Informasi Permainan Video Terkini
AirAsia Saiyan Melepaskan Kesemua Pemain Selepas Persetujuan Kedua-Dua Pihak

AirAsia Saiyan Melepaskan Kesemua Pemain Selepas Persetujuan Kedua-Dua Pihak

Diterbitkan pada November 8, 2018 oleh .

Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan di laman Facebook mereka, AirAsia Saiyan (ASYN) iaitu antara pasukan e-sukan Mobile Legend terbaik di Malaysia mengumumkan mereka melepaskan kesemua pemain mereka iaitu Ahmad Fuad(Fredo), Mohd Farid(Soloz), Herwin(Rush), Andi Alfian(Gripex), Abdul Wandi (Logan) dan Sofian(Penjahat). Pengurus pasukan tersebut iaitu Ben Kian Jin (Jinzy) turut dilepaskan.

Namun, di penulisan yang sama, ASYN mengatakan ia bukanlah pengakhiran untuk mereka dan akan mengumumkan rancangan lanjut untuk pasukan tersebut.

Berdasarkan perkongsian oleh Mariah Ahmad di laman Facebook beliau, Jeffery Chan iaitu pengurus ASYN mengatakan keputusan ini dibuat selepas setiap pemain telah menyuarakan rasa tekanan bermain untuk satu pasukan yang berjenama besar. Tambah beliau lagi, ada di antara pemain yang akan memfokuskan kepada strim langsung dan akan berehat.

ASYN terbina selepas Air Asia mengambil alih Team Saiyan pada bulan Mac lepas yang merupakan pasukan asal untuk setiap pemain tersebut, jadi kami tidak pasti apa yang akan berlaku kepada ASYN selepas ini. Terutama ramai yang mengenali ASYN adalah kerana pemain asal mereka.

Ini merupakan satu berita yang agak mengecewakan, namun kesihatan mental merupakan satu perkara yang sering terlepas pandang di dalam industri e-sukan. Kami di Aksiz berharap yang terbaik untuk setiap pemain serta ASYN sendiri.


TIPS & ULASAN