WWE 2K19 kembali untuk tahun ini dimana ianya merupakan satu permainan tahunan yang dilancarkan oleh 2K Sports setiap tahun. Seperti kebanyakkan permainan sukan yang lain, setiap tahun permainan ini menerima sebilangan kemaskini terbaru dan kandungan baru untuk membuat peminat terus bermain.

Walaupun begitu, sebagai seorang yang tidak arif berkenaan dunia WWE mahupun, diberi peluang untuk mengulas permainan ini merupakan satu dunia yang baru untuk saya. Era permainan gusti yang dimainkan oleh saya terberhenti ketika di zaman Playstation 2 beberapa tahun lepas kerana pembangun sering melancarkan permainan gusti dan saya sudah tidak mampu untuk bermain kesemuanya.

Sekaligus, ulasan ini meletakkan saya sebagai seorang pemain baru di dalam dunia siri permainan WWE oleh 2K Sports.

WWE 2K19 dilancarkan 9 Oktober 2018 lepas di konsol Playstation 4, Xbox One dan juga PC. Namun, keseluruhan permainan ini, saya memainkannya di konsol Playstation 4 Pro sahaja dan ini adalah ulasan penuh untuk permainan sukan gusti, WWE 2K19.

Cerita

Penceritaan di dalam WWE 2K19 merupakan sesuatu yang agak menarik bagi saya. Sebagai seorang pemain yang menyukai kandungan penceritaan secara solo, kandungan penceritaan yang terdapat di dalam WWE 2K19 adalah sangat baik sekali.

Ini kerana, permainan ini mempunyai sebilangan kandungan penceritaan solo, bukan sahaja ianya mempunyai bentuk permainan yang mana pemain akan menghasilkan watak sendiri, malah terdapat satu mod permainan yang dipanggil “Showcase Mode” dimana ianya seakan satu bentuk dokumentari yang menceritakan berkenaan ahli gusti terkenal, Daniel Bryan.

Benda pertama yang saya ingin tekankan adalah mod “Showcase” berkenaan ahli gusti Daniel Bryan tersebut. Mod ini disampaikan dengan baik melalui permainan tersebut. Ianya bukan sahaja membuat saya sebagai bukan peminat gusti, berminat dengan kisahnya, malah cara penyampaian seakan dokumentari buat mod tersebut menghasilkan satu pengalaman yang menarik.

Melalui mod tersebut, pemain bukan sahaja akan menonton dokumentari yang disediakan. Malah pemain juga berpeluang untuk mengawal Daniel Bryan dan bertempur dengan ahli gusti lain mengikut kisah-kisah sejarah beliau. Sekaligus, di dalam misi mod penceritaan tersebut, pemain diperlukan untuk melakukan sebilangan objektif dan pasti membuat peminat diluar sana, mengenang kembali saat-saat bersejarah itu.

Selain itu, permainan ini juga mempunyai mod penceritaan kerjaya dimana pemain akan menghasilkan watak ahli gusti pemain sendiri, dan bermain sebagai watak tersebut daripada seorang ahli gusti jalanan, sehinggalah memasuki senarai ahli gusti WWE.

Penceritaan untuk mod ini juga dihasilkan dengan baik dengan kandungan yang pelbagai. Bukan sahaja mod ini menyertakan adegan yang mempunyai suara latar, malah pemain juga berupaya untuk memilih dialog dan membuat pilihan untuk memberi tindak balas untuk watak-watak dan membawa lagi penceritaannya.

Sememangnya kandungan penceritaan bagi WWE 2K19 ini adalah sesuatu yang memuaskan bagi saya. Dari segi kandungan sehinggalah mod Universe yang mana pemain akan seakan bertempur dengan ahli-ahli gusti yang lain seperti rancangan asli WWE, permainan ini dihasilkan dengan yang sangat mendalam dan pelbagai.

Grafik

Sebagai sebuah satu permainan sukan ataupun simulasi, grafik yang dipertontonkan buat permainan ini agak mengecewakan. Walaupun terdapat adegan tertentu, visual yang dipaparkan mempunyai grafik yang cantik, namun terdapat juga visual permainan yang dihasilkan agak janggal dan pada masa yang sama mengelirukan.

Terdapat juga saat dimana saya berasa visual grafiknya terlalu pelik dimana terdapat adegan yang bunyi mulut tidak menyegerak dengan suara watak ataupun terdapat sedikit pepijat yang mana terdapat tangan ataupun kaki ahli gusti tersebut terlekat di tali gelanggang, namun ianya tidaklah merosakkan sebarang sesi permainan saya.

Walaupun begitu, 2K Sports sememangnya tidak mengecewakan apabila menghasilkan semula watak-watak ahli gusti terkenal dengan wajah visual 3D. Ini kerana kesemua watak ahli gusti yang dipaparkan seperti Stone Cold, Triple H mahupun The Rock, ianya dihasilkan dengan baik sekali.

Bukan sahaja pergerakkan permainan ini mempunyai aliran pergerakkan yang baik, malah setiap serangan ikonik seperti DDT, Surplex yang pasti peminat gusti menyukainya, dipaparkan dengan baik.

Tambahan itu, apa yang saya sukai juga adalah pembukaan setiap ahli gusti ketika mereka berjalan di gelanggang gusti juga ditiru dengan baik. Bukan sahaja baju dan jalanan ikonik Asuka ditayangkan dengan baik, namun setiap larian, setiap balingan baju ataupun rantai oleh ahli-ahli gusti kesemuanya dihasilkan dengan serupa dan menghormati ahli gusti WWE.

Audio

Salah satu masalah dari segi permainan ini adalah audio ulasan yang dimainkan ketika sesi permainan. Terdapat sebilangan saat ketika saya bermain, ulasan yang dihasilkan adalah tidak tepat dan ianya terlalu rawak.

Ini bukan sahaja menghasilkan satu bentuk yang agak kurang imersif, malah ianya memberi sedikit pengalaman yang janggal buat saya. Terdapat juga saat-saat dimana setiap serangan yang saya lakukan, disalah tafsir oleh pengulas dan bukan sahaja ianya salah, malah ulasan-ulasan yang dimainkan juga sering berulang-ulang kali dalam jangka masa yang agak dekat.

Walaupun begitu, ulasan oleh pengulas ketika sesi pertarungan tidaklah begitu teruk ketika mod penceritaan solo. Namun, ini mungkin juga disebabkan ianya telahpun ditetapkan mengikut penceritaan tersebut.

Akan tetapi, dari segi masalah audio yang lain pada pendapat saya adalah bilangan lagu yang agak berkurangan bersama-sama dengan audio yang sekali-sekala tidak menyegerak bersama bibir watak.

Namun, kesemua ini tidaklah memberi pengalaman permainan yang terlalu buruk buat saya, malah saya berasa ianya adalah masalah kecil sahaja bagi WWE 2K19 dan ianya boleh dibaiki dengan mengemaskini permainan.

Kawalan Permainan

Tidak dapat dinafikan bahawa permainan WWE 2K19 bukanlah satu permainan sukan arked gusti yang biasa. Pada pendapat saya, permainan ini lebih kepada bentuk simulasi. Ini kerana, permainan ini bukan sahaja memfokuskan bentuk set serangan yang anda boleh lakukan, namun ianya juga mempunyai bentuk pertempuran yang mendalam seperti tangkapan, pin dan sebagainya.

Mengapa saya menyatakan bahawa permainan ini merupakan permainan simulasi adalah kandungan bentuk kemahiran yang terdapat di dalamnya. Seperti contoh, ketika pemain ditangkap dan dipegang, permainan ini akan menyertakan seakan satu mini permainan yang mana pemain perlu mengelak daripada serangan musuh. Jika pemain berjaya menindas musuh, pemain akan terlepas daripada tangkapan musuh.

Sekaligus, kandungan bentuk sebegini juga yang membawa permainan ini kepada bentuk simulasi dan pada masa yang sama ianya menghasilkan satu bentuk permainan yang sangat mendalam.

Disebabkan ianya mempunyai bentuk permainan sedemikian, permainan ini juga mungkin agak sukar buat mereka yang baru dengan siri permainan gusti oleh 2K Sports ini. Pada pendapat saya, permainan memerlukan pemain untuk terus berlatih seakan sukan betul.

Ini kerana, setiap kawalan dan kemahiran yang pemain boleh lakukan, ianya agak sukar dan pemain perlu mengambil masa untuk mempelajarinya. Permainan ini tidaklah mempunyai serangan kombinasi seperti permainan perlawanan lain, malah pemain perlu sering pandai mengawal stamina, pada masa yang sama mengawal kesemua mini permainan yang lain untuk mengelak serangan musuh dan sebagainya.

Sebagai contoh, pemain perlu menekan butang R2 untuk membalas balik serangan musuh. Namun, saat ketika untuk menekan butang tersebut, pemain perlu menekannya pada masa yang tepat untuk menghasilkan serangan balas yang berjaya, jika tidak, pemain akan terus diserang oleh musuh.

Tangkapan pin juga memainkan peranan penting di dalam permainan ini. Sudah pastinya jika anda peminat gusti, anda akan mengetahui berkenaan pin dimana jika pengadil tersebut mengira sebanyak 3 kali pin tersebut, seseorang ahli gusti tersebut akan memenangi pusingan tersebut.

Namun, melalui permainan ini, bagi pemain yang dikenakan tangkapan pin tersebut, permainan ini akan menayangkan satu mini permainan seakan satu bar yang mana pemain perlu menekan butang X pada kawasan yang tepat untuk menolak pin tersebut. Sekaligus permainan ini membawa satu hasil bentuk permainan yang agak sukar dan pada masa yang sama pemain perlu sentiasa berlatih untuk bermain permainan ini.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk mengubah-suai watak pemain, seperti di dalam mod penceritaan solo. Dimana pemain diberi peluang untuk menghasilkan statistik pemain sendiri, dan kemahiran yang berbeza. Pemain juga mempunyai sebilangan bentuk pertempuran yang berbeza seperti Technician, dimana pemain lebih cepat dari segi melakukan serangan tangkapan. Ataupun bentuk Powerhouse dimana ianya lebih memfokuskan serangan berkuasa tinggi dan pertahanan yang kuat.

Setiap satu bentuk pertempuran tersebut memainkan peranan penting buat ahli gusti tersebut, sekaligus ianya membuka cabang dengan pelbagai pengubah-suaian dan kandungan buat pemain lakukan.

Selain daripada pengubah-suaian kemahiran watak, permainan ini juga mempunyai pelbagai kandungan untuk pemain mengubah rupa-rupa watak pemain. Dari kostum, kasut termasuklah rambut seakan Goku dari Dragon Ball juga boleh dihasilkan. Tambahan itu, pemain juga berupaya untuk membina pembukaan jalanan ahli gusti pemain sendiri dan juga menghasilkan gaya kemenangan yang berbeza.

Terdapat juga satu bahagian dimana pemain berupaya untuk memuat-naik ataupun muat-turun sebarang ahli-ahli gusti yang dihasilkan oleh peminat. Melaluinya, terdapat pelbagai ahli gusti yang pemain hasilkan seperti Venom, Goku dan juga Deadpool.

Sekaligus kandungan yang pelbagai dicampur dengan kandungan atas-talian, permainan ini sememangnya tidak akan membosankan pemain untuk tempoh masa yang panjang.

Dari segi bentuk pertempuran pula, permainan ini menyertakan kesemua perlawanan yang pasti peminat gusti menyukainya. Dari Royale Rumble, pertempuran satu lawan satu termasuklah pertempuran di dalam sangkar. Kesemuanya disertakan secara bersama di dalam permainan ini.

Sekaligus, dari segi kandungan, bentuk perlawanan yang pemain inginkan sama ada berlawan di luar gelanggang, berebut tali pinggang kejohanan, permainan ini pasti akan memuaskan hati kesemua peminat gusti diluar sana.

Walaupun begitu, saya juga ingin menyatakan sesuatu yang agak mengecewakan bagi saya iaitu kandungan tambahan yang lain di dalam permainan ini. Ini kerana terdapat sebahagian kandungan di dalam permainan ini dikunci melalui mikro-transaksi.

Ianya mungkin akan menarik minat buat mereka yang ingin terus bermain dimana mata wang utama permainan tersebut sememangnya boleh didapati melalui bermain terus permainan tersebut. Namun, dengan jumlah yang sedikit, ianya mungkin memerlukan masa yang sangat lama untuk mendapat sesuatu barangan yang pemain inginkan.

Namun, pemain juga boleh mendapatkan barangan tersebut secara rawak dengan membeli pek-pek yang disediakan yang mana ianya seakan satu bentuk kotak tikam. Namun, barangan tersebut masih lagi terhad dengan barangan rawak dan pemain masih lagi tidak berupaya untuk memilih barangan yang pemain ingin jika pemain tidak ingin berbelanja dengan lebih.

Mod Multi-Pemain

Dari segi mod multi-pemain, permainan ini dimainkan dengan baik sekali. Akan tetapi, ianya masih terhad untuk sebilangan mod multi-pemain sahaja kerana ianya masih memerlukan pemain yang ramai untuk bermainnya secara atas-talian.

Ini kerana sepanjang sesi percubaan saya, saya hanya menjumpai sebilangan pemain sahaja untuk saya bermain secara multi-pemain. Terdapat juga sedikit masalah dari segi hubungan ketika saya bermain permainan ini. Akan tetapi, disebabkan kandungan permainan bersama-sama dengan bentuk permainan yang sudahpun dihasilkan dengan baik. Pengalaman saya bermain permainan ini secara atas-talian tidaklah begitu teruk.

Namun, permainan gusti sememangnya lebih seronok jika dimainkan secara multi-pemain luar-talian seperti ketika saya bermain permainan gusti beberapa tahun lalu.

Kesimpulan

Sebagai seorang yang tidak begitu arif dengan dunia WWE 2K19 dan tidak pernah bermain permainan gusti hampir 10 tahun, permainan ini pada pendapat saya merupakan satu permainan gusti yang sangat menarik.

Bukan sahaja ianya mempunyai kandungan yang pelbagai, malah bentuk penceritaan bersama dengan mod Showcase tersebut adalah sangat menarik dan pasti akan membuat peminat gusti menyukainya.

Namun dengan sebahagian kandungan yang dikunci melalui kotak tikam dan mikro-transaksi bersama-sama dengan pengalaman permainan yang agak sukar dan perlu latihan yang tinggi, ianya mungkin bukanlah satu permainan untuk mereka yang baru dengan siri permainan tersebut.

Penafian: Kod ulasan untuk WWE 2K19 disediakan oleh 2K Asia

Sohor Kini