Sebelum ini, kami berkongsi yang mana Nintendo akan mengadakan acara langsung khas Nintendo Direct berkenaan permainan Super Smash Bros. Ultimate dan kini, melalui acara tersebut, Nintendo mengumumkan pelbagai kandungan baru yang bakal tiba buat permainan tersebut.

Antara yang diumumkan adalah watak-watak baru iaitu Simon Belmont dari siri Castlevania dan King K. Rool dari siri Donkey Kong. Kedua-dua watak tersebut akan tiba sebagai watak baru dan buat pertama kalinya berada di siri permainan Super Smash Bros.

Menariknya juga, selain dari itu, mereka juga mengumumkan watak Echo Fighters iaitu watak baru yang mempunyai bentuk permainan seperti watak yang tersedia ada. Antaranya adalah Richter Belmont, iaitu watak Echo Fighters untuk Simon Belmont, selain itu watak Chrom dari Fire Emblem dan Dark Samus dari siri Metroid juga diumumkan.

Menariknya juga, dengan penyertaan watak-watak dari Castlevania, Nintendo juga akan menyertakan pelbagai kawasan tambahan baru buat permainan tersebut seperti kawasan dari siri permainan Castlevania dan juga ketua-ketua tambahan Dracula.

Selain daripada itu, watak Assist Trophy, iaitu watak pembantu di dalam permainan tersebut juga mempunyai pelbagai pengumuman watak tambahan dan antaranya adalah Gray Fox, Zero, Alucard, Knuckles dan sebagainya. Namun apa yang menarik minat kami sekali adalah raksasa Rathalos dari Monster Hunter juga diumumkan sebagai watak Assist Trophy bersama-sama watak ketua musuh.

Nintendo juga mengumuman pelbagai kandungan baru seperti kelengkapan baru, senjata baru termasuklah Pokemon-Pokemon baru yang bakal meriuhkan permainan ini. Nintendo juga menyatakan bahawa mereka akan membawa mod kompetitif kejohanan bersama-sama dengan pelbagai tetapan permainan yang pemain boleh lakukan melalui permainan ini seperti menetapkan senarai muzik permainan, bentuk keadaan peringkat kawasan dan sebagainya.

Melalui permainan Super Smash Bros. Ultimate, Nintendo menjanjikan permainan ini akan mempunyai lebih dari 100 peringkat kawasan dimana setiap satunya mempunyai pelbagai jenis variasi. Nintendo juga akan menyertakan lebih dari 800 muzik latar dari pelbagai siri permainan yang akan tersedia bersama-sama permainan ini.

Tambahan itu, bagi mereka yang ingin mendengar muzik tersebut secara berasingan, anda boleh berbuat demikian melalui permainan tersebut dimana Nintendo akan menyediakan sokongan pendengaran muzik tanpa perlu mengaktifkan skrin konsol Nintendo Switch.

Bagi anda yang ingin menonton keseluruhan pengumuman Nintendo Direct berkenaan permainan Super Smash Bros. Ultimate, anda boleh menontonnya di video dibawah.

Super Smash Bros. Ultimate merupakan permainan perlawanan yang dibangunkan oleh Nintendo secara khas di konsol Switch. Ia merupakan satu permainan yang menjadi ikutan ramai dengan bentuk permainannya yang menarik dan senarai watak-watak dari pelbagai francais termasuklah permainan dari pengeluar permainan lain. Menurut Nintendo, permainan ini akan dilancarkan pada 7 Disember 2018 ini.

Sohor Kini