Jika disebut permainan Tetris, sudah pasti anda mengingati permainan Brick Game, iaitu satu peranti mudah-alih yang sering dijual di jalanan mahupun kedai-kedai elektronik suatu ketika dahulu. Kenangan bermain Tetris di peranti tersebut sudah pastinya sesuatu yang manis dengan bentuk permainan yang ringkas namun sangat mencabar.

Terkini, Tetsuya Mizuguchi, dimana beliau terkenal dengan permainan seperti Rez dan Lumines, menghasilkan satu permainan baru dibawah syarikat Enhance Games, iaitu Tetris Effect secara esklusif di Playstation 4 dan ia dilancarkan pada 9 November 2018 lepas.

Tetris Effect secara asasnya merupakan permainan Tetris, namun ianya mempunyai kelainan yang tersendiri dengan sentuhan Tetsuya Mizuguchi dimana permainan ini bukan sahaja boleh dimainkan secara biasa melalui Playstation 4, malah ianya juga menyokong mod realiti-maya melalui Playstation VR.

Nama permainan Tetris Effect tersebut juga di ambil daripada fenomena nyata yang mana juga dipanggil dengan nama yang sama, iaitu efek Tetris, kesan daripada pemain yang bermain permainan Tetris terlalu lama. Selain itu, menurut Tetsuya Mizuguchi, Tetris Effect merupakan permainan impian beliau yang asalnya beliau ingin bangunkan permainan muzik berdasarkan Tetris. Namun projek tersebut tergendala akibat lesen permainan Tetris dipegang oleh Electronic Arts.

Namun setelah beberapa tahun, Tetsuya Mizuguchi akhirnya berjaya mendapat lesen bagi Tetris setelah berbincang bersama Henk Rogers, iaitu pengasas The Tetris Company untuk melancarkan permainan Tetris Effect.

Memandangkan permainan ini hanyalah sebuah permainan Tetris, ianya juga tidaklah mempunyai sebarang penceritaan mahupun bentuk naratif. Akan tetapi, permainan ini sememangnya mempunyai mod solo yang dipanggil mod Journey yang akan saya terangkan di bahagian kawalan permainan.

Grafik

Dari segi grafik, permainan Tetris Effect sememangnya tidaklah mempunyai visual yang begitu terperinci. Bagi anda yang pernah bermain permainan oleh Tetsuya Mizuguchi yang lain, anda pasti tidak akan terkejut dengan visual yang dipaparkan di dalam permainan ini.

Seperti permainan Rez, Tetris Effect menekan bentuk visual efek seperti efek-efek cahaya ataupun organik yang sangat menarik. Apa yang mengasyikkan adalah permainan ini memaparkan pelbagai bentuk visual yang berlainan dimana sepanjang sesi permainan ini, permainan ini sering menukar papan visual untuk permainan Tetris tersebut mengikut peringkat.

Contohnya, terdapat satu tema Mesir yang mana ianya memaparkan bentuk blok Tetromino bertemakan padang pasir, bersama-sama latar belakang padang pasir bersama unta. Terdapat juga rekaan seperti berada di dalam air dimana terdapat ikan lumba-lumba berenang-renang di latar belakang permainan tersebut.

Sememangnya visual permainan Tetris Effect adalah sangat menarik dengan pelbagai kesan pencahayaan yang sangat berbeza. Bukan sahaja ianya kelihatan sangat memujakan, malah setiap kali pemain menyelesaikan satu barisan Tetris tersebut, setiap visual pergerakkan akan bergerak mengikut rentak muzik bersama-sama bentuk permainan yang dimainkan oleh pemain.

Namun begitu, kesan daripada efek yang pelbagai juga memberi kesan negatif seperti efek-efek tersebut agak mengganggu saya ketika sesi permainan. Sememangnya ianya tidaklah merosakkan permainan mahupun menyebabkan saya terus kalah peringkat permainan, namun ketika saat genting seperti saat-saat blok Tetromino saya semakin sukar untuk diselesaikan, terdapat sebilangan efek yang membuat saya berasa sukar untuk selesaikan barisan permainan Tetris seperti visual cahaya yang terlalu terang ataupun kesan-kesan latar belakang yang mengganggu konsentrasi saya.

Akan tetapi, ini hanyalah subjektif dimana ia terkesan mengikut pemain dan mungkin anda sendiri yang bermain berupaya untuk tumpu sepenuhnya di dalam permainan tersebut. Meskipun begitu, ketika saya sendiri bermain permainan ini, saya dapati visual efeknya agak keterlaluan.

Sebaliknya pula jika dimainkan melalui bentuk realiti-maya dimana visual-visual dan kesan efek yang terdapat di dalam permainan ini lebih menarik untuk dilihat. Untuk keterangan lanjut berkenaan mod realiti-maya, akan saya kongsikan di ruangan di bawah.

Audio

Audio dan muzik buat Tetris Effect sudah menjadi salah satu kenapa anda perlu bermain permainan ini. Pada pendapat saya ianya adalah satu karya seni di mana muzik-muzik dan kesan bunyi audio yang terdapat di dalam permainan ini adalah sangat menakjubkan.

Bukan sahaja setiap rekaan pentas permainan yang berbeza mempunyai muziknya tersendiri, malah kesan efek bunyi seperti ketika pemain memusingkan blok Tetromino tersebut juga dihasilkan dengan begitu baik sekali.

Muzik di dalam Tetris Effect juga memainkan peranan yang sangat penting untuk keseluruhan permainan ini dimana setiap bunyian dan muzik diterjemahkan melalui bentuk permainan. Contohnya, jika terdapat saat dimana muzik itu perlahan, kelajuan blok Tetris untuk jatuh ke bawah juga adalah lebih perlahan. Sebaliknya pula jika muzik permainan ini lebih rancak, dimana ianya akan memberi kesan terhadap kelajuan blok Tetris tersebut dengan lebih laju dan lebih mencabar.

Ini juga membuahkan satu sistem kawalan permainan yang sangat menyegerak antara audio dan keseluruhan permainan tersebut sekaligus menempatkan ia satu permainan yang sangat seronok untuk dimainkan.

Kawalan Permainan

Secara asasnya, Tetris Effect hanyalah sebuah permainan Tetris. Sekaligus, dari segi bentuk permainan, ianya tidaklah mempunyai satu bentuk yang begitu unik. Namun begitu, apa yang membuat Tetris Effect sangat menarik adalah bentuk audio yang diterangkan saya di atas. Ianya bukan sahaja menghasilkan satu bentuk permainan yang baru, malah saya berasa Tetris Effect merupakan satu evolusi permainan Tetris dan ia mengembangkan lagi konsep permainan asal Tetris kepada satu bentuk permainan yang baru.

Namun, bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan permainan Tetris, secara asasnya blok atau kotak tersebut dikenali sebagai Tetromino ataupun Tetrimino. Ianya adalah gabungan empat kotak dimana ianya menghasilkan pelbagai bentuk yang berbeza. Melalui permainan Tetris, blok-blok Tetromino akan jatuh secara rawak, satu per satu dan pemain perlu menyusun blok tersebut sehinggalah ianya menjadi satu barisan. Setiap kali barisan tersebut terhasil, ianya akan menghilangkan barisan tersebut dan pemain akan mendapat markah berdasarkan jumlah barisan yang pemain hilangkan.

Walaupun begitu, Tetris Effect tidaklah terhad kepada satu mod permainan sahaja dimana melalui permainan ini, Enhance Games menyedia dua mod utama iaitu mod Journey dan mod Effect. Kedua-dua mempunyai dua bentuk permainan yang berbeza dimana mod Journey adalah seakan mod permainan secara solo manakala mod Effect lebih kepada mod cabaran buat pemain.

Melalui mod Journey, pemain akan bermain permainan Tetris mengikut peringkat dimana setiap satunya mempunyai rekaan pentas permainan yang berbeza. Ini bukan sahaja menghasilkan satu pengalaman yang sangat unik setiap kali bermain, malah ianya juga memberi kepuasan yang pelbagai buat saya untuk mengharungi setiap cabaran yang diberi. Tambahan itu, setiap peringkat tersebut juga mempunyai muzik dan efek audio tersendiri yang pasti akan memberi pengalaman yang sangat mendalam setiap sesi peringkat permainan tersebut.

Terdapat 27 jumlah peringkat permainan sahaja yang terdapat di dalam mod Journey, namun bagi saya ianya sudah cukup untuk mengisi kegilaan saya terhadap permainan Tetris. Tambahan itu, seperti yang saya katakan berkenaan rekaan dan audio setiap peringkatnya tersendiri, kesan daripada itu ianya juga mempunyai tahap cabaran yang berbeza.

Ini kerana cabaran setiap peringkat di dalam Tetris Effect adalah mengikut rentak muzik, seperti yang saya terangkan diatas. Semakin rancak ataupun laju sesuatu muzik latar di dalam peringkat permainan tersebut, semakin sukar dan laju blok Tetromino tersebut.

Namun, untuk memudahkan sesi permainan tersebut, Enhance Games juga menyertakan satu fungsi baru yang dipanggil Zone, dimana melalui fungsi ini pemain berupaya untuk memperlahankan masa dan mengumpul barisan yang lengkap. Penggunaan fungsi ini adalah terhad dan ianya hanya boleh digunakan setelah meter Zone tersebut penuh. Untuk memenuhkan meter Zone tersebut, pemain hanyalah perlu menyelesaikan barisan Tetromino, dan ianya akan meningkat secara berperingkat. Namun fungsi Zone hanya boleh digunakan ketika mod Journey sahaja.

Melalui mod Effect pula, ianya merupakan satu mod khas yang mana ia lebih memfokuskan bentuk cabaran yang pelbagai buat pemain. Mod Effect menyediakan beberapa bentuk permainan yang berbeza seperti Mystery, All Clear ataupun bentuk Marathon. Terdapat juga beberapa bentuk seperti bentuk rancak ataupun bentuk relaks buat mereka yang ingin bermain tanpa sebarang cabaran ataupun hanya mahu bermain secara ‘relaks’.

Setiap bentuk yang disediakan melaluinya mempunyai beberapa bentuk cabaran yang berbeza, contohnya seperti bentuk Mystery, permainan ini akan membawa pemain ke dalam permainan Tetris dengan pelbagai cabaran yang diubah setiap kali pemain menyelesaikan sebilangan barisan. Seperti contohnya, terdapat cabaran yang mana permainan ini akan menterbalikkan skrin permainan dimana ianya memberi kesukaran yang sangat mencabar buat pemain kerana kawalannya yang terbalik bersama-sama dengan arah blok Tetromino yang berlawanan.

Sepanjang mod ini juga, ianya mengembangkan lagi permainan Tetris Effect yang pasti buat mereka yang menyukai permainan Tetris, akan menyukai kepelbagaian yang disediakan melalui mod ini.

Selain itu, Enhance Games juga menyediakan acara mingguan setiap minggu di dalam permainan Tetris Effect dimana ianya memfokuskan misi komuniti buat pemain di seluruh dunia. Sememangnya permainan ini tidak mempunyai sebarang mod multi-pemain, akan tetapi mereka masih lagi menyediakan mod atas-talian yang memfokuskan permainan secara komuniti.

Melaluinya, Enhance Games akan menyediakan beberapa ganjaran seperti avatar atau pentas permainan baru buat pemain jika mereka melengkapkan misi tersebut. Misi komuniti tersebut sering diadakan ketika hujung minggu bermula jam 7:30 malam hari Sabtu sehinggalah 7:30 malam hari Ahad.

Bercakap berkenaan avatar, pemain juga berupaya untuk menukar avatar dan muzik melalui mod Effect. Selain itu, fungsi Orbit yang terdapat di dalam permainan ini juga membenarkan pemain untuk meneroka kawasan ataupun negara mana yang mempunyai pemain Tetris Effect yang ramai disamping melihat avatar-avatar ataupun tahap pemain lain

Mod Realiti-Maya (VR)

Tetris Effect sememangnya dibangunkan untuk dimainkan melalui Playstation VR. Walaupun permainan ini boleh dimain secara bersahaja, tanpa Playstation VR, tapi pada pendapat saya, mod secara realiti-maya adalah mod yang harus anda main bersama permainan ini.

Ini kerana, ianya membuka satu pengalaman yang lebih immersif buat saya bukan kerana sebabkan muzik, malah efek dan kesan visual yang dipaparkan sangat memukau.

Mungkin ramai akan berpendapat bahawa bermain permainan ini secara realiti-maya akan memberi kesan khayal, akan tetapi bagi saya ianya adalah satu kesan khayal yang sangat positif. Seperti yang saya terangkan di dalam bahagian grafik diatas, melalui mod realiti-maya, ianya dikembangkan dengan lebih meluas.

Sepanjang saya bermain secara realiti-maya saya dapati visual grafik yang lebih menarik bagi saya dan keseluruhan sesi permainan saya lebih seronok. Ini juga mungkin disebabkan ruangan immersif yang dihasilkan secara realiti-maya yang membuatkan saya mendalami permainan ini dengan lebih mendalam.

Tambahan itu, apa yang saya perasan adalah masalah visual grafik yang mengganggu yang saya katakan di atas, tidak lagi memberi kesan yang besar ketika saya bermain secara realiti-maya. Namun, ini juga adalah subjektif mengikut pemain.

Rumusan

Secara keseluruhannya, Tetris Effect adalah permainan yang sangat menarik. Bukan sahaja ianya mengubah bentuk klasik permainan Tetris kepada satu yang lebih menarik, malah pada pendapat saya permainan ini adalah evolusi permainan Tetris yang perlu dilakukan untuk mengembangkan lagi permainan klasik tersebut untuk pemain moden.

Dalam pada itu bentuk realiti-maya yang mengasyikkan bersama visual efek dan audio yang menyegerak, sentuhan Tetsuya Mizuguchi untuk permainan tekaria bersama muzikal sememangnya memberi kesan yang sangat memberansangkan dan saya boleh katakan ini adalah permainan Tetris terbaik pernah saya mainkan.

Tetris Effect sememangnya satu pengalaman yang sangat menghayalkan bagi saya, namun khayalannya adalah satu khayalan yang sangat positif dan pasti akan membuat saya terus bermain permainan Tetris Effect tanpa henti.

Penafian: Kod ulasan untuk Tetris Effect disediakan oleh PlayStation Asia.

Sohor Kini