Bagi anda yang pernah bermain permainan siri Just Cause, semestinya anda mengetahui bentuk fizik permainan dan dunia terbuka yang disediakan melalui permainan tersebut agak lucu dan menarik.

Terkini, Avalanche Studios membawa kembali siri tersebut melalui Just Cause 4 yang mana pemain akan sekali lagi mengembara bersama watak utama permainan ini iaitu Rico Rodriguez dan melakukan pelbagai lagak aksi ikonik beliau.

Just Cause 4 merupakan permainan aksi dunia terbuka yang memfokuskan bentuk ‘sandbox‘ dan ianya telah pun dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC. Melalui ulasan ini, saya berpeluang untuk mencubanya di Playstation 4 Pro dan ini adalah ulasan saya.

Cerita

Secara jujurnya, penceritaan Just Cause 4 adalah sangat membosankan. Sepanjang saya bermain permainan ini, saya langsung tidak menghiraukan sebarang konfrontasi yang dihadapi oleh Rico. Ini kerana pada permulaan permainan mereka terus meletakkan pemain di dalam kawasan baharu permainan ini tanpa sebarang dorongan yang baik. Ini membuat saya sendiri tidak langsung berasa sebarang hubungan watak dan juga penceritaannya.

Just Cause 4 meletakkan pemain di kawasan yang baru, iaitu di negara Solís dimana ianya merupakan kawasan bertempatkan di selatan Amerika dan kawasan tersebut dijajah oleh sekumpulan askar Black Hand. Kali ini, sekali lagi Rico akan membantu penduduk tempatan membebaskan mereka daripada jajahan askar-askar tersebut.

Secara asasnya, penceritaan utama permainan ini adalah hampir serupa dengan Just Cause 3 sebelum ini. Namun, untuk menambahkan kedalaman penceritaannya, Avalanche Studios kali ini mengaitkan penceritaan utama permainan ini berkaitan dengan ayah kepada Rico, Miguel Rodriguez dimana beliau terlibat dengan pembangunan senjata buat askar-askar Black Hand tersebut dan kemudiannya dibunuh oleh mereka.

Sekaligus, untuk menyelesaikan misteri tersebut, Rico bekerjasama dengan penduduk tempatan untuk menjatuhkan askar Black Hand. Secara asasnya, berikut adalah penceritaan keseluruhan buat permainan ini.

Sememangnya pada pendapat saya penceritaan permainan ini agak lemah dengan jalan ceritanya agak tipikal. Selain itu apa yang membuatkan saya tidak menyukai penceritaan permainan ini adalah penjahat utamanya hanya diperlihatkan ketika awal permulaan permainan ini dan pada akhir permainan sahaja. Resolusi watak penjahat tersebut juga tidaklah begitu menarik malah terdapat beberapa watak lain yang di dalam permainan ini berubah sikap dengan begitu cepat sehingga membuatnya tidak masuk akal.

Walaupun begitu, bagi anda yang tidak pernah bermain permainan Just Cause sebelum ini, anda tidak perlu khuatir akan sambungan penceritaannya dimana Just Cause 4 sendiri mempunyai penceritaannya sendiri. Sememangnya terdapat beberapa watak dari permainan sebelum ini kembali, namun ianya tidaklah terlalu berkait dengan penceritaan sebelum ini.

Grafik

Visual permainan Just Cause 4 ini sememangnya adalah satu perkara yang sangat mengecewakan. Ini kerana buat pertama kalinya sepanjang 20 tahun saya bermain permainan video, ketika saya bermain Just Cause 4 saya muntah kerana mabuk akibat pergerakan kamera yang sangat teruk.

Ini kerana Just Cause 4 mempunyai visual gerakan kabur yang sangat tinggi, sekaligus setiap kali saya memusingkan kamera permainan ini, ia meloyakan saya.

Untuk memburukkan keadaan lagi, visual permainan adalah sangat teruk dan saya berasa ianya seolah dibangunkan 10 tahun lepas. Seperti yang anda lihat di imej di atas, visual rekaan air di dalam permainan ini kelihatan buruk sekali. Tambahan itu, ketika saya mainkan permainan ini di kawasan yang gelap, saya tidak berupaya untuk melihat sebarang paparan langsung akibat ianya terlalu gelap.

Walaupun ianya mempunyai fungsi HDR dan juga perubahan tahap kecerahan. Ianya masih lagi tidak boleh membaiki masalah tersebut malah jika saya menggunakan fungsi HDR dan tingkatkan nilai kecerahan, ianya masih lagi akan merosakkan permainan keseluruhan visual permainan dengan memaparkan visual yang mempunyai garisan pencahayaan yang merosakkan.

Dari segi prestasi permainan ini tidaklah mempunyai sebarang masalah dari segi kadar bingkai sesaat tidak seperti permainan Just Cause 3 sebelum ini. Walaupun saya memainkannya di Playstation 4 Pro dengan skrin 4k, ianya masih lagi memaparkan kadar bingkai sesaat 30fps dengan sekata.

Audio

Dari segi audio pula, permainan ini tidaklah mempunyai sebarang audio yang memberangsangkan. Sememangnya permainan ini bertemakan Amerika Selatan, sekaligus ianya mempunyai pelbagai muzik latar daripada Mexico.

Namun, memandangkan kebanyakkan pergerakkan saya di dalam permainan jarang sekali saya menggunakan kenderaan, sekaligus saya sendiri tidak menggunakan fungsi radio yang terdapat di dalam permainan ini. Setiap kali permainan ini memaparkan muzik-muzik tersebut, ianya hanyalah berasa seolah satu muzik bersahaja tanpa sebarang impak yang menarik.

Seperkara yang agak mengecewakan saya adalah suara latar yang dipersembahkan adalah tidak memuaskan. Dari segi pelakon suara latar itu sendiri, ianya tidaklah mempunyai sebarang masalah. Namun, apa yang membuatnya begitu teruk adalah terdapat sebilangan adegan dimana pergerakkan bibir tidak menyegerak dengan suara latar. Tambahan itu terdapat juga bunyian lain yang lambat dimainkan, sekaligus merosakkan sebilangan adegan permainan ini.

Kawalan Permainan

Tak dapat dinafikan, bentuk dan kawalan permainan Just Cause 4 adalah tumpuan utama buat permainan. Mungkin ramai peminat siri ini bersetuju dengan saya yang mana bentuk permainan ini antara bentuk permainan paling seronok untuk dimainkan bagi keseluruhan siri Just Cause tersebut.

Just Cause 4 meletakkan pemain di dalam bentuk dunia terbuka ‘sandbox‘ dimana pemain berupaya untuk melakukan pelbagai perkara seperti pengembara, menaiki kenderaan dan sebagainya. Seperti Just Cause sebelum ini, pemain juga berupaya untuk terbang dengan  ‘Wingsuit’ bersama-sama dengan payung terjun. Selain itu, gajet cangkuk juga kembali di mana pemain berupaya bergerak dengan lebih pantas dari satu lokasi ke satu lokasi.

Walaupun begitu, Avalanche Studios masih menambahkan sebilangan gajet-gajet baru untuk pemain terokai permainan ini termasuklah jet pek yang terdapat di belakang Rico. Kini pemain berupaya untuk menerbangkan terus ke atas langit tanpa sebarang penggunaan lajak daripada cangkuk. Namun jet pek tersebut boleh digunakan secara terhad dan ianya perlu di cas semula selepas ianya digunakan.

Fungsi jet pek tersebut bukan sahaja memberi kebebasan untuk pemain untuk bergerak dengan lebih laju, malah ianya juga membuatkan permainan ini berasa sangat seronok untuk dimainkan. Saya sendiri sangat menyukai fungsi ini dan berasa saya seolah Iron Man setiap kali saya menerbang di langit dalam permainan ini.

Namun, Avalanche Studios juga tidak berhenti setakat itu sahaja kerana mereka juga menambah beberapa fungsi baharu melalui sistem cangkuk Rico tersebut. Sebelum ini di Just Cause 3, pemain berupaya menambat cangkut tersebut di sesuatu objek dan menariknya antara satu sama lain. Kini melalui Just Cause 4, pemain juga berupaya untuk mengubah fungsi menambat tersebut dengan dua fungsi baharu.

Dua fungsi tersebut adalah fungsi belon, dimana pemain berupaya untuk menerapungkan sesuatu objek. Fungsi ini bukan sahaja kelakar malah ianya membuat saya teringat akan fungsi Fulton Extraction daripada Metal Gear Solid V: The Phantom Pain. Pemain berupaya untuk menambat belon ini di mana-mana objek yang terdapat di dalam permainan ini termasuklah lembu, orang ataupun kenderaan.

Manakala fungsi seterusnya adalah fungsi Booster jet. Seperti jet pek dibelakang badan Rico, pemain juga berupaya untuk menambatkan Booster jet tersebut dimana-mana objek di dalam permainan ini. Seperti contohnya saya sering menambat Booster jet tersebut di kenderaan yang saya naiki dan mengaktifkannya ketika saya memandu dengan kelajuan yang terlampau pantas, sehingga menyebabkan kenderaan saya terbang dan berpusing.

Satu lagi perkara yang sangat sukai melalui kawalan permainan ini adalah, setiap fungsi tambat tersebut, termasuklah fungsi menambat dan menarik antara objek dari permainan sebelum ini juga boleh dinaik-taraf dengan pelbagai pengubah-suaian dan mod. Ini bukan sahaja membuka lagi bentuk permainan yang lebih menarik, malah ianya membuat satu fungsi yang sangat pelbagai dan seronok untuk dimainkan secara bersahaja.

Selain itu, seperti permainan sebelum ini, pemain juga berupaya untuk memanggil barangan ataupun kelengkapan yang pemain ingin gunakan ketika bertempur. Melaluinya, pemain berupaya menggunakan fungsi ‘Supply Drop‘ ini dengan meminta bantuan daripada penduduk-penduduk tempatan yang menyertai pemain.

Dari segi bentuk permainan lain, tembak menembak, ianya adalah seperti permainan sebelum ini dimana pemain hanyalah berupaya untuk membawa dua senjata sahaja dalam satu masa. Setiap senjata juga mempunyai fungsi sekunder untuk pemain lakukan seperti contohnya senjata senapang mesingan, fungsi sekundernya adalah pelancar bom tangan.

Dari segi pemanduan kenderaan pula, sekali lagi tiada sebarang masalah dan ianya seperti masa saya ingat ketika saya bermain Just Cause 3 sebelum ini. Seperti biasa, [ermainan ini mempunyai pelbagai jenis kenderaan dari kereta, motosikal, helikopter, kereta kebal sehinggalah jet pejuang.

Manakala dari segi keluasan peta permainan, Just Cause 4 sememangnya mempunyai peta yang sangat luas untuk di terokai. Dari kawasan paya, hutan bakau, padang pasir sehinggalah gunung ganang bersalji, kesemua pemain berupaya untuk terokai.

Bercakap berkenaan penerokaan kawasan, saya juga menyukai fungsi ‘Liberation‘ kali ini. Fungsi ini memfokuskan pemain untuk membuka sesuatu kawasan dan membebaskannya daripada dijajah oleh Black Hand. Menariknya kali ini, ianya akan menyediakan sebilangan misi yang berbeza untuk pemain lakukan. Sekaligus ianya menghasilkan satu bentuk yang menarik dan tidak berulangan.

Contoh misi tersebut seperti pemain perlu menyelematkan tebusan ataupun pemain perlu menggodam sesuatu objek. Ini bukan sahaja membuatkan permainan ini tidak bosan untuk dimainkan, malah ianya berasa seolah ianya pelbagai misi yang pemain boleh lakukan dan tidaklah seperti permainan sebelum ini dimana setiap satu kawasannya menggunakan misi-misi yang sama sahaja.

Terdapat juga misi sampingan yang pemain boleh lakukan seperti melawat makam ataupun membunuh sebarang sasaran yang disediakan. Setiap kali pemain melakukan misi sampingan ini, pemain juga akan diberikan pelbagai ganjaran yang pemain boleh gunakan untuk tingkatkan gajet pemain.

Akan tetapi, bentuk utama yang berbeza di dalam Just Cause 4 kali ini adalah keadaan cuaca yang terdapat di dalam permainan ini. Sememangnya cuaca ribut, mahupun ribut pasir adalah biasa sahaja. Akan tetapi Just Cause 4 juga mempunyai cuaca puting beliung dimana ianya merupakan cuaca yang berkait rapat dengan naratif permainan ini.

Melaluinya, pemain berupaya untuk terbang ke arah puting beliung tersebut dan menghentikannya. Namun, misi tersebut hanyalah berkaitan dengan penceritaan utama permainan ini sahaja dan ianya hanyalah terdapat beberapa misi sahaja yang memfokuskan cuaca tersebut.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, Just Cause 4 sememangnya satu permainan yang menarik. Bentuk dunia terbuka yang sangat luas dengan keupayaan untuk terbang menggunakan jet pek bersama-sama pelbagai gajet yang menarik untuk digunakan, ianya adalah salah satu permainan bertemakan ‘sandbox’ yang saya sangat sukai.

Akan tetapi, permainan ini mempunyai pelbagai masalah dari segi visual sehinggalah menyebabkan saya loya dan termasuklah penceritaan yang kurang menarik menyebabkan permainan berasa tidak siap dibangunkan dan Square-Enix melancarkannya dengan terlalu awal. Namun, Square-Enix juga menyatakan bahawa mereka akan mengemaskini permainan tersebut pada masa akan datang dan membaiki masalah-masalah tersebut.

Untuk membeli permainan ini dengan harga penuh, saya sendiri tidak mengesyorkannya. Mungkin juga anda boleh menunggu untuk mendapatkannya secara percuma melalui langganan Playstation Plus seperti permainan Just Cause 3 sebelum ini.

Bagi anda yang meminati siri ini, kami pasti anda sendiri sudahpun membelinya dan membuat pelbagai eksperimen menarik seperti meletakkan Booster jet di lembu dan sebagainya.

Penafian: Kod ulasan untuk Just Cause 4 disediakan oleh Bandai Namco.

Sohor Kini