Titans adalah siri televisyen baru DC untuk aplikasi penstriman DC Universe. Siri ini memfokuskan pada watak Robin/Dick Grayson, Raven dan Starfire. Ia dikatakan adalah dalam dunia yang sama dengan Batman versi Ben Affleck, kerana dalam video acah awal ia memperlihatkan bayang Bruce Wayne yang mirip dengan versi Ben Affleck.
Tetapi sayang sekali, filem DCEU adalah dalam dunia yang tersendiri dan siri dalam platform DC Universe adalah dunia yang tersendiri. Ia adalah ibarat siri Arrowverse yang mempunyai Earth-1 atau Earth-2. Dalam video acah terbaru, Batman dilihat muncul dalam episod akhir Titans. Tetapi Batman ini adalah Batman yang jahat yang membunuh semua penjahat terkenal. Antagonis seperti TwoFace, Riddler, Joker, Scarface, Ventriloquist dan mungkin ramai lagi sudah mati dibunuh oleh Batman. Batman dilihat berada di luar kawalan dan hanya Robin/Dick Grayson sahaja yang boleh selamatkan beliau.
Tidak pasti bagaimana Batman boleh mengganas dan bagaimana Robin akan selesaikan masalah ini. Untuk ketahui, tonton Robin vs Batman dalam episod terakhir Titans. Jika anda berminat, boleh langgan DC Universe dan menggunakan VPN Amerika Syarikat untuk tonton atau tunggu tayangan global di Netflix pada bulan Januari tahun 2019.