Informasi Permainan Video Terkini
Pra-Pendaftaran Buat Permua Contra: Returns Kini Bermula – Menyertakan Pelbagai Barangan Bonus

Pra-Pendaftaran Buat Permua Contra: Returns Kini Bermula – Menyertakan Pelbagai Barangan Bonus

Diterbitkan pada Ogos 29, 2018 oleh .

Sebelum ini Garena mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan permua Contra: Returns buat pasaran Malaysia dan kini, pra-pendaftaran buat permua tersebut akhirnya bermula dimana pemain berupaya untuk membuat pendaftaran dan mendapat pelbagai barangan bonus khas setelah ianya dilancarkan.

Contra: Returns merupakan permua yang dibangunkan oleh Timi Studios dari Tencent dan juga Konami. Kini, dengan kerjasama Garena, mereka bakal membawa ke pasaran Malaysia dengan pelayan khas.

Bagi mereka yang membuat pra-pendaftaran permainan tersebut, Garena akan menyertakan sebilangan barangan bonus seperti Diamond, Gold dan sebagainya. Namun barangan tersebut hanya akan dinyah-kunci mengikut nilai jumlah pra-pendaftaran yang dilakukan oleh pemain.

Contra: Returns merupakan permua aksi side-scrollers seperti permainan klasik Contro dimana kali ini ianya dibangunkan khas untuk versi peranti telefon pintar dengan kawalan menggunakan skrin sesentuh. Permua ini juga mempunyai rekaan grafik berdefinisi tinggi dengan rekaan model-model grafik yang baru.

Menariknya, melalui Contra: Returns kali ini ianya mempunyai sebilangan elemen RPG seperti mod penceritaan dan juga pernaik-tarafan untuk senjata, watak dan sebagainya. Menurut Garena, mereka juga akan menyertakan pelbagai kemaskini baru dengan peringkat berlainan pada masa akan datang.

Selain itu, permua ini juga akan mempunyai bentuk pemain lawan pemain dimana pemain berupaya untuk bertempur dengan pemain secara atas talian sama ada dalam bentuk satu lawan satu, dua lawan dua ataupun tiga lawan tiga.

Pemain juga berupaya untuk memilih sebilangan jenis watak untuk digunakan ketika mod pemain lawan pemain dimana setiap watak mempunyai kemahiran yang berbeza. Pemain juga boleh mengumpul nilai pengalaman EXP untuk meningkatkan kemahiran dan kuasa watak permainan ketika bertempur, sekaligus ia juga mempunyai bentuk permainan secara kompetitif.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan permua ini, pra-pendaftaranya kini bermula sehingga 20 September ini dimana anda boleh mendaftarnya di laman rasmi Contra: Returns dibawah. Bagi tarikh pelancarannya, pihak Garena masih belum berkongsi sebarang informasi berkenaannya.

Pra-Daftar: Contra: Returns


TIPS & ULASAN