Sony Interactive Entertainment baru sahaja mengadakan acara khas yang mana mereke mempertontonkan sebilangan permainan yang bakal mereka tayangkan ketika di Tokyo Game Show 2018 kelak. Melaluinya, mereka memperlihatkan trailer terbaru buat permainan Kingdom Hearts 3 yang mana ia memaparkan sebilangan dan bentuk permainan baru.

Trailer tersebut memaparkan dunia Big Hero 6 iaitu salah satu filem Disney adiwira yang terkenal beberapa tahun lepas. Selain watak BayMax, Square-Enix juga memperlihatkan Hiro, GoGo dan Wasabi.

Menariknya juga, dengan bentuk pertukaran transformasi Keyblade di dalam permainan tersebut, Sora juga tampaknya mempunyai keupayaan untuk menukar Keyblade beliau kepada senjata bertemakan dunia tersebut.

Mod Gummi Ship yang dikongsikan oleh mereka sebelum ini juga dipertontonkan dengan sebilangan bentuk permainan dan juga rekaan Gummi Ship yang pelbagai.

Kingdom Hearts 3 akan dilancarkan pada 29 Januari 2019 ini di konsol Playstation 4 dan Xbox One.

Selain itu, Square-Enix juga mengumumkan Kingdom Hearts: VR Experience buat Playstation VR yang mana ianya akan dilancarkan pada penghujung 2018 ini secara percuma.

Berdasarkan trailer yang dipertonton, Kingdom Hearts: VR Experience merupakan satu aplikasi khas yang mana pemain berupaya untuk menikmati muzik-muzik dari kesemua siri Kingdom Hearts dan pada masa yang sama terdapat sedikit mini permainan yang pemain boleh lakukan dengan bertempur dengan musuh Heartless.

Buat masa ini, tidak banyak informasi yang diumumkan, namun ianya kelihatan menarik dengan keupayaan untuk memegang Keyblade dan bertempur dalam bentuk pandang pertama dan juga menikmati muzik-muzik yang pasti buat peminat diluar sana menyukainya.

Seperti biasa, kami akan kongsikan sebarang informasi lanjut setelah pihak Square-Enix mengumumkannya.

Sohor Kini