut untuk melayakkan anda mendapat Gold Point. Satu katrij hanya boleh didaftar sekali sahaja, jika anda membeli permainan yang terpakai anda kemungkinan tidak dapat mendaftarkannya kerana sudah didaftar untuk akaun lain.

Jika anda lebih gemar untuk membeli permainan secara digital ini sudah semestinya sesuatu yang baik, daripada setiap pembelian $60 (RM234) anda akan mendapat sekurangnya 300 Gold Points ataupun $3 (RM11). Setakat ini kami hanya ada 222 Gold Points kerana kebanyakan permainan kami adalah secara fizikal. Bagaimana dengan anda?

Untuk maklumat lanjut anda boleh layari lama rasmi Nintendo.


TIPS & ULASAN