Dengan pelancaran permainan Red Dead Redemption 2 semakin hampir beberapa minggu lagi, Rockstar Games hari ini memperlihatkan bentuk permainan terbaru buat permainan tersebut yang mana ianya memaparkan sebilangan aktiviti yang boleh dilakukan oleh pemain.

Perkara pertama sekali adalah bentuk sudut pandang pertama seperti yang kami laporkan sebelum ini diperlihatkan melalui video terbaru permainan tersebut.

Selain itu, melalui Red Dead Redemption 2, Rockstar Games tampaknya menyertakan pelbagai kandungan dan aktiviti yang pemain boleh lakukan. Antara yang dipaparkan melalui video di atas adalah keupayaan untuk memburu binatang dan juga memancing ikan.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk merompak bank, kereta api ataupun pejalan kaki. Namun, pemain juga berisiko untuk dirompak oleh musuh ataupun geng-geng lain.

Apa yang menariknya berkenaan permainan ini adalah konsep dunia terbukanya yang meluas. Bukan sahaja pemain berupaya untuk mencukur jambang, mandi dan sebagainya, malah pemain boleh mengubah keseluruhan rupa bentuk watak pemain.

Tambahan juga, fungsi Dead Eye juga kembali melalui permainan ini yang mana pemain bukan sahaja berupaya untuk memperlahankan masa, malah ianya juga boleh dinaik-taraf dengan fungsi tambahan seperti berupaya melihat titik kelemahan musuh.

Red Dead Redemption 2 adalah permainan seterusnya buar siri Red Dead. Ianya bertempatkan 12 tahun sebelum permainan Red Dead Redemption pertama yang dilancarkan 2010 lepas di Playstation 3 dan Xbox 360. Kini permainan terbaru Red Dead Redemption 2 dijadualkan untuk dilancarkan pada 26 Oktober 2018 ini dan ia ditawarkan untuk PlayStation 4 dan Xbox One. Bagi anda ingin melihat senarai edisi permainan yang diumumkan, anda boleh ke pautan ini.

Sohor Kini