Sejak pelancaran Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) tahun lepas, permainan tersebut menjadi satu kegilaan ramai sehingga melebihi 3 juta pemain secara serentak pada penghujung bulan lepas.
Kini, melalui laporan Gamespot yang mana mereka bertemu bual bersama CEO PUBG Corp, Chang Han Kim menyatakan bahawa mereka menyasarkan untuk melancarkan permainan tersebut di semua platform permainan. Tambahan juga, beliau menyatakan bahawa mereka ingin membangunkan permainan PUBG sebagai satu francais media secara global dan bukan terhad setakat permainan video malah termasuklah rancangan televisyen dan filem.
Dengan pelancaran permainan PUBG secara versi penuh, 1.0 baru-baru ini, mereka juga kini melancarkan permainan tersebut di Xbox One secara akses awal melalui Xbox Game Preview yang mana ia dilaporkan mempunyai prestasi yang agak rendah.
Chang Han Kim juga menyatakan kenapa permainan PUBG tidak dilancarkan lagi di Playstation 4 selain daripada kerjasama ekslusif berjangka masa oleh Microsoft adalah kerana konsol Playstation 4 tidak mempunyai sebarang sistem seperti akses awal seperti di Xbox One dan PC. Menurut beliau, pihak Sony mempunyai peraturan yang tegas berkenaan kualiti permainan yang dilancarkan di konsol mereka.
Beliau juga menambahkan bahawa dengan pelancaran permainan PUBG di konsol Xbox One, mereka juga ingin belajar berkenaan pembangunan permainan di konsol dan menilainya setelah versi Xbox One siap dibangunkan dahulu.
Menariknya, ketika temu bual tersebut, beliau juga memberi komen berkenaan masa depan permainan PUBG dimana beliau berharap permainan tersebut berkembang kepada francais media yang lain seperti e-sukan, filem, drama dan termasuklah animasi kartun. Beliau juga menyatakan mereka sering mendapat sokongan daripada pembangun-pembangun di Hollywood dan juga Netflix.
Tampaknya, menjelang 2018 ini permainan Player Unknown’s Battleground akan dikembangkan lagi dengan pelbagai kandungan dan PUBG Corp sememangnya tidak akan berhenti setakat pelancarannya versi 1.0 pada Disember lepas. Bagi anda yang meminati permainan PUBG, adakah anda berminat untuk menonton animasi yang berdasarkan permainan tersebut?