Jika anda seorang peminat asal permainan klasik seperti Mega Man, siri Mega Man X sememangnya merupakan salah satu kenangan manis buat anda hampir 10 tahun lalu dengan pelbagai watak bersama penceritaan yang sangat menarik. Namun, untuk bermain semula siri tersebut, anda mungkin perlu mencari semula konsol klasik seperti SNES ataupun Playstation 1 untuk menginang kembali saat-saat sesi permainan tersebut.

Kini, Capcom melancarkan dua koleksi permainan yang menyertakan siri Mega Man X dari Mega Man X pertama sehinggalah Mega Man X 8 iaitu Mega Man X Legacy Collection dan Mega Man X Legacy Collection 2 pada 25 Julai lepas. Koleksi ini dilancarkan di Playstation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan juga PC.

Walaupun begitu, adakah ianya merupakan satu koleksi permainan yang menarik dan berbaloi untuk berada di dalam koleksi permainan anda? Anda boleh teruskan membaca ulasan untuk mengetahui pendapat penuh saya.

Cerita

Dari segi penceritaan, tidak banyak yang boleh saya kongsikan memandangkan ianya hanyalah koleksi permainan sahaja. Jika anda pernah bermain siri Mega Man X, anda pasti mengetahui bahawa permainan ini memfokuskan watak X, iaitu seorang pemburu robot penjahat dan beliau ditemani dengan Zero yang mana juga sebahagian daripada pemburu robot penjahat. Secara asasnya, anda akan bermain sebagai X ataupun Zero dan mengembara bersama-sama beliau untuk membawa keseimbangan dunia sepanjang siri tersebut.

Penjahat utama dalam siri ini, iaitu Sigma juga merupakan satu aspek penting yang membawa permainan ini sehingga lapan siri permainan. Walaupun konsep utamanya memfokuskan pemain untuk menyelamatkan dunia dari ditakhluk oleh penjahat, namun penceritaan permainan ini juga dikembangkan lagi di bahagian kedua koleksi permainan tersebut yang lebih memfokuskan antara perkembangan watak antara X dan Zero bersama-sama dengan watak baru Axl yang mula diperkenalkan ketika Mega Man X7.

Walaupun penceritaannya agak ringkas, ianya masih lagi sesuatu yang sesuai dengan konsep asal dan bentuk permainan ini terutamanya buat peminat asal siri Mega Man X.

Grafik Dan Visual

Satu perkara yang agak mengecewakan buat koleksi ini adalah visual dan grafik permainan ini. Ini kerana anda perlu tahu bahawa permainan ini bukanlah permainan pernambah-baikkan. Ianya hanya koleksi permainan yang menyertakan siri permainan Mega Man X. Dari segi pretasi dan grafik, Capcom tidak melakukan sebarang pernaik-tarafan yang menarik.

Sememangnya mereka menyertakan sebilangan penuras permainan yang menghasilkan pelbagai visual efek yang lebih kemas ataupun bentuk klasik seperti bermain di televisyen CRT, namun selain daripada penuras itu, Capcom tidak langsung membuat sebarang pernaik-tarafan dari segi grafik asalnya. Malah, Capcom juga tidak membaiki sebarang resolusi permainan dan masih lagi mengekal nisbah skrin 4:3 termasuklah permainan Mega Man X7 dan X8 yang mana sepatutnya menerima kemaskini nisbah skrin 16:9 memandangkan ianya dilancarkan di Playstation 2.

Dari segi pretasinya juga permainan ini masih lagi menyertakan sebilangan masalah, bukan sahaja ianya masih mengekalkan pretasi yang sama dengan permainan asal di SNES dahulu, malah Capcom tidak melakukan sebarang pembaikkan dan hanya mainkan permainan melalui pelagak permainan sahaja. Pretasi permainan ini semakin teruk terutamanya buat permainan pertama Mega Man X yang sering menghadapi kadar bingkai sesaat yang rendah ketika bertempur sebilangan musuh yang banyak dalam skrin.

Walaupun begitu, tindakan ini juga mungkin pilihan Capcom untuk tidak membaiki sebarang masalah asal permainan tersebut dan mengekalkannya seperti sedia ada untuk peminat siri permainan tersebut. Namun, ianya bukanlah satu alasan yang baik untuk Capcom tidak melakukan sebarang pernaik-tarafan.

Audio

https://www.youtube.com/watch?v=2tPS71AJqZo

Sudah pastinya bagi anda yang mengingati muzik latar peringkat Spark Mandrill dari Mega Man X mahupun saat muzik amaran ‘Warning‘ sebelum bertempur dengan ketua musuh. Kesemua audio dan muzik latar asal siri Mega Man X semestinya berada di dalam koleksi permainan ini dan tidak langsung mempunyai sebarang perubahan.

Menariknya juga, Capcom juga menyertakan mod tambahan muzium permainan yang membenarkan pemain untuk memilih muzik dan bermain semula muzik-muzik tersebut dengan pemain muzik tersedia melaluinya. Mod muzium ini juga menyertakan pelbagai koleksi senarai barangan dan juga figura-figura yang telah dilancarkan oleh Capcom mengikut tahun.

Dari segi suara latar pula, permainan ini juga masih lagi mengekalkan suara latar yang teruk terutamanya untuk Mega Man X4 yang pasti akan menginang kembali kenangan anda terutamanya suara General yang sangat pelik. Namun, ianya bagi saya bukanlah sesuatu yang negatif, malahnya ia masih lagi mengammit kenangan untuk mereka seperti saya, yang meminati siri permainan Mega Man X.

Kawalan Permainan

Semestinya kawalan permainan merupakan sesuatu yang penting terutamanya permainan yang memerlukan ketepatan seperti Mega Man  X, dan permainan Mega Man X Legacy Collection 1 dan 2 sememangnya mengekalkan ketepatan yang sama seperti permainan asal, mungkin juga terlalu sama terutamanya buat Mega Man X7 yang agak mengecewakan.

Walaupun begitu, bentuk permainan yang sama seperti permainan asal bukanlah sesuatu yang buruk memandangkan permainan Mega Man X yang pertama sehinggalah X6 merupakan permainan yang sangat baik sekali dari segi bentuk kawalan. Ianya bukan sahaja mempunyai rekaan peringkat permainan yang menarik, namun ianya juga mengekalkan setiap rekaan dan cabaran asal permainan tersebut.

Semestinya permainan Mega Man X adalah sukar untuk sesetengah pemain, tetapi bagi anda yang baru dengan siri Mega Man, ianya merupakan permainan yang direka khas untuk perkara sedemikian. Ini kerana siri Mega Man bukan sesuatu permainan yang anda boleh main dengan hanya sekali duduk sahaja. Ia memerlukan permainan untuk berulang-ulang kali bermain sesuatu peringkat permainan dan menjadi lebih baik setiap kali cubaan pemain.

Ini juga dapat dibuktikan melalui sesi permainan saya dengan permainan Mega Man X yang pertama dimana setiap kali saya bermain, ianya masih lagi menyukarkan dan memerlukan saya untuk bermain berulang-ulang kali untuk menghabiskan sesuautu peringkat.

Namun begitu, Capcom juga menyertakan satu bentuk permainan Rookie’s Hunter, iaitu mod permainan yang lebih mudah untuk pemain. Namun melalui mod ini, ianya hanya memudahkan pemain dari segi pertempuran bersama musuh-musuh sahaja. Dari segi rekaan peringkat permainan, ia masih lagi memberi sedikit cabaran buat pemain.

Dan jika anda yang masih lagi mahukan cabaran yang lebih buat permainan Mega Man X, Capcom juga menyertakan satu mod terbaru iaitu X-Challenges iaitu mod pertempuran buat pemain untuk bertempur dengan dua ketua musuh secara serentak. Ini sememangnya adalah satu mod permainan kesukaan saya untuk koleksi permainan ini kerana mod ini adalah satu mod sangat mencabar dan pada masa yang sama menyeronokkan.

Pada permulaan mod X-Challenges ini, pemain diberi pilihan untuk memilihan 3 senjata tambahan pilihan yang mana juga merupakan senjata-senjata pemain dapatkan ketika mengalahkan sesuatu ketua musuh. Tetapi sesuatu yang agak mengecewakan saya adalah X-Challenges ini hanya menyertakan ketua musuh dari Mega Man X pertam sehingga Mega Man X6 sahaja. Namun, saya agak memahami kenapa Capcom berbuat demikian, iaitu kerana Mega Man X7 dan X8 menggunakan visual grafik 3D, sekaligus ianya berbeza dengan visual grafik pixel yang mana mereka menggunakannya untuk mod tersebut.

Dari segi mod multi-pemain, permainan ini tidak menyertakan sebarang mod multi-pemain, namun anda berupaya untuk melihat senarai rekod markah pemain-pemain lain untuk mod X-Challenges tersebut.

Akan tetapi, sesuatu yang agak mengelirukan saya adalah mengapa Capcom membahagi permainan ini kepada dua versi dimana ianya tidak mustahil menyertakan kesemua siri Mega Man X di dalam satu permainan ataupun satu cakera Blu-Ray. Apa yang Capcom lakukan adalah mereka membahagi permainan ini kepada dua permainan iaitu Mega Man X Legacy Collection dan Mega Man X Legacy Collection 2 seperti mana yang mereka lakukan sebelum ini buat siri asal Mega Man. Dimana Mega Man X Legacy Collection menyertakan siri Mega Man X pertama sehinggalah Mega Man X4 dan Mega Man X Legacy Collection 2 pula menyertakan Mega Man X5 sehinggalah Mega Man X8.

Ini merupakan satu tindakan memeningkan. Bukan sahaja anda perlu menukar permainan ataupun cakera permainan jika anda ingin menukar antara permainan Mega Man X5 ke Mega Man X2, malah setiap kandungan tambahan yang disertakan, termasuklah X-Challenges adalah sama antara kedua-dua permainan tersebut. Sekaligus buat mereka yang ingin mendapatkan trofi terutamanya, mungkin perlu melakukan perkara yang sama berulang kali antara dua permainan tersebut.

Kesimpulan

Mega Man X Legacy Collection sememangnya adalah satu koleksi permainan yang menarik. Ianya bukan sahaja menyertakan mod baru X-Challenges untuk mereka yang masih lagi inginkan cabaran yang baru malah ia juga menyertakan lapan siri asal Mega Man X tanpa sebarang perubahan.

Namun itu juga merupakan sesuatu yang agak negatif dimana dari segi visual dan prestasi permainan ia masih lagi mengekalkan bentuk yang sama tanpa sebarang pernaik-tarafan. Capcom juga tidak menyertakan sebilangan permainan Mega Man X yang lain seperti Mega Man Maverick Hunter X iaitu permainan pernambah-baikkan Mega Man X yang dilancarkan di PSP ataupun Mega Man X Command Mission iaitu permainan sampingan siri tersebut.

Walaupun begitu, dengan pretasi dan kandungan yang agak berkurangan tanpa pernaik-tarafan untuk membaiki masalah dan visual permainan asal siri tersebut, Mega Man X Legacy Collection mungkin hanyalah sebuah koleksi permainan khas buat peminat asal Mega Man X sahaja.

Sohor Kini