Setelah sekian lama kita tidak mendapat sebarang kemaskini ataupun pengumuman baru berkenaan permainan Death Stranding, hari ini pelakon suara latar Emily O’Brien berkongsi satu gambar di Instagram beliau dimana beliau menyatakan beliau dan Troy Baker menyertai di dalam senarai pelakon bagi permainan tersebut.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan oleh Emily O’Brien di Instagram, beliau menyatakan bahawa beliau sangat berbangga untuk bekerjasama dengan dua jejaka tersebut (Troy Baker dan Norman Reedus) untuk permainan oleh Hideo Kojima iaitu Death Stranding. Namun gambar tersebut telah dipadam oleh Emily selepas sahaja ia dimuat-naik.

Seperti yang disedia maklum, Norman Reedus sememangnya terlibat di dalam proses pembangunan permainan Death Stranding yang mana beliau merupakan salah satu watak utama di dalam permainan tersebut dengan penglibatan beliau di trailer-trailer yang dipertontonkan oleh Kojima Production sepanjang pengumuman permainan tersebut.

Namun menariknya juga Troy Baker juga akan menyertai senarai pelakon di dalam permainan Death Stranding dimana sebelum ini, beliau juga pernah bekerjasama bersama Hideo Kojima buat permainan Metal Gear Solid V: The Phantom Pain dimana beliau merupakan pelakon suara latar bagi watak Ocelot Revolver bagi permainan tersebut.

Emily O’Brien juga merupakan salah satu pelakon suara latar yang berbakat dimana beliau sebelum ini pernah bekerjasama dengan pembangun permainan Telltale untuk sebilangan suara latar bagi watak-watak permainan oleh mereka.

Melalui akaun Twitter Hideo Kojima, beliau juga berkongsi sebilangan proses pembangunan bagi permainan tersebut dimana tampaknya ia sedang dibangunkan dengan jayanya. Mungkin sempena E3 tahun ini, kita bakal mendapat trailer baru dan mungkin juga pengumuman tambahan berkenaan permainan tersebut.

Sohor Kini