Dragon Ball merupakan satu anime ikonik sepanjang zaman dengan pelbagai media telah dikeluarkan melalui francais tersebut daripada filem, animasi sehinggalah permainan video. Kini dengan kerjasama antara Bandai Namco dan Arc System Works, mereka membawa kembali permainan perlawanan Dragon Ball dalam bentuk 2.5D dengan tajuk Dragon Ball FighterZ yang dilancarkan pada 26 Januari 2018 lepas buat konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.

Dragon Ball FighterZ merupakan permainan perlawanan yang dibangunkan oleh Arc System Works, iaitu mereka terkenal dengan siri permainan perlawanan BlazBlue dan Guilty Gear. Kini mereka diberi peluang untuk membangunkan permainan Dragon Ball dan ia sememangnya ia bagai pinang dibelah dua dimana Arc System Works adalah pembangun yang sangat sesuai untuk membangunkan permainan perlawanan bagi siri Dragon Ball.

Cerita

Uniknya bagi permainan Dragon Ball FighterZ adalah penceritaannya dibangunkan khas bersama watak baru, Android 21. Penceritaan di dalam Dragon Ball FighterZ merupakan penceritaan yang baru dan bertempatkan di era awal anime Dragon Ball Super. Watak baru yang tiba di dalam permainan ini adalah Android 21, dimana beliau merupakan robot android baru yang dicipta oleh Dr. Gero dari Red Ribbon Army.

Kami tidak ingin memberi informasi yang banyak berkenaan penceritaan permainan ini kerana tidak ingin merosakkan kepada anda, namun di dalam Dragon Ball FighterZ, bumi sudah ditakluk oleh klon-klon dari wira-wira Dragon Ball seperti Goku, Vegeta dan rakan-rakan mereka. Dengan kuasa mereka dikunci oleh gelombang ombak oleh mesin ciptaan Red Ribbon Army, pemain perlu ‘menyambung’ dengan watak-watak Dragon Ball tersebut untuk menyelesaikan misteri permainan tersebut dan juga membantu menyelamatkan dunia.

Dari segi penceritaan, permainan ini tidak mempunyai penceritaan yang unik. Dari segi perwatakkan Android 21 pula, beliau merupakan watak yang menarik. Namun tidaklah begitu mengejutkan dari segi resolusi watak tersebut dan juga keseluruhan watak beliau. Penceritaan permainan ini juga menjadi kurang menarik apabila ia dibahagikan kepada tiga bahagian dan untuk mengetahui segala penceritaan permainan tersebut, pemain pelu menghabiskan ketiga-tiga bahagian tersebut.

Di dalam mod penceritaan pula, pemain akan bergerak di peta kawasan kecil seperti imej di atas dan mengalahkan klon-klon yang cuba menakluk bumi. Namun bentuk ini agak menyusahkan dan berulangan dimana sepanjang ketiga-tiga bahagian tersebut, pemain akan bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain dan melakukan perkara yang sama untuk sepanjang sesi permainan untuk mengalahkan musuh-musuh klon tersebut.

Pemain juga diberi peluang untuk mengumpul wira-wira Dragon Ball seperti Vegeta, Piccolo dan sebagainya dan menyelamatkan mereka sepanjang mod penceritaan tersebut, sekaligus mengembangkan lagi pasukan pemain dengan pelbagai watak-watak yang pemain boleh gunakan sepanjang pertempuran.

Mod penceritaan ini juga menyertakan fungsi penaik-tarafan watak. Walaupun ia tidak memberi kesan ketika mod multi-pemain ataupun mod arked, penaik-tarafan watak tersebut memberi kesan hanyalah ketika mod penceritaan dan pemain juga boleh menggunakan tiga tetapan khas seperti menaik-tarafkan tenaga Ki dan sebagainya sepanjang mod penceritaan untuk memudahkan lagi pemain bertempur dengan musuh.

Grafik

Grafik permainan Dragon Ball FighterZ sememangnya sangat cantik dan efek cel-shaded sangatlah sesuai dengan siri Dragon Ball. Bagi yang meminati anime Dragon Ball, grafik permainan ini sememangnya menghidupkan anime Dragon Ball tersebut. Menariknya juga, sepanjang mod penceritaan permainan ini, ia memaparkan seakan bentuk penceritaan visual novel. Sekaligus ia merupakan bentuk yang sangat sesuai dengan animasi yang minima tetapi tetap seronok dipertontonkan.

. Memandang anime Dragon Ball terkenal dengan efek-efek tenaga seperti serangan Kamehameha dan sebagainya, efek visual cel-shaded sangat sesuai dengan permainan ini. Setiap serangan yang dipaparkan oleh watak-watak di dalam permainan tersebut sangat seronok untuk ditonton dan terutamanya mereka yang meminati siri Dragon Ball, Arc System Works juga tidak lupa untuk menyertakan sebilangan adegan-adegan dari siri anime Dragon Ball buat peminat. Tambahan juga terdapat sebilangan adegan tambahan jika pemain menggunakan sebilangan watak di dalam kumpulan masing-masing. Contohnya seperti serangan akhir Gotenks, Ultra Volleyball Attack, jika pemain mempunyai watak Piccolo di dalam pasukan pemain, Piccolo akan membantu Gotenks menghantar bola tersebut.

Dragon Ball FighterZ juga dimainkan secara 60FPS untuk konsol Playstation 4 Slim dan juga Playstation 4 Pro sekaligus ia menghasilkan visual yang sangat lancar dan pantas bagi mereka yang menyukai permainan bentuk perlawanan yang pantas.

Audio

Satu lagi aspek permainan Dragon Ball FighterZ yang tidak mengecewakan adalah audio. Bagi mereka yang membesar dengan siri anime Dragon Ball pasti akan menyukai dengan prestasi suara latar yang terdapat di dalam permainan ini. Permainan ini menyediakan dua pilihan untuk suara latar bahasa Inggeris dan juga bahasa Jepun sekaligus pasti akan memuaskan hati peminat anime Dragon Ball yang pernah menonton anime tersebut di dalam bahasa Jepun ataupun bahasa Inggeris. Kedua-dua bahasa tersebut dilakonkan oleh suara latar asal dari siri anime tersebut dan membuat ia menjadi lagi seronok untuk di dengar tambahan dengan sebilangan adegan-adegan yang kelakar dan membuat anda bernostalgia dengan anime Dragon Ball.

Dari segi muzik latar pula, kami sangat berpuas hati dengan muzik-muzik yang terdapat di dalam permainan dimana setiap muzik memberi pujian yang baik antara visual dan bentuk permainan yang dipaparkan. Setiap watak di dalam permainan ini juga mempunyai muzik yang berlainan dan muzik latar kegemaran kami adalah muzik latar watak Android 16 yang mempunyai perasaan seakan muzik jazz.

Tambahan juga, anda pasti tidak lupa dengan bunyi efek serangan seperti Kamehameha ataupun bunyi efek ketika Goku menjadi Super Saiyan dimana di dalam permainan ini, ia mempamerkan bunyi efek dengan sangat baik dan setiap serangan yang anda lakukan terhadap musuh memberi kesan efek bunyi yang sangat memuaskan. Arc System Works telah melakukan sesuatu yang sangat baik dengan menghasilkan hasil kualiti audio yang sangat memberangsangkan bagi permainan Dragon Ball FighterZ.

Kawalan Permainan

Kawalan permainan Dragon Ball FighterZ merupakan satu aspek yang sangat penting dan paling menyeronokkan di dalam permainan ini. Tidak seperti permainan perlawanan Dragon Ball sebelum ini seperti Dragon Ball Xenoverse ataupun Dragon Ball Budokai Tenkaichi yang memfokus bentuk pertempuran secara 3D, permainan Dragon Ball FighterZ memfokus pertempuran yang secara 2D. Walaupun permainan ini dikategorikan sebagai 2.5D, namun dari segi pertempurannya ia lebih memfokuskan secara 2D dimana pemain tidak boleh bergerak 3-dimensi tetapi hanya 2-dimensi.

Bagi anda yang pernah bermain siri permainan perlawanan Dragon Ball Budokai di Playstation 2 beberapa tahun lepas, anda pasti akan menyukai bentuk permainan di dalam permainan ini. Walaupun ia mempunyai bentuk pertempuran secara 2D, ia masih lagi kompleks dan pada masa yang sama ia mudah untuk dimainkan bagi pemain yang baru.

Dari segi pertempuran pula, permainan ini memfokuskan bentuk permainan secara berkumpulan dimana setiap pemain berpeluang untuk memilih 3 watak daripada wira-wira di dalam Dragon Ball untuk digunakan dan bertempur dengan musuh. Setiap wira-wira tersebut boleh ditukar ketika bertempur dan pemain perlu pandai menggunakan strategi bila masa yang sesuai untuk menukarkan watak dan sebagainya.

Menariknya juga, segala serangan kombinasi juga sangat mudah dan setiap watak dimainkan dengan cara kombinasi yang hampir sama. Terdapat juga sebilangan kelainan setiap watak, namun dengan bentuk 3 lawan 3, kombinasi yang lebih kurang sama bagi setiap watak memudahkan pemain untuk biasakan diri dengan setiap watak-watak yang terdapat di dalam permainan tersebut. Arc System Works juga menyediakan kombinasi serangan yang mudah dengan hanya menekan serangan ringan berulang kali, namun kombinasi ini mungkin mudah untuk pemain baru tetapi bagi pemain veteran kombinasi ini agak kurang baiknya dan boleh dieksploitasi oleh pemain musuh.

Ini juga merupakan sebab kenapa kami sangat menyukai permainan kerana sistem pertempurannya sangat kompleks bagi pemain veteran dan pada masa yang sama ia juga menyediakan sistem yang mudah untuk dimainkan oleh pemain yang baru. Seperti kebanyakkan permainan perlawanan yang lain, permainan ini juga perlu latihan yang banyak bagi mereka yang ingin menjadi lebih baik dan ia juga menyediakan mod latihan secara bersama untuk pemain berlatih.

Selain itu, Dragon Ball FighterZ mempunyai satu lobi utama dimana pemain akan menyambung mengikut rantau pemain dan pemain boleh mengakses pelbagai kandungan melalui lobi tersebut, daripada mod arked, mod latihan sehinggalah mod secara multi-pemain. Pemain juga berpeluang untuk membeli kotak tikam dimana barangan yang pemain akan dapat adalah barangan kosmetik untuk kostum watak pemain di dalam lobi. Menariknya, kotak tikam tersebut tidak boleh dibeli dengan wang nyata. Namun begitu kami masih lagi ragu-ragu kerana pada masa akan datang Bandai Namco mungkin akan menyertakan pembelian kotak tikam secara wang nyata kerana terdapat satu pilihan untuk mengakses Playstation Store melalui menu kotak tikam tersebut.

Namun begitu, kandungan kotak tikam tersebut hanyalah mengandungi kandungan kostum kosmetik dimana pemain boleh gunakan untuk mengubah kostum atau watak-watak pemain di dalam lobi, Z Stamp iaitu emote watak ketika berada di dalam lobi dan juga pengubahsuai profil watak ketika bermain secara multi-pemain.

Mod Multi-Pemain

Mod multi-pemain pula merupakan mod utama yang membuat permainan Dragon Ball FighterZ berbaloi untuk dimainkan. Seperti kebanyakkan permainan perlawanan yang lain, mod multi-pemain di dalam Dragon Ball FighterZ menyertakan dua bentuk pertempuran secara atas-talian iaitu secara kasual dan juga secara kompetitif.

Mod kasual merupakan bentuk pertempuran atas-talian yang tidak akan merekodkan kekalahan atau kemenangan pemain di profil pemain. Namun bagi mod kompetitif, jumlah pertempuran yang dilakukan oleh pemain secara atas-talian akan direkodkan di profil pemain.

Selain bertempuran, pemain juga berpeluang untuk menyaksi perlawanan pemain lain melalui mod Arena dan juga setiap pertempuran boleh ditonton semula di bahagian mainkan semula yang terdapat di lobi permainan tersebut.

Walaubagaimana pun, mod multi-pemain permainan ini masih lagi belum sempurna dimana kami sering menghadapi masalah untuk mencari pemain untuk bermain bersama dan juga terdapat sedikit penyeretan dari segi sambungan ketika kami bermain. Tambahan juga, memandangkan fungsi mencari pemain perlu dipastikan dikedua-dua belah pihak sebelum bertempur, sistem ini agak lambat untuk mencari pemain. Namun dari segi prestasi permainan jika pemain menjumpai pemain yang sambungan yang baik dan tahap kuasa yang sesuai, permainan ini dimainkan dengan baik sekali secara atas-talian. Permainan ini juga menyokong multi-pemain secara luar-talian dimana pemain boleh bertempur dengan pemain lain dengan menggunakan dua alat kawalan.

Kesimpulan

Akhir kata, permainan perlawanan Dragon Ball FighterZ sememangnya sebuah permainan yang sangat menarik. Terutamanya buat mereka yang  meminati siri anime atau komik Dragon Ball, permainan ini merupakan permainan Dragon Ball terbaik pernah kami mainkan. Arc System Works dan Bandai Namco menghasilkan satu permainan yang sangat menghormati kandungan asal Dragon Ball dengan kualiti permainan yang sangat baik.

Dari segi visual yang menakjubkan bersama bentuk permainan yang seronok dimainkan, bagi kami Dragon Ball FighterZ adalah permainan perlawanan terbaik buat konsol generasi kini. Bukan sahaja ia kompleks dan penuh kandungan taktikal strategi ketika pertempuran, ia juga mudah dimainkan buat pemain yang hanya ingin bermainkan secara kasual.

Kami juga percaya pada masa akan datang, Bandai Namco dan Arc System Works akan terus menyokong permainan ini dengan pelbagai kandungan dan juga kejohanan e-sukan.

Dragon Ball FighterZ
HARGA: RM239
Permainan Perlawanan Dragon Ball Terbaik Dengan Pelbagai Watak Dan Bentuk Permainan Yang Mendalam
Cerita
8
Bentuk
10
Grafik
10
Audio
10
Multi-Pemain
9
Positif
Pelbagai Watak Dan Kandungan
Bentuk Permainan Yang Mendalam
Negatif
Bentuk Penceritaan Yang Agak Hambar
9.4

Sohor Kini