Wakil Malaysia, Team Rey Young, mengakhiri saingan sulung mereka dalam kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Women’s International 2026 (MWI 2026) dalam kelompok lapan terbaik selepas berjaya melangkah ke peringkat suku akhir di Paris. Kejohanan yang dianjurkan bersempena Esports World Cup 2026 (EWC) itu menyaksikan langkah wakil negara terhenti selepas melepasi pusingan peringkat kumpulan.

Team Rey Young mengesahkan tempat ke suku akhir menerusi dua kemenangan berturut-turut 2–0 di peringkat kumpulan sebelum perjuangan mereka terhenti di pusingan lapan terbaik. Pasukan ini memulakan laluan ke Paris selepas menjuarai peringkat kelayakan tempatan di Malaysia menerusi kejohanan RedOne MLBB Ladies International Invitational.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, jurulatih Team Rey Young, Divaan ‘Frost’ Nagaraju, menyifatkan penyertaan sulung ini sebagai platform pembelajaran yang sangat bermakna buat pasukannya. Beliau menjelaskan bahawa pendedahan bertanding di peringkat antarabangsa memberi ruang untuk meneroka pelbagai perkara baharu, berinteraksi dengan pasukan luar, serta bertukar pandangan yang memberikan impak positif kepada pembangunan pasukan. Frost turut menyuarakan harapan agar lebih banyak kejohanan khusus untuk arena wanita dapat dianjurkan pada masa akan datang, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Saingan perlawanan akhir MWI 2026 pula menyaksikan organisasi esukan Perancis, Team Vitality, mempertahankan gelaran juara buat kali keempat selepas menewaskan Natus Vincere PH (NAVI PH) dengan keputusan 4–2. Kejayaan itu membolehkan Team Vitality membawa pulang hadiah wang tunai AS$150,000 serta 1,000 mata Kejohanan Kelab.
Pemain Team Vitality, Viorelle “Vival” Chen, turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) SONY dan membawa pulang hadiah tambahan $25,000. Manakala tempat ketiga disandang oleh Geltik Cyber Team selepas menewaskan Galaxy Phoenix 3–0 untuk membawa pulang hadiah wang tunai $50,000 dan 500 mata Kejohanan Kelab.


