E3 lepas, Bethesda Softworks memperacahkan DOOM Eternal yang mana ia merupakan permainan sekuel kepada DOOM yang dilancarkan pada 2016 lepas.

Kini, sempena acara QuakeCon 2018 yang berlangsung semalam, Bethesda Softworks akhirnya mempertontonkan bentuk permainan DOOM Eternal buat pertama kalinya di acara tersebut.

Melalui video berdurasi 25 minit tersebut, pengarah permainan tersebut Marty Stratton bersama-sama pengarah kreatif Hugo Martin berkongsi pelbagai informasi lanjut berkenaan permainan DOOM Eternal.

Selain daripada bentuk permainan, mereka juga memperlihatkan sebilangan senjata-senjata baru bersama-sama musuh baru yang bakal pemain tempuhi buat permainan terbaru DOOM tersebut.

Menariknya juga, kali ini Bethesda Softworks menambah pelbagai bentuk Glory Kill yang baru dan pastinya akan membuat peminat lebih seronok untuk bermain permainan ini. Tambahan itu, mereka juga memperlihatkan pelbagai fungsi baru yang bakal tiba seperti keupayaan untuk memanjat dinding dan juga senjata Shotgun yang mempunyai cangkuk untuk pemain bergerak dengan lebih pantas.

Selain itu, id Software juga memperlihatkan fungsi baru iaitu fungsi menceroboh sesi pemain lain dimana pemain berupaya untuk menyerang pemain lain ketika mereka bermain kempen solo permainan tersebut.

Fungsi ini akan membenarkan pemain menjadi syaitan-syaitan musuh yang terdapat di dalam permainan DOOM Eternal, dan bekerjasama untuk mengalahkan pemain lain. Namun menurut Marty Stratton, fungsi tersebut boleh dibuang jika pemain tidak ingin pemain lain menceroboh sesi permainan.

Seperti permainan DOOM sebelum ini, DOOM Eternal kali ini juga akan memfokuskan bentuk permainan yang pantas dan beraksi yang pastinya akan membuat pemain lebih teruja untuk membunuh syaitan-syaitan yang terdapat di dalam permainan ini. Kami sendiri di Aksiz juga tidak sabar untuk mencuba permainan ini.

Buat masa ini, tarikh pelancaran DOOM Eternal masih belum diumumkan. Namun, menurut Bethesda Softworks, permainan ini akan tiba buat Playstation 4, Xbox One, PC dan menarik sekali, seperti permainan DOOM sebelum ini, DOOM Eternal juga akan dilancarkan di Nintendo Switch.

Sohor Kini