Secara asasnya, konsep permainan Fallout 76 sememangnya sangat menarik. Dunia pasca-apokaliptik yang didiami oleh pemain merupakan satu permainan yang menarik jika diperlakukan dengan baik. Namun, apa yang diterjemahkan oleh Bethesda Softworks untuk Fallout 76 adalah sangat mengecewakan.

Bukan sahaja permainan ini berasa sangat kosong dan membosankan, malah kurang 15 jam sahaja saya bermain permainan ini, saya tidak sanggup untuk meneruskan sesi permainan saya kerana permainan ini mempunyai pelbagai masalah dari segi prestasi dan juga kandungan.

Walaupun bermain di konsol Xbox One X, saya mendapati permainan ini tidak langsung dioptimasikan untuk konsol paling berkuasa tersebut. Dari kadar bingkai sesaat yang sering jatuh, bersama visual grafik yang ketinggalan zaman, permainan ini adalah satu permainan yang langsung tidak berbaloi masa anda untuk bermain.

Fallout 76 adalah permainan sampingan berdasarkan siri Fallout yang mana ianya memfokuskan bentuk secara multi-pemain dimana ianya dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC pada 14 November 2018 lepas. Melalui permainan ini, pemain perlu sentiasa berada di atas-talian dan ini adalah ulasan saya untuk permainan Fallout 76.

Cerita

Seperti siri Fallout yang lain, Fallout 76 sememangnya mempunyai penceritaannya sendiri. Pada permulaan permainan ini, seperti biasa pemain akan bermula dengan keluar daripada bilik kebal atau lebih dikenali Vault di dalam siri tersebut, iaitu Vault 76 di kawasan Appalachia ataupun West Virginia. Dari situ, pemain ditugaskan untuk mencari pengawas Vault 76 tersebut yang mana beliau keluar lebih awal daripada pemain untuk melihat dunia selepas peperangan nukleur besar yang mana sebab berlakunya Fallout.

Sekaligus, sepanjang sesi permainan ini, pemain akan mengembara di dunia permainan ini hanya untuk mencari kesan-kesan yang dilakukan oleh pengawas tersebut kerana pemain tidak akan langsung berjumpa sebarang watak-watak lain di dalam permainan tersebut.

Ini disebabkan kali ini, Bethesda Softworks ingin menghasilkan dunia permainan yang mana mereka tidak akan meletakkan sebarang NPC (Watak Yang Tidak Boleh Dimainkan) sekaligus membuatkan permainan ini berasa sangat kosong berbanding permainan Fallout sebelum ini.

Satu lagi masalah berkenaan penceritaan permainan ini adalah segala penceritaan yang disampai akan diceritakan melalui pita-pita audio yang ditinggalkan oleh watak-watak NPC lain dan juga watak pengawas tersebut. Pita-pita yang terdapat di dalam permainan ini ataupun dikenali Holotape, hanyalah sebuah rakaman suara yang mana ianya akan menyampaikan kisah sebalik penceritaan itu ataupun tugas-tugas yang pemain perlu lakukan untuk meneruskan penceritaan permainan ini. Namun, kandungannya berasa sangat malas dan membosankan yang mana ia membuatkan saya berasa tiada sebarang dorongan saya hiraukan ataupun kisah berkenaan penceritaannya.

Selain itu, terdapat juga nota-nota lain yang pemain perlu membaca dan mencari untuk memahami keseluruhan penceritaannya. Ini sekaligus membuatkan permainan ini sangat tidak menarik untuk dimainkan kerana penyampaian naratifnya bukan sahaja sangat membosankan malah sangat menyusahkan pemain untuk membaca dan meluru mencari klu-klu berikut tanpa sebarang adegan.

Namun, ini tidak bermakna saya malas untuk membaca atau mendalami kisah-kisah penceritaan ini melalui teks-teks yang diberi, tetapi jika ianya mempunyai kandungan teks yang terlalu banyak sehinggalah hampir keseluruhan penceritaannya adalah berbentuk sebegitu, ianya sudah pastinya membuat saya sendiri untuk tidak mengendahkannya langsung.

Pada pendapat saya, keputusan Bethesda Softworks untuk membuang watak-watak NPC bukan sahaja merosakkan permainan ini, malah ianya membuat permainan Fallout 76 ini hilang segala citarasa apa yang membuatkan permainan Fallout itu menarik.

Walaupun begitu, ini juga tidak bermakna permainan ini adalah kosong tanpa sebarang watak, jika tidak dicampur watak-watak pemain lain secara atas-talian, pemain masih lagi berupaya untuk berinteraksi dengan robot-robot yang terdapat di dalam permainan ini. Namun, mereka hanyalah sebuah robot tepi jalanan yang hanya mempunyai beberapa dialog berulangan dan kandungan berinteraksi bersamanya masih lagi terhad.

Sekaligus, dengan segala masalah di atas, permainan ini membuat saya langsung tidak hiraukan penceritaannya, malah ketika sesi permainan tiga jam pertama saya sudah tidak mengambil kisah berkenaan penceritaannya dan hanya mengembara di dalam dunia permainan tersebut tanpa membaca sebarang teks mahupun mendengar pita-pita yang saya temui.

Grafik

Fallout 76 jika dilihat secara sekali imbas, ianya tidaklah mempunyai visual yang terlampau teruk. Malah pada pendapat saya, ianya masih lagi memaparkan visual permainan yang sangat cantik dengan pelbagai rekaan kawasan dan permandangan yang menarik untuk dilihatkan. Walaubagaimana pun, jika diteliti dengan pretasi campur enjin permainan yang agak ketinggalan zaman, pada pendapat saya permainan ini masih lagi ketinggalan berbanding permainan-permainan terkini keluaran syarikat lain.

Jika anda sendiri pernah bermain permainan Fallout 4, anda pasti akan berasa terbiasa dengan permainan Fallout 76. Ini kerana dari segi bentuk visual dan enjin permainan, Fallout 76 masih lagi menggunakan enjin permainan yang sama. Sekaligus, visual grafik permainan ini boleh dikatakan serupa dengan permainan yang berusia 3 tahun lepas tersebut. Ini tidaklah bermaksud bahawa permainan Fallout 4 mempunyai visual yang teruk, tetapi ini bermaksud bahawa Bethesda Softworks tidak mengubah sebarang perubahan baru untuk permainan terkini mereka dan ianya membuatkan permainan ini berasa seolah permainan yang berusia 3 tahun lepas.

Satu lagi perkara yang agak mengecewakan saya adalah prestasi  permainan ini yang mana ianya adalah sangat teruk sekali. Saya sendiri bermain permainan ini di konsol Xbox One X dan menghadapi pelbagai masalah prestasi yang sangat teruk terutamanya kadar bingkai sesaat yang sering jatuh. Terdapat juga dimana permainan ini memaksa saya untuk keluar dari pelayan permainan dimana pretasinya berfungsi dengan teruk sekali akibat kadar bingkai sesaat yang sangat rendah sehingga kurang daripada 25 jika bertempur lebih dari 3 musuh serentak.

Selain itu permainan juga mempunyai keluasan pandangan yang sangat terhad. Terdapat pelbagai objek dan model yang keluar secara tiba-tiba dimana ianya bukan sahaja merosakkan bentuk dunia terbuka permainan malah ianya menunjukkan betapa teruknya permainan ini dioptimasikan di konsol. Walaupun dengan keluasan pandangan yang sangat rendah, prestasi permainan ini masih lagi sangat teruk dan ini sememangnya tidak boleh dimaatkan terutamanya bagi permainan dunia terbuka.

Namun, Bethesda Softworks sememangnya terkenal dengan pepijat yang terdapat di dalam permainan mereka selepas pelancarannya, tetapi perkara ini tidak sepatutnya menjadi kebiasaan mereka malah pada pendapat saya, ianya tidak sepatutnya berlaku untuk setiap permainan yang dilancarkan oleh mereka.

Ketika saya bermain permainan ini, saya sendiri tertanya-tanya adakah pembangun permainan ini mengambil berat berkenaan permainan ini dan adakah mereka sendiri mencubanya dahulu sebelum melancarkannya. Ianya seolah mereka melancarkan satu permainan yang tidak siap. Alasan untuk mengemaskininya selepas pelancaran permainan adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku lagi ketika ini.

Audio

Dari segi audio, permainan ini tidaklah mempunyai sebarang masalah, malah saya berasa ianya salah satu sudut permainan yang paling kurang bermasalah. Walaupun begitu, ini juga tidak bermakna masalah lain di dalam permainan ini tidak merosakkan pengalaman audio permainan ini.

Atas sebabkan penceritaannya yang lemah, kesan terhadap audio permainan ini juga memberikan kesan negatif buat Fallout 76. Sepanjang sesi permainan saya, saya dapati suara latar yang disampaikan melalui pita-pita yang saya katakan di atas, berasa sangat menjengkelkan. Ini juga mungkin disebabkan saya sendiri langsung tidak menikmati permainan ini dan merasa ianya adalah teruk.

Akan tetapi, dari segi muzik latar mahupun bentuk kualiti audio yang lain, ianya masih lagi berasa seolah permainan Fallout 4. Ini tidak bermakna ianya adalah teruk, namun ia berasa seolah Bethesda Softworks tidak melakukan sebarang perkara baru untuk membangunkan permainan ini.

Kawalan Permainan

Saya sendiri tidak tahu dimana saya akan bermula jika bercakap berkenaan kawalan permainan ini. Terdapat pelbagai masalah yang terdapat di dalam Fallout 76, dari segi kawalan permainan dan juga kandungan.

Walaupun begitu, saya akan mulakan dari awal sesi permainan saya dimana selepas saya keluar dari Vault 76 itu sendiri. Masalah pertama yang saya hadapi adalah permainan ini memberi perasaan yang membosankan kepada saya. Sebaik sahaja saya keluar daripada bilik kebal tersebut, saya sendiri tertanya-tanya apakah yang perlu saya lakukan. Betul, terdapat misi yang saya perlu lakukan berdasarkan pita Holotape yang diberikan oleh saya, namun tanpa sebarang adegan bersama NPC, ianya berasa seolah satu kawasan yang kosong dimana Bethesda Softworks hanya membuang saya di satu kawasan yang luas dan saya perlu lakukan misi yang saya sendiri tanpa mempunyai dorongan ataupun sebab untuk melakukannya.

Walaupun begitu, secara teknikalnya untuk permainan Fallout 76 ini, segala kawalan dan bentuk permainannya adalah sangat serupa dengan Fallout 4. Seperti biasa, gajet Pip-Boy kembali dimana ianya merupakan akses utama untuk anda menukar senjata, pakaian ataupun mengurus segala misi-misi yang pemain memperolehi.

Namun, Fallout 76  kali ini menambahkan sebilangan fungsi baharu seperti fungsi pertahanan hidup dimana pemain perlu menjaga tahap kelaparan dan dahaga watak pemain. Fungsi ini juga tidaklah begitu menyusahkan seperti permainan pertahanan hidup yang lain dan ianya hanyalah berasa seolah satu fungsi tambahan yang ditambah pada minit terakhir oleh Bethesda.

Seperti Fallout 4, pemain juga berupaya untuk membina kem pangkalan pemain sendiri dan menariknya di Fallout 76, pemain berupaya untuk membina dimana sahaja di dalam seluruh peta kawasan permainan ini. Namun, ianya masih lagi terhad di tanah rata ataupun dikawasan yang jauh daripada kem pangkalan pemain lain.

Namun, kem ini tidaklah memberi satu kesan yang besar dan pemain juga berupaya untuk memindahnya jika pemain inginkan. Tetapi apa yang menariknya bagi saya adalah fungsi penyimpanan barang dimana barang-barang yang disimpan di kem pemain, pemain lain tidak boleh akses barangan tersebut. Malah jika pemain ke kem pemain lain dan membuka peti simpanan barangan mereka, pemain hanyalah akan membuka peti simpanan yang mengandungi barangan-barangan pemain sendiri.

Fungsi ini bagi saya agak menyenangkan terutama jika pemain mengembara ke kawasan yang jauh daripada kem sendiri dan pemain ingin dapatkan barangan-barangan simpanan pemain sendiri, pemain tidak perlu teleportasi ke kem pemain sendiri.

Dari segi kemahiran ‘Perk‘ iaitu kemahiran SPECIAL juga kembali di mana Fallout 76 masih lagi mengekalkan konsep yang sama namun mereka mengubahnya sedikit dengan menggunakan fungsi kad. Secara keseluruhannya, terdapat tujuh slot kad yang pemain boleh pakaikan iaitu ianya berdasarkan perkataan SPECIAL, iaitu Strength (Kekuatan), Perception (Persepsi), Endurance (Ketahanan), Charisma (Karisma), Intelligence (Kecerdasan), Agility (Kepantasan) dan Luck (Nasib).

Dimana melalui kad-kad tersebut pemain boleh menetapkan kemahiran yang pemain inginkan berdasarkan nilai kemahiran yang pemain miliki. Selain itu, untuk memperoleh nilai yang lebih tinggi, pemain hanya perlu menaikkan tahap peringkat watak pemain dan pemain terus boleh memakai kemahiran kad yang lebih banyak mengikut slot. Setiap slot tersebut, pemain boleh tingkatkan watak pemain dan mendapatkan beberapa kemahiran yang berbeza. Seperti contohnya, untuk bahagian ‘kekuatan’, pemain boleh memakai kad kemahiran seperti meningkatkan serangan jarak dekat ataupun meningkatkan tenaga pemain.

Dari segi sistem VATS pula iaitu Vault-Tec Assisted Targeting System yang terkenal di dalam siri permainan Fallout juga kembali di Fallout 76. Namun, ianya tidak lagi memberhenti ataupun memperlahankan masa. Walaupun begitu, sistem tersebut masih lagi memudahkan pemain untuk menyasarkan serangan ataupun tembakan pemain terhadap musuh dan setiap kali pemain menggunakannya, nilai AP masih lagi akan ditolak. Bercakap berkenaan nilai AP tersebut, nilai AP ataupun nilai aksi Action Point juga akan digunakan oleh pemain untuk berlari.

Dari segi bentuk yang lain, Fallout 76 tidaklah memperkenalkan sebarang kawalan yang baru. Memandangkan permainan ini menggunakan enjin yang sama, seperti permainan Fallout 4, pemain juga boleh dapatkan Power Armor, iaitu pakaian perisai yang berkuasa tinggi. Namun, pakaian tersebut harus dicari sendiri oleh pemain sama ada melakukan misi ataupun mengembara di dalam dunia tersebut.

Fungsi lain seperti membaiki senjata, membina senjata dan memasak atau menghasilkan ubat-ubatan Stimpak dan sebagainya juga kembali di dalam permainan Fallout 76. Fungsi ini juga adalah sangat sesuai dengan bentuk pertahanan hidup yang Bethesda ingin hasilkan, namun dengan menggunakan enjin permainan yang sama, ianya masih lagi berasa serupa dengan permainan Fallout sebelum ini.

Dari segi bentuk dunia terbuka, sememangnya perkara yang saya harus puji adalah dunia permainan ini. Ianya sememangnya mempunyai dunia permainan yang sangat luas. Sebelum ini, Todd Howard iaitu pengarah permainan Fallout 76 juga menyatakan bahawa peta permainan ini adalah empat kali ganda lebih luas dari Fallout 4. Dan saya berasa ianya mungkin adalah betul dimana kawasannya sangatlah luas malah saya sendiri masih belum mengembara diseluruh kawasan yang terdapat di dalam permainan ini.

Walaupun begitu, ini juga adalah perkara yang saya tidak sukai berkenaan permainan ini kerana ianya tidak mempunyai sebarang kenderaan. Jadi untuk kesatu tempat ke satu tempat, pemain perlu berjalan kaki dan ianya sememangnya mengambil masa yang sangat lama. Sememangnya fungsi teleportasi Fast Travel, terdapat di dalam permainan ini. Namun untuk berbuat demikian, pemain perlu melawati tempat tersebut dahulu dan setiap kali pemain teleportasi, permainan ini akan mengecaskan nilai mata wang Caps berdasarkan jarak kejauhan tempat tersebut dari pemain. Namun, untuk teleportasi ke kem pemain ataupun ke Vault 76, permainan ini tidak akan mengecas sebarang bayaran.

Bercakap berkenaan bayaran, permainan ini juga mempunyai konsep mikro-transaksi dimana pemain berupaya untuk menggunakan mata wang Atom, untuk membeli kostum-kostum ataupun cat warna bagi kelengkapan pemain. Namun, barangan ini tidaklah memberi sebarang kesan tambahan lain dan hanyalah sekadar kosmetik sahaja.

Bercakap berkenaan misi pula, permainan ini mempunyai misi yang sangat membosankan. Kebanyakkan misi yang disediakan termasuklah misi utama, ianya hanyalah misi yang diulang berkali-kali. Seperti contohnya adalah misi mengambil barang di satu lokasi dan membawanya ke satu lagi lokasi. Terdapat juga misi dimana pemain perlu membunuh sebilangan musuh dan bertempur mengikut peringat serangan musuh. Permainan ini juga mempunyai misi komuniti yang mana akan saya terangkan dengan lebih terperinci di bahagian multi-pemain dibawah.

Walaupun begitu, dengan keseluruhan yang apa yang saya kongsikan, saya sendiri berasa seperti yang menerangkan kembali fungsi-fungsi yang terdapat di dalam Fallout 4 dan perkara yang membuat permainan ini mempunyai kelainan yang utama adalah perkara yang akan saya kongsikan dibawah, iaitu mod multi-pemain.

Mod Multi-Pemain

Apa yang membuat Fallout 76 ini lain dengan siri Fallout yang lain semestinya adalah fungsi multi-pemain. Permainan ini meletakkan pemain di dalam dunia yang luas dimana ianya langsung tidak mempunyai watak-watak NPC lain dan hanyalah didiami oleh pemain-pemain sahaja. Konsep ini sememang sangat menarik dan setiap kali saya mengembara dan berjumpa dengan pemain yang lain, ianya adalah satu pengalaman yang sangat menarik.

Melalui Fallout 76, selain daripada misi utama, permainan ini juga menyediakan misi komuniti dimana pemain boleh melakukan misi tersebut secara bersama. Misi-misi komuniti tersebut juga adalah terhad di sesetengah lokasi dan jika pemain berada di lokasi tersebut, pemain berupaya untuk melakukan misi tersebut. Jika pemain melakukan misi tersebut bersama-sama pemain lain, pemain akan mendapat ganjaran secara bersama.

Konsep ini agak menarik, namun terdapat juga eksploitasi dimana pemain hanyalah perlu berada di kawasan misi tersebut untuk mendapat ganjaran dan pemain lain yang akan melakukan misi tersebut. Namun, sepanjang sesi permainan saya, kebanyakkan pemain yang saya jumpai semuanya bersikap murah hati dan melakukan misi-misi tersebut secara bersama.

Fallout 76 juga mempunyai konsep pemain lawan pemain. Namun, saya sendiri tidak pernah melakukannya sebab saya berasa ianya adalah satu perkara yang sia-sia dan saya tidak ingin mencari musuh di dalamnya. Malah fungsi tersebut adalah terhad dimana anda perlu menyerang pemain lain dahulu dan pemain tersebut perlu membalas kembali untuk memulakan sesi pemain lawan pemain tersebut.

Walaupun begitu, daya tarikkan Fallout 76 terhenti setakat itu sahaja dan fungsi multi-pemain di dalam permainan ini sememangnya menarik jika dilihat secara sekali imbas. Namun, dengan kebanyakkan pemain-pemain lain hanyalah melakukan perkara mereka sendiri dan mungkin mereka sendiri mempunyai sekumpulan kawan bersama mereka, bermain permainan ini tanpa sebarang teman sememangnya agak membosankan.

Kesimpulan

Fallout 76 adalah satu konsep permainan yang sangat menarik oleh Bethesda Softworks. Namun, ianya gagal dari pelaksanaan pembangun sehingga membuatkan permainan ini berasa sangat bosan dan kosong. Pilihan pembangun untuk membuang watak-watak NPC dan memfokuskan misi dengan hanya melalui pita Holotape, membuatkan permainan ini berasa terlalu berlainan dengan siri Fallout lain.

Tambahan itu, prestasi permainan ini yang sangat teruk walaupun di konsol Xbox One X dicampur enjin permainan yang agak ketinggalan zaman, ianya membuatkan permainan ini berasa sangat kuno jika nak dibandingkan dengan permainan-permainan terkini yang dilancarkan oleh syarikat lain.

Bethesda sebelum ini juga mengumumkan bahawa mereka akan mengemaskini permainan ini untuk membaiki masalah-masalah yang terdapat di dalamnya. Tetapi pada pendapat saya, ianya terlalu lambat dan ini adalah permainan yang paling mengecewakan yang pernah saya mainkan untuk tahun ini.

Penafian: Kod ulasan untuk Fallout 76 disediakan oleh Bethesda Softworks.

Sohor Kini