Skip to main content

Pada E3 2018 lepas, Capcom mengumumkan permainan Resident Evil 2 secara rasmi yang mana ia bakal tiba pada 25 Januari 2019 ini khas di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.

Minggu ini, ketika acara Playstation Experience (PSX SEA) Asia Tenggara yang berlangsung di Bangkok, Thailand, saya berpeluang untuk mencuba permainan tersebut dan ini adalah pandang pertama saya berkenaan permainan tersebut. Keseluruhan sesi permainan saya dimainkan dengan menggunakan Playstation 4 Pro.

Untuk anda yang tidak mengetahui berkenaan permainan ini, Resident Evil 2 merupakan permainan pernambah-baikkan yang diolah semula oleh Capcom dimana permainan asalnya dilancarkan pada 1998 di Playstation 1 lepas. Ia merupakan permainan seram zombi yang memfokuskan pemain di bandar Racoon City yang ditakhluk oleh zombi-zombi. Tugas utama pemain adalah untuk melarikan diri dari bandar tersebut dan meneruskan hidup.

Kini, melalui permainan ini, Capcom bukan sahaja mengubah bentuk visual yang lebih moden, malah mereka mengubah keseluruhan bentuk permainan disamping mengekalkan watak-watak dan penceritaan asli permainan tersebut.

Ketika saya bermain permainan tersebut di PSXSEA 2018, sememangnya visual yang diperbaharui oleh Capcom adalah sesuatu yang luar biasa. Visual grafik permainan ini bukan sahaja cantik, malah dengan penggunaan enjin permainan RE Engine, iaitu enjin yang sama digunakan ketika Resident Evil 7, permainan ini sememangnya memaparkan visual dan tekstur yang foto realistik.

Dengan penyertaan visual grafik yang tinggi, permainan ini juga memaparkan bentuk visual yang sememangnya sangat ganas. Ianya sememangnya satu permainan untuk 18 tahun ke atas, dimana ianya bukan sahaja mempunyai kandungan darah yang banyak, malah anggota badan manusia yang pastinya akan membuat anda berasa kurang selesa.

Melalui demo permainan PSXSEA 2018 yang disediakan kepada saya, Capcom meletakkan pemain di kawasan balai Polis Racoon City yang pasti menjadi ingatan pemain ketika memasukinya buat pertama kali 20 tahun lepas. Setiap rekaan watak dan model-model kawasan seperti perabot, dinding, bangunan  tersebut dan kesemuanya ditayangkan dengan baik sekali. Malah, dengan penggunaan pencahayaan yang rendah, permainan ini sememangnya memaparkan bentuk visual yang sangat menyeramkan dan pada masa yang sama memberi tekanan menakutkan buat pemain.

Menariknya, bagi anda mengingati watak polis Marvin Branagh di dalam permainan asal, kali ni beliau juga kembali dimana kali ini beliau sedikit sebanyak membantu Leon dengan menyertakan senjata pisau, dan juga menolongnya untuk melarikan diri dari bandar Racoon City tersebut.

Tambahan itu, apa yang saya sangat menyukai permainan ini juga adalah konsep-konsep barangan yang bertemakan tahun 90an. Sememangnya jika mengikut garis masa, Resident Evil 2 sememangnya bertempatkan pada tahun 1998. Sekaligus, tema dan barangan yang dipertayangkan juga bertemakan jangka masa tersebut. Bukan sahaja ianya mempunyai laptop komputer klasik, malah penggunaan pengunci kuno juga disertakan.

Dari bentuk permainan pula, Resident Evil 2 dimainkan dengan baik sekali. Ia bukan sahaja kekal asli seperti permainan asalnya, malah Capcom melakukan sesuatu yang sangat baik dengan membawa kembali bandar Racoon City seperti 20 tahun lepas, namun masih lagi menyertakan pelbagai pernaik-tarafan.

Apa yang saya suka adalah penyertaan bentuk dan barangan klasik Resident Evil 2. Antaranya adalah kotak penyimpanan barang yang mana fungsinya untuk menyimpan barangan-barangan pemain termasuklah senjata. Kotak tersebut juga berhubung antara satu sama lain dengan kotak-kotak lain. Sekaligus, ia bukan sahaja memudahkan pemain untuk menyimpan barangan, malah pemain perlu mengurus kelengkapan permainan seperti permainan-permainan klasik Resident Evil.

Selain itu, kali ini penyimpanan permainan juga dilakukan melalui mesin taip, seperti mana permainan asal Resident Evil 2 di Playstation 1 pada 20 lepas. Capcom juga masih lagi mengekalkan konsep kombinasi herba merah dan hijau untuk menghasilkan ubat-ubatan untuk pemain.

Dari segi aspek bentuk permainan baru pula, seperti yang anda tontonkan di trailer, permainan ini meletakkan bentuk kamera pandang ketiga secara atas bahu. Sememangnya ianya berbeza dengan permainan asal Resident Evil 2 yang meletakkan bentuk kamera statik ataupun bentuk penembak pandang pertama Resident Evil 7.

Menariknya, bentuk permainan begini sememangnya sangat berkesan untuk menghasilkan suasana yang menyeramkan pada masa yang sama ia juga memberi kebebasan buat pemain untuk melihat keadaan sekeliling dengan lebih meluas.

Tambahan juga, kali ini terdapat satu bentuk pertahan baru iaitu penggunaan pisau. Walaupun sebelum ini permainan Resident Evil sememangnya menyertakan pisau sebagai senjata jarak dekat seperti Resident Evil 4, kali ini Resident Evil 2 lebih memfokuskan pisau tersebut sebagai barangan yang boleh rosak.

Kali ini, pisau yang terdapat di dalam permainan tersebut lebih penting dan menarik dimana ianya bukan sahaja boleh digunakan sebagai senjata jarak dekat dengan menekan butang L1, malah ketika pemain diserang oleh zombi pada jarak dekat, pemain boleh gunakan pisau tersebut untuk menghalang zombi-zombi tersebut daripada menggigit leher pemain. Tetapi, pisau tersebut juga mempunyai jangka masa penggunaannya juga. Dimana jika pemain sering menggunakannya, ianya akan rosak, dan pemain perlu mencari pisau yang baru. Selain itu, jika pemain menggunakan pisau tersebut juga, pisau tersebut akan terlekat di zombi, dan pemain perlu membunuh zombi tersebut dahulu sebelum berupaya untuk mengambil pisau tersebut semula.

Namun, bentuk ini juga menyukarkan pemain dimana kali ini, jika pemain ditangkap oleh zombi secara jarak dekat, jika pemain tidak mempunyai pisau tersebut, pemain secara pastinya akan digigit oleh zombi. Melalui Resident Evil 2 ini, tiada lagi penggunakan kawalan pergerakkan untuk melawan zombi tersebut.

Bercakap berkenaan zombi juga, kali ini zombi-zombi di dalam Resident Evil 2 lebih sukar. Sepanjang sesi permainan saya, saya mencuba untuk membunuh zombi tersebut dengan menembaknya di kepala, namun apa yang saya dapati adalah ianya lebih mudah untuk menembak zombi-zombi tersebut di kaki dan lari.

Ini kerana, zombi-zombi di dalam Resident Evil 2 lebih kebal peluru berbanding permainan asalnya. Kali ini, dengan menembak di kepala, zombi-zombi tersebut tidak akan mati begitu sahaja. Malah pemain juga perlu cekap menggunakan peluru yang tersedia untuk melumpuhkan zombi, berbanding bertempurnya secara meluru. Ini mengingatkan saya seperti permainan Dead Space, dimana untuk membunuh makhluk di dalam permainan tersebut, pemain perlu melumpuhkan musuh dengan menembak ke arah sendi-sendinya. Sekaligus, konsep yang hampir sama di dalam Resident Evil 2 kali ini.

Sekaligus, bentuk permainan sebegini sememangnya membuatkan permainan ini sangat menyeronokkan. Ianya bukan sahaja satu permainan seram yang menyeramkan, malah ia mempunyai bentuk pertahanan hidup yang pemain perlu sentiasa bijak mengurus kelengkapan seperti peluru dan juga barangan-barangan lain.

Seperti permainan Resident Evil sebelum ini, sudah pastinya Resident Evil 2 mempunyai pelbagai bentuk tekaria yang menarik. Seperti permainan sebelum ini, pemain bukan sahaja perlu bergerak ke satu tempat ke satu tempat berulang kali untuk menyelesaikan sesuatu tekaria, malah pemain perlu bijak mengurus barangan untuk membawa kunci-kunci atapun medal yang akan membenarkan pemain untuk mendapatkan barangan-barangan tersebut.

Akhir kata, ketika sesi permainan saya untuk demo untuk Resident Evil 2, sememangnya ianya adalah satu permainan yang sangat memuaskan. Capcom bukan sahaja menghormati permainan asal Resident Evil 2, malah mengembangkan lagi bentuk permainan dan visual Resident Evil ke tahap yang sempurna.

Permainan ini sememangnya lengkap dengan bentuk pertahanan hidup dan seram yang pasti akan membuat peminat asal Resident Evil 2 mahupun mereka yang menyukai permainan seram, menyukai permainan ini.

Kami di Aksiz pasti akan mengulas permainan apabila ianya dilancarkan Januari kelak. Sama-sama kita nantikannya.

Leave a Reply