Selepas setahun Origins dilancarkan. kini tiba giliran Assassin’s Creed Odyssey pula menemui peminat siri yang kini sudah 11 setahun dilancarkan. Dalam masa lebih sedekad ini, 21 permainan telah dihasilkan. Di kalangan peminat, sebab utama AC diminati adalah kerana ia memberikan sejarah alternatif dunia di mana keikhwanan pembunuh upahan menentang golongan Templar.

Dengan Origins tahun lalu, kita kembali ke 49 sebelum Masihi untuk melihat bagaimana Bayek memulakan keikhwanan. Dengan Odyssey pula, kita kembali lebih jauh ke belakang pada tahun 413 sebelum Masihi. Persoalannya ialah jika Bayek menubuhkan “Assassins”di Mesir, apakah kaitan Odyssey serta tamadun Yunani dengan keseluruhan jalan cerita AC selama ini? Bagi menjawab soalan ini dan mengetahui sama ada permainan ini berbaloi untuk dibeli sila baca ulasan penuh kami di bawah.

Cerita

Seperti kami katakan di atas, cerita Odyssey bermula pada tahun 413 sebelum Masihi ketika zaman Yunani kuno. Tidak seperti permainan terdahulu, pemain perlu memilih jantina watak yang ingin dikawal. Watak lelaki Alexios adalah abang kepada watak wanita Cassandra. Berdasarkan watak yang dipilih, jalan cerita yang sama boleh dimainkan cuma dengan pertukaran watak protagonis dan antagonis. Tanpa mengira jantina yang dipilih, pemain akan menjadi seorang misthios iaitu askar upahan yang mengembara ke seluruh Yunani untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Mungkin ada di antara pembaca yang mengatakan AC Syndicate terlebih dahulu memberikan pilihan watak lelaki dan wanita dengan kembar Frye. Perbezaan dengan Odyssey ialah hanya satu watak yang dipilih boleh dikawal pada satu-satu masa. Pilihan dua watak ini tidak mengejutkan kerana Odyssey dan Syndicate kedua-duanya dibangunkan oleh Ubisoft Quebec.

Dari segi jalan cerita, Odyssey ialah permainan yang paling sesuai dimainkan bagi mereka yang ingin mencuba AC buat pertama kali kerana keperluan untuk mengetahui sejarah dari permainan terdahulu. Dari sudut pandangan pemain baharu, mereka boleh menikmati jalan cerita tanpa kekeliruan perlu mengetahui siapakah Bayek, Evie Frye, Arno Dorian, Kenway. Ezio atau Altair.

Sebaliknya cerita bermula dengan pertempuran 300 askar Sparta di Thermopylae. Tombak Raja Leonidas adalah senjata mistik yang jatuh ke tangan keluarga Alexios dan Cassandra. Watak yang dikawal cuba mencari sebab mengapa mereka adalah insan istimewa yang boleh mengesan susur galur mereka ke peradaban Atlantis yang hilang dari muka bumi.

Kami tidak boleh menulis dengan lebih terperinci mengenai jalan cerita Odyssey tanpa membeberkannya (spoiler) kepada anda. Apa yang boleh kami katakan ialah jalan ceritanya sama sahaja seperti AC II dan Brotherhood dimana protagonis mengetahui rahsia keluarga yang berkaitan dengan The First Civilisation yang memainkan peranan di dalam kesemua permainan AC sebelum ini.

Masih terdapat jalan cerita di dunia moden di mana Layla Hassan cuba memburu objek mistik The First Civilisation sebelum ia jatuh ke tangan Abstergo. Tidak seperti permainan terdahulu, hanya sebahagian kecil permainan di dunia sebenar dipaparkan di dalam Odyssey. Ubisoft mendengar input pemain secara majoritinya tidak lagi peduli dengan jalan cerita dunia moden selepas kematian Desmond Miles di dalam AC III.

Kerana anda mengawal seorang askar upahan, anda boleh memainkan watak sebagai budiman bermoral atau seorang insan yang kurang ajar. Perbezaan yang kami lihat apabila menjadi insan baik dan jahat ialah jumlah ganjaran yang diterima di akhir misi. Menjadi budiman bermoral tidak memberikan wang yang banyak tetapi meningkatkan kebarangkalian menerima gear yang berkualiti. Ganjaran wang lebih tinggi tanpa menerima gear dari NPC akan terjadi apabila menjadi watak jahat.

Dalam beberapa misi, perbuatan yang baik akan membolehkan NPC menjadi anak kapal Alexios/Cassandra. Watak-watak NPC ini kemudiannya memberikan bonus seperti serangan lebih kuat dan masam cool down yang lebih pendek. Perbuatan yang baik juga memastikan beberapa watak utama yang penting untuk jalan cerita akan kekal hidup di akhir permainan. Ini akan menetapkan pengakhiran permainan manakah yang akan diterima pemain. Ya buat pertama kali AC memberikan pengakhiran jalan cerita berbeza.

Masa untuk bercakap dengan pilihan “cinta” di dalam Odyssey. Kerana Odyssey kini sebuah RPG, terdapat pilihan dialog untuk bercinta dengan watak tertentu. Hubungan seksual boleh dilakukan tanpa mengira jantina watak yang dipilih. Kerap kali juga watak Alexios yang kami kawal menjadi buaya darat biseksual semata-mata untuk mendapatkan ganjaran lebih baik pasca misi kerana bercinta dengan NPC. Bagi mereka yang mungkin risau dengan adegan seksual anda tidak perlu risau kerana skrin menjadi gelap selap watak berkucup. Tiada babak lucah melampau seperti Hot Coffee GTA atau berbogel seperti di dalam siri The Witcher

Grafik

Saya memainkan keseluruhan permainan pada sebuah PlayStation 4. Dalam beberapa ulasan yang kami lihat di atas talian pengulas memberikan pujian yang tinggi pada kualiti grafik. Kami akui Odyssey sebuah permainan yang cantik tetapi tidak dapat memaafkan beberapa masalah grafik yang ditemui walaupun menerima tampalan versi 1.04.

Sebagai contoh setiap kali permainan ingin memainkan babak animasi, skrin menjadi gelap dan skrin loading akan terpapar selama beberapa saat. Ini menjengkelkan kerana pasca God of War, kami tidak lagi merasakan pemain perlu melihat skrin loading semata-mata untuk babak jalan cerita. Kejengkelan bertambah lagi apabila berubah dari skrin menu  ke skrin peralatan pemain juga memerlukan masa sekitar dua saat. Bayangkan pada menu juga pemain perlu menanti sebelum boleh melakukan sesuatu,

Tetapi dosa paling besar Odyssey terletak pada kadar framerate yang rendah ketika bertarung. Melawan satu watak ini mungkin disedari tetapi kerap kali Alexios/Cassandra akan menentang sehingga berpuluh watak di dalam satu skrin. Apabila ini terjadi kipas PlayStation 4 mula berbunyi seperti enjin jet ketika ingin berlepas. Dalam beberapa situasi skrin terhenti seketika sebelum bergerak semula. Masalah ini telah diperbaiki dengan versi 1.04 tetapi framerate pada PlayStation 4 masih tidak konsisten pada kadar 30FPS seperti yang dijanjikan.

Sungguhpun begitu kualiti grafik Odyssey memang menakjubkan terutamanya ketika babak jalan cerita. Memek muka watak adalah realistik begitu juga dengan pergerakan badan yang menggunakan sistem motion capture. Pertama kali kami tiba di Athens, kami kagum dengan kecantikan kota yang kini hanya wujud dalam bentuk runtuhan. Dunia dipenuhi watak NPC yang kelihatan hidup. Tidak seperti Origins, kesemua misi kini hadir dengan babak pendek tersendiri sama seperti yang ditemui pada Witcher 3,Fallout 4 dan Horizon Zero Dawn. Kami ucapkan syabas kepada Ubisoft kerana mendengar keluhan pengguna dan akhirnya memastikan setiap perbualan misi bukan sahaja kelihatan sinematik tetapi lebih interaktif.

Pujian kami berikan kepada kesan khas air yang mungkin paling realistik pernah kami lihat. Ombak laut di dalam Odyssey membuatkan ombak di dalam Black Flag kelihatan ketinggalan zaman. Ini membuatkan kami teruja dengan permainan Skull and Bones yang bakal dilancarkan. Kami yakin grafik laut di dalam permainan lanun ini juga akan kelihatan lebih cantik berbanding Odyssey apabila ia dilancarkan kelak.

Bentuk Permainan

Odyssey mengembangkan lagi sistem RPG yang diperkenalkan pada Origins. Ini berita baik bagi peminat Origins dan RPG tetapi mengecewakan mereka yang lebih meminati AC versi lama. Setiap watak mempunyai tahap sendiri yang membuatkan mereka lebih sukar dikalahkan. Tiada lagi One Shot Kill untuk setiap musuh di dalam dunia AC. Kami terasa sedikit berbelah bagi dengan Odyssey kerana pertama sekali kami meminati AC sejak 2011 dan merasakan bentuk permainan asal adalah lebih mudah dimainkan kerana kurang kompleks.

Pengenalan elemen RPG membuatkan watak dan gear perlu kerap ditambah baik. Ini memerlukan wang, bahan mentah dan XP dikumpul dengan banyak. Misi-misi tertentu hanya boleh diambil apabila watak pada tahap tertentu. Jika pemain mencuba juga misi yang mempunyai tahap minimum yang tinggi, watak yang dikawal boleh dibunuh dengan hanya satu pukulan.

Pelbagai skill menarik yang boleh dipelajari juga ditawarkan. Antara yang paling menarik perhatian ialah anak panah yang boleh menembusi tembok dan kemampuan menjadi lutcahaya seperti Predator bagi memudahkan proses menyelinap ke dalam kawasan musuh. Skill yang telah dibeli ini juga boleh ditetapkan semula oleh pemain pada bila-bila masa sekiranya pemain ingin berubah dari seorang yang bermain secara stealth atau seorang yang ingin menentang secara berdepan. Jadi pemain tidak perlu risau tersalah membeli skill di awal permainan.

Dengan kata lain Odyssey ialah permainan yang memerlukan masa sekitar 65 jam untuk dihabiskan bukan kerana terdapat banyak misi tetapi kerana perlunya melakukan melakukan banyak XP Farming sehingga mencapai tahap memenatkan. Selepas 50 jam bermain kami mula terasa sedikit tepu. Misi akhir memerlukan watak sekurang-kurangnya di tahap 49 (dengan level cap permainan di tahap 50). Di Origins, untuk memainkan misi akhir pemain hanya perlu mencapai tahap 40 (ini dinaikkan ke 50 selepas tiga DLC). Kami bersetuju dengan pendapat umum ini membuatkan Odyssey permainan paling grindy dalam sejarah AC. Sungguhpun begitu tiada keperluan membeli booster pack yang ditawarkan oleh Ubisoft menggunakan sistem transaksi mikro.

Yang menyelamatkan Odyssey ialah misi-misi yang diberikan adalah menarik. Terdapat sistem Mercenary yang memburu pemain setiap kali mereka melakukan kekacauan di dunia Odyssey. Semakin banyak askar upahan lain yang dibunuh, tahap pemain di dalam tangga Mercenary akan meningkat sehingga mereka boleh menjadi raja segala misthios di Yunani. Ia seakan sistem Nemesis dari permainan Shadow of Mordor. Askar upahan baru akan dihasilkan oleh sistem secara rawak tanpa henti setiap kali seorang dibunuh.

Terdapat juga ahli kultus yang perlu dibunuh. Setiap ahli kultus perlu diburu seperti anda seorang detektif. Pelbagai petunjuk diberikan di seluruh peta permainan bagi mencari identiti mereka dan proses mencari ini amat menyeronokkan kerana memerlukan otak berfikir. Sebagai contoh petunjuk yang diberikan ialah insan tersebut tinggal di Athens. Dengan melakukan misi di Athens, beberapa petunjuk lain akan diterima sehinggalah lokasi sebenar beliau ditemui. Proses ini realistik tidak seperti AC terdahulu yang memberikan terus lokasi insan yang perlu dibunuh di atas peta.

Permainan turut memberikan pilihan untuk bermain dalam mod Guided atau Exploration. Dengan Guided lokasi musuh atau pemulauan misi akan diberitahu. Bagi mereka yang inginkan cabaran lebih realistik mod Exploration kami sarankan tetapi akan mengakibatkan masa permainan menjadi lebih lama. Pengguna perlu menghafal nama tempat di peta dan mencari musuh berdasaran pentujuk yang diberikan.

Peta yang bersaiz gergasi juga memberikan pelbagai pemandangan menarik dan kawasan untuk berlayar. Dari beberapa maklumat yang kami baca di atas talian, peta Odyssey adalah sekitar 40% lebih besar. Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan seperti melanun, memburu haiwan mistik dari legenda Yunani, kontrak membunuh dan banyak lagi.

Permainan mini yang paling seronok dilakukan ialah Conquest. Menerusi mod ini pemain boleh mengubah kerajaan yang memerintah kawasan di atas peta. Ini melibatkan pertarungan massal dengan 100 musuh di atas skrin. Objektif Conquest ialah membantai kesemua musuh di atas skrin sehingga mereka menyerah diri. Usai misi ini kawasan mungkin berpindah tangan (mengikut pasukan mana yang anda pilih) dan pemain menerima ganjaran gear berkualiti tinggi.

Bagi yang inginkan lebih banyak cabaran, perlawanan Gladiator di dalam stadium kembali di Odyssey. Kali ini pemain memasuki arena dengan senjata sendiri. Ini penambahbaikan yang amat kami hargai kerana di Origins senjata yang diberikan di dalam arena adalah terlalu lemah. Kami menggunakan arena Gladiator untuk melakukan farming pantas kerana ganjaran XP yang tinggi diberikan apabila memenangi pertandingan. Ia juga memudahkan pemain mempelajari sistem pertempuran baharu yang diperkenalkan.

Pertempuran kini terasa lebih organik, pantas dam menguji kecekapan. Pada AC terdahulu (termasuk Origins) pemain boleh menekan butang menghalang serangan yang sentiasa aktif. Alexios dan Cassandra tidak membawa perisai dan untuk menghalang serangan pemain perlu memastikan butang mengesampingkan serangan dilakukan pada waktu yang betul. Hasilnya setiap pertempuran menjadi unik dan apabila berjaya mengalahkan musuh pemain akan terasa mereka benar-benar diuji.

Serangan yang mengenai akan menaikkan adrenalin. Di dalam Odyssey adrenalin ialah mana yang digunakan untuk mengaktifkan gerakan khas dan skill tertentu. Kerana tiada elemen magis di dalam Odyssey, menyimpan adrenalin dan kemudian menggunakannya pada waktu genting memerlukan strategi yang baik terutamanya ketika menentang musuh tahap tinggi. Kami menyamakan sistem pertempuran Odyssey dengan Horizon Zero Dawn kerana kedua-duanya memberikan kepuasan yang tinggi.

Kelemahan sistem pertempuran yang menyebabkan watak AC selama ini terasa kurang seimbang dan sekadar menekan butang tidak lagi berlaku. Seperti kami katakan tadi, AC kini sebuah RPG sebenar. Gear yang baik dipadankan dengan penggunaan skill pada waktu tertentu akan membuatkan permainan terasa lebih seronok. Bagi mereka yang sukana permainan dengan sistem pertempuran yang kurang mencabar, Odyssey bukan untuk anda.

Audio

Muzik latar dihasilkan oleh Mike Georgiades. Kami tidak berapa mengenali beliau sebelum permainan ini tetapi muzik yang dihasilkan adalah menghiburkan. Terdapat runut lagu yang mengimbau kenangan muzik latar dari Black Flag, Brotherhood dan Origins. Satu perkara yang tidak pernah mengecewakan di dalam siri AC ialah muzik latar. Tahun demi tahun ia berjaya membuatkan permainan terasa epik.

Kesan bunyi juga baik. Menghentak kepala dengan belantan besi menjadi lebih nikmat dengan kesan bunyi yang “rangup”. Libasan pedang menghiris leher terasa cukup tajam. Hentaman kapal musuh menghasilkan dentuman yang menggegar diafragma.

Lakonan suara juga baik walaupun kami merasakan Alexios mungkin mempunyai suara yang terlalu menyerupai Ezio walaupun beliau dari Yunani bukan dari Itali. Setiap watak sampingan juga mempunyai lakonan suara yang meyakinkan. Satu kekurangan yang ingin kami sentuh ialah, di luar misi utama, pergerakan bibir watak dengan dialog yang diucapkan tidak tepat sehingga menyebabkan babak kelihatan sedikit kelakar.

Rumusan

Saya menulis rumusan ini berdasarkan pengalaman memainkan siri AC sejak dari yang pertama 11 tahun yang lalu. Mungkin ada yang mengatakan kami biasa kerana mengatakan Odyssey adalah yang terbaik pernah dihasilkan. Hakikatnya ini adalah benar kerana sistem RPG yang mencabar, jalan cerita yang tidak memerlukan anda menghafal kesemua sejarah AC, sistem pertarungan yang menarik dan kepelbagaian misi sisi.

Tetapi ini tidak memadamkan masalah grafik apabila ia dimainkan pada konsol PlayStation 4 kami. Masalah kadar bingkai yang turun mendadak apabila terlalu banyak aksi di atas skrin mencacatkan sesi permainan. Pra-tampalan, permainan kerap kali gagal berfungsi tetapi ini telah diselesaikan sejak patch 1.01.

Haruskah anda membeli Assassin’s Creed Odyssey? Jika anda peminat tegar kami yakin anda telahpun membelinya. Bagi pemain lain yang tidak pernah memainkan AC, kami sarankannya kerana ia bukan seperti permainan terdahulu dan tiada keperluan mengetahui sejarah lampau siri.

Tetapi bagi sebilangan kecil pembaca yang tidak menyukai permainan dunia sebenar dengan elemen RPG, ini bukan permainan untuk anda kerana ia memerlukan puluhan jam untuk dihabiskan. Secara peribadi kami merasakan dengan kandungan misi melebihi 100 jam yang ditawarkan, ia permainan yang akan dimainkan untuk berminggu lamanya. Wang yang dibayar untuk membeli terasa sangat berbaloi.

Sohor Kini