The TEKKEN World Tour (TWT) merupakan pertandingan TEKKEN yang melibatkan beberapa acara yang dianjurkan di serata dunia, keputusan acara-acara ini akan menentukan kedudukan di dalam liga TWT. 19 pemain yang mendapat kedudukan tertinggi di dalam liga TWT akan layak untuk pertandingan akhir TWT ataupun dengan memenangi Last Chance Qualifier Tournament.
Pada 28 Februari lepas, Bandai Namco mengumumkan TWT untuk tahun 2018 akan bermula dengan acara Final Round di Georgia, US yang akan berlangsung pada 16 hingga 18 Mac. Manakala acara yang akan berlansung di Malaysia adalah FV x SEA Major pada 14 hingga 15 Julai nanti.
Bandai Namco juga berkongsi perubahan yang dilakukan berbanding TWT 2017. Antara perubahan yang dinyatakan adalah TWT 2017 dibahagikan kepada 3 benua besar, walaupun pemain dibolehkan untuk memasuki pertandingan di benua lain akan tetapi mata hanya diperoleh daripada acara yang berlangsung di tempat asal pemain itu sendiri. Manakala untuk 2018, sistem 3 benua ini dibuang dan pemain boleh mendapat mata dari semu acara yang disertainya.
Berdasarkan penjadualan awal, TWT tahun ini juga akan mempunyai lebih sedikit acara yang berlangsung pada tarikh yang sama. Akan tetapi kerana jadual mungkin berubah, pertembungan mungkin akan masih berlaku.
Pertandingan akhir TWT iaitu The 2018 TEKKEN World Tour Finals akan berlansung pada bulan November di Amsterdam tetapi masih tiada tarikh dikeluarkan buat masa ini. Anda boleh mengikuti perkembangan terbaru TWT melalui laman rasmi mereka ataupun melalui akaun Twitter @TEKKEN. Aksiz juga akan mengemaskini sebarang perkembangan terbaru.
Bersempena pengumuman ini, Bandai Namco turun berkongsi video pengumuman untuk TWT yang boleh ditonton di bawah.