Informasi Permainan Video Terkini
5 Permainan Terbaik Untuk Nintendo Switch

5 Permainan Terbaik Untuk Nintendo Switch

Diterbitkan pada Mac 6, 2018 oleh .

Nintendo Switch menyambut ulang tahun yang pertama pada 3 Mac lepas, selain berjaya mengembalikan kegemilangan konsol rumah untuk Nintendo selepas kegagalan Wii U, Switch juga menerima pelbagai permainan yang menjadikan senarai permainan untuk Switch agak mengagumkan.

Bersempena ulang tahun ini, kami ingin berkongsi 5 permainan yang bagi kami adalah antara yang terbaik dan harus dimiliki oleh semua pemilik Switch. Senarai ini hanya mengandungi permainan yang kami sudah cuba, jadi permainan seperti Super Mario Odyseey tidak tersenarai adalah kerana kami tidak pernah mencubanya bukan kerana tidak layak.

The Legend of Zelda: Breath of The Wild

The Legend of Zelda: Breath of the Wild (BotW) dikeluarkan bersama dengan pengeluaran Switch menjadikan BotW bagaikan poster untuk Switch. Permainan dunia terbuka yang memfokuskan kepada pengembaraan ini boleh dihabiskan dengan cepat akan tetapi kebiasaan pemain akan menghabiskan lebih 100 jam untuk menerokai dunia Hyrule. Penceritaan utama yang mendatar bukanlah fokus kepada permainan ini akan tetapi ia bagaikan kanvas putih yang diberikan kepada pemain bersama dengan cat pelbagai warna untuk pemain sendiri melukis perjalanan mereka. Dengan sistem yang terbuka disertakan di dalam BotW sudah semestinya permainan harus dimiliki oleh semua pemilik Switch.

eShop: The Legend of Zelda: Breath of the Wild

Celeste

Celeste baru dikeluarkan pada 25 Januari lepas dan bagi kami ia merupakan antara permainan terbaik di Switch. Pada pandang pertama kemungkinan ramai yang menganggap Celeste adalah satu lagi permainan platformer, akan tetapi Celeste mempunyai keunikan tersendiri yang menjadikan permainan ini berada di tahap yang berlainan berbanding permainan platformer lain. Rekaan level adalah sangat baik menjadikan permainan ini sukar akan tetapi masih mesra untuk pemain yang tidak biasa dengan platformer. Permainan akan menunjukkan jumlah berapa kali pemain sudah mati, akan tetapi bukan sebagai untuk menjengkelkan pemain sebaliknya memberi semangat kepada pemain untuk terus mencuba sehingga berjaya.

eShop: Celeste

Mario Kart 8 Deluxe

Mario Kart adalah permainan yang boleh membuat pemain ketawa ataupun saling memaki tetapi sesuatu yang sentiasa boleh dikatakan mengenai permainan ini adalah ianya sangat menyeronokkan. Walaupun Mario Kart adalah permainan yang kompetitif, akan tetapi menang bukanlah menjadi sasaran sebaliknya keseronokan perlumbaan itu sendiri lebih diutamakan. Walaupun katakan anda tidak mempunyai kemahiran memandu yang baik dan ketinggalan akan tetapi “blue shell” yang akan berada di tangan anda sudah semestinya satu kepuasan apabila berjaya mengubah kedudukan perlumbaan kerana satu tindakan anda. Selain perlumbaan secara multi-pemain, permainan ini turut mempunyai permainan solo yang cukup baik untuk pemain menghabiskan masa.

eShop: Mario Kart 8 Deluxe

Splatoon 2

Di luaran yang berwarna-warni, rekaan watak yang comel dan teknik permainan yang tampak kasual apabila memasuki dunia kompetitif Splatoon 2 pemain akan mula sedar yang permainan ini menawarkan lebih banyak perkara berbanding apa yang nampak pada luaran. Walaupun begitu, ianya masih mengekalkan keunikan permainan dari Nintendo, keseronokan bermain masih menjadi keutamaan. Setiap kali permainan bermula bukanlah menang menjadi sasaran sebaliknya cuba untuk menjadikan setiap perlawanan lebih seronok. Jika kami menggunakan analogi kanvas putih untuk BotW, Splatoon secara teknikalnya bukan lagi sekadar analogi.

eShop: Splatoon 2

Overcooked Special Edition

Kami tidak pasti untuk menyenaraikan ARMS ataupun Overcooked. Kedua-dua permainan ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan kami semestinya sangat menyukai kedua-dua permainan ini. Akan tetapi kami akhirnya memilih Overcooked kerana berbanding ARMS kami masih lagi bermain Overcooked manakala ARMS tidak mempunyai penarik selepas sudah lama dimainkan. Keunikan Overcooked adalah teknik permainan yang ditawarkan adalah agak mudah, anda mesti memasak semua makanan yang dipesan dan cuba mendapat markah tertinggi untuk masa yang terhad. Oleh kerana permainan ini adalah pantas, menjadikan pemain sentiasa dalam keadaan cemas. Jika inginkan cabaran pemain boleh bermain secara solo, akan tetapi jauh lebih seronok untuk dimainkan bersama rakan dari 1 sehingga 4 orang.

eShop: Overcooked Special Edition

Sudah semestinya ada banyak lagi permainan yang kami tidak dapat senaraikan, pertama kemungkinan besar kerana kami tidak pernah mencubanya dan kedua kerana kami juga ingin menjadikan senarai ini tidak terlalu panjang. Jika ada permainan yang anda rasa harus dimasukkan ke dalam permainan ini pastikan anda meninggalkannya di ruangan komen bukan sahaja dapat berkongsi pendapat anda, anda juga mungkin memenangi RM 30 Steam Wallet. Selamat ulang tahun pertama Switch.


TIPS & ULASAN