The Missing: J.J Macfield and the Island of Memories boleh dikatakan permainan yang mungkin terlepas pandang oleh ramai pemain. Walaupun diarah oleh Hidetaka Suehiro atau lebih dikenali sebagai SWERY yang mengarah permainan seperti Deadly Premonition, permainan ini kurang diperkatakan sehinggalah ia dikeluarkan pada 11 Oktober 2018.

Dibangunkan oleh White Owls yang diketuai oleh SWERY sendiri dan diterbitkan oleh Arc System Works untuk Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC. Selepas dikeluarkan, ramai yang mula bercakap mengenai keganjilan permainan ini. Berikut adalah ulasan penuh saya untuk permainan ini.

Cerita

Permainan ini bermula dengan keadaan yang biasa dengan persekitaran yang ceria, dua orang sahabat iaitu J.J. dan Emily sedang bergelak tawa menaiki sampan untuk menuju ke pulau Memoria. Pulau Memoria tersebut di katakan mempunyai pelbagai artifak lama yang membuatkan pulau tersebut berkuasa untuk menyedarkan memori pengunjung. Penduduk asal tempat itu memanggilnya sebagai A’Lapo Grymo atau tempat untuk mencari yang hilang.

Semua berubah apabila mereka berada di pulau tersebut, Emily secara tiba-tiba menghilangkan diri dan permainan bermula dengan J.J. mengembara untuk mencari rakannya itu. Penceritaan semasa pengembaraan J.J. dilakukan dengan menggunakan pelbagai perlambangan seperti watak-watak yang pelik, dunia yang aneh serta bentuk permainan yang mengerikan. Pada permulaan, pemain mungkin tidak memahami apa yang berlaku. Walaupun kebanyakannya perlambangan dan penceritaan tersebut tidak difahami dan membuatkan anda tertanya apakah ia mempunyai sebarang maksud di sebaliknya, ia masih mengekalkan saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Selain memfokuskan kepada pengembaraan tersebut, permainan ini juga menyentuh cerita mengenai perhubungan J.J. dengan Emily, emaknya, rakan-rakannya yang lain serta seorang pensyarah. Menariknya, penceritaan tersebut hanya diperlihatkan melalui perbualan di antara J.J. dan watak-watak lain melalui mesej di telefon pintarnya. Ia akan hadir secara selingan semasa pemain bermain. Teks mesej antara J.J dan emaknya yang merupakan penceritaan utama akan bertambah apabila pemain mencapai sesuatu bahagian di dalam permainan dan tidak akan terlepas. Manakala, teks mesej J.J. dengan rakan-rakannya yang lain serta pensyarah hanya bertambah apabila mengumpul collectible dan anda mungkin terlepas jika tidak mengumpulnya dengan cukup.

Perhubungan di antara J.J. dengan Emily dan emaknya merupakan bahagian penting penceritaan dan ia banyak menyentuh dinamik perhubungan antara mereka dan memperlihatkan pelbagai permasalahan. Manakala perhubungan J.J. dengan rakan-rakannya dan pensyarah lebih kepada penceritaan sampingan tetapi agak menarik untuk lebih mengetahui mengenai perwatakan J.J.

Apabila pemain semakin menghampiri pengakhiran, penceritaan mula terbuka dan pemain akan memahami serba sedikit apa yang sedang berlaku. Kesemuanya akan lebih jelas apabila permainan berakhir. Bagi saya, permainan ini membawa satu penceritaan yang berat tetapi dilakukan dengan sangat ganjil menjadikannya sangat menarik.

Permainan ini membawa satu penceritaan yang sudah semestinya akan menjadi topik perbualan ramai dan mungkin ada yang mempunyai pendapat yang berbeza. Namun, saya merasakan walaupun ada bahagian yang mungkin tidak selari dengan kepercayaan sesetengah orang, tetapi bahagian kemanusiaan adalah sesuatu yang kita semua boleh terima tidak kira apa kepercayaan dan pegangan kita. Seperti yang diperkatakan pada awal permainan, permainan ini dihasilkan dengan kepercayaan yang tidak salah untuk menjadi diri sendiri.

Bentuk Permainan

Di awal permainan ini, anda akan merasakan yang permainan ini tampaknya mengambil inspirasi daripada permainan yang dibangunkan oleh Playdead iaitu Limbo dan Inside. Bentuk permainan utama adalah mengembara secara side scrolling dan perlu melepasi pelbagai halangan serta tekaria yang harus diselesaikan untuk bergerak ke kawasan yang seterusnya.

Limbo dan Inside mempunyai keunikan serta keganjilan mereka sendiri, namun, tiada yang dapat menandingi permainan ini. Semakin lama anda bermain atau semakin jauh anda mengembara, semakin berbeza permainan ini untuk dibandingkan dengan dua permainan tersebut.

Di dalam permainan ini, J.J. akan terbakar, terputus tangan, terputus kaki, terpotong seluruh badan sehinggakan hanya kepala sahaja yang tinggal, terkena kejutan elektrik serta terhempap kepala. Ia berlaku kerana kesilapan yang saya lakukan semasa cuba melalui satu halangan dan ia juga akan berlaku kerana saya harus melakukannya.

Ya, di dalam permainan ini anda perlu melakukan kesemua perkara yang akan memberi kesakitan kepada watak J.J. untuk memastikan anda melepasi segala halangan yang diberikan oleh permainan ini. J.J. mempunyai kebolehan untuk kembali pulih, walau seteruk mana kecederaannya. Hanya apabila kesemua bahagian badan J.J. hancur sahaja, anda akan ‘mati’ dan permainan akan bermula dari simpanan terakhir.

Keunikan bentuk permainan ini yang menjadikan The Missing adalah satu permainan yang segar dan pada masa sama sangat mengerikan. Saya sendiri tidak dapat bermain secara terus kerana melihat watak J.J. terus cedera serba sedikit memberi kesan kepada saya. Jika anda menggemari perkara ini, mungkin anda akan lebih seronok melakukannya. Psiko.

Saya tidak akan terangkan secara lanjut mengenai bagaimana ia akan berlaku, kerana sebahagian keseronokan permainan ini adalah menjumpai sendiri bagaimana setiap kecederaan tersebut boleh membantu anda untuk melalui halangan dan menyelesaikan pelbagai tekaria. Pada permulaan saya merasakan kesemua ini dilakukan tanpa mempunyai sebab dan sekadar untuk menjadikan permainan ini menarik, namun apabila saya menghabiskan permainan ini, ia membawa satu pengertian yang sangat menarik dan terbuka untuk diterjemahkan oleh pemain sendiri.

Halangan dan tekaria yang disediakan di dalam permainan ini, jika ingin dibandingkan permainan seperti Inside dan Limbo, ia lebih mencabar. Namun, tidak terlalu sukar yang memerlukan untuk saya perlu ‘Google’ bagi mencari jalan penyelesaiannya. Ia mungkin sukar untuk difahami pada permulaan halangan atau tekaria tersebut akan tetapi selepas meluangkan sedikit masa mencuba, saya akan terus memahaminya dan dapat menyelesaikannya dengan segera.

Ada juga beberapa tempat yang memerlukan platforming, dan ini sedikit memberikan kesukaran kepada saya. Pertamanya kerana saya tidak mahir bentuk permainan tersebut dan kedua sistem simpanan permainan ini adalah tidak tetap. Anda mungkin perlu bermula jauh di belakang selepas mati, dan agak membosankan apabila perlu dilakukan terlalu kerap.

Seperti yang saya perkatakan di dalam bahagian Cerita, untuk mendapat teks mesej baharu anda perlu mengumpul collectible, dan collectible ini adalah dalam bentuk donat. Ia mungkin agak aneh, tetapi melalui penceritaan anda akan mengetahui kenapa donat digunakan. Untuk mengumpul donat ini, anda perlu menyelesaikan halangan lain dan anda mempunyai pilihan untuk tidak melakukannya. Selain membuka teks mesej baharu, ia juga akan membuka galeri (menyertakan lukisan-lukisan untuk permainan ini) dan Cheat yang merupakan kostum lain yang boleh di pakai oleh watak J.J.

Secara keseluruhan, saya menghabiskan permainan ini dalam masa 6 jam. Saya lebih memfokuskan untuk menghabiskan permainan ini dan tidak sangat cuba untuk mengumpul kesemua 271 donat yang terdapat, pada pengakhiran permainan saya hanya mengumpul 189. Jika anda ingin mengumpul kesemua Donat, saya jangkakan ia akan mengambil masa dari 3 sehingga 4 jam lebih lama.

Grafik

Mengekalkan tema seperti penceritaan dan bentuk permainan, permainan ini juga menyertakan arahan seni yang pelik. Ia menggunakan rekaan watak seperti watak anime dan persekitaran yang menyeramkan. Namun, ada tempat ataupun bahagian yang pemandangan dibuat dengan warna yang terang yang menjadikan permainan ini tidak terlalu mendatar.

Rekaan watak J.J serta Emily adalah seperti watak-watak anime dan sangat ceria. Manakala rekaan penjahat pula sangat berbeza kerana ia sangat menyeramkan yang memberikan sesuatu yang sangat kontra dengan rekaan watak J.J. Gabungan ini menjadikan permainan ini sangat unik.

Dari segi grafik, ia tidaklah berkualiti tinggi, namun bersesuaian dengan keperluan permainan ini. Saya bermain permainan ini menggunakan Playstation 4 Pro dan sesetengah bahagian kelancaran terganggu menyebabkan ia tersangkut-sangkut namun tidak kerap dan hanya sementara. Perkara-perkara yang boleh digunakan akan mempunyai warna kuning untuk memudahkan saya menyelesaikan halangan dan tekaria.

Segala kecederaan yang saya terangkan di dalam bentuk permainan, dilakukan dengan ringkas tetapi masih memberi kesan. Pada permulaan perkara-perkara tersebut berlaku, saya sentiasa terkejut kerana tidak percaya apa yang saya lihat di paparan skrin. Saya yakin anda juga akan terkejut, melainkan anda adalah psiko.

Audio

Sesuatu yang saya boleh katakan ‘normal’ di dalam permainan ini adalah bunyi latar serta muzik latar yang digunakan. Permainan ini terjadi di sebuah pulau yang merupakan kawasan perhutanan, bunyi-bunyi serangga, hujan, ribut petir, aliran air serta pelbagai lagi bunyi yang menemani J.J. semasa beliau mengembara sangat tepat dengan persekitaran yang menjadikan ia lebih mendalam.

Walaupun sepanjang masa pengembaraan hanya terdengar bunyi latar, ada juga di sesetengah bahagian yang permainan akan menggunakan muzik latar. Setiap bahagian tersebut mempunyai muzik latar yang sangat bersesuaian dengan keadaan serta emosi yang cuba disampaikan.

Permainan ini tidak mempunyai banyak dialog, kerana kebanyakan penceritaan berlaku melalui teks mesej. Namun, lakonan suara untuk J.J. serta Emily dilakukan dengan baik walaupun ringkas.

Rumusan

Akhir kata, The Missing adalah satu permainan yang mempunyai jalan cerita yang menarik dan walaupun penyampaian yang diberikan adalah pelik tetapi ia tetap mengujakan. Topik yang dibawa adalah sangat penting dan harus dijadikan sebagai satu isu yang perlu dibahaskan walaupun di luar permainan.

Bentuk permainan yang disertakan adalah sesuatu yang anda boleh jangka untuk genre permainan ini, akan tetapi dengan rekaan yang agak mengerikan memberikan permainan ini satu kelainan berbanding permainan-permainan lain.

Bagi grafik, walaupun mempunyai sedikit masalah kelancaran akan tetapi rekaan watak J.J yang ceria dan watak penjahat yang menyeramkan menjadikan ia kombinasi yang menarik dan unik. Manakala bunyi latar dan muzik latar sangat digunakan dengan tepat untuk persekitaran serta emosi yang cuba disampaikan.

Berharga RM109 untuk permainan yang durasinya kurang pada 10 jam mungkin agak mahal untuk sesetengah pemain. Bagi saya berdasarkan pengalaman yang diberikan oleh permainan ini serta penceritaan yang mendalam saya sangat mengesyorkan anda mencubanya walaupun pada harga tersebut.

Sohor Kini